Certot

Love You Papa

Hasil nukilan Aina Zahira 2 years agoSuperhero 142

“Papa, cuti sekolah sudah bermula. Kita nak pergi bercuti di mana? Paris, New York, atau Korea?” tanya Syaza dengan tidak sabar.

“Bersemangat sungguh anak papa ni. Esok kita akan bercuti di kampung. Sudah lama kita tak ke sana. Rindu papa akan atuk dan nenek,” terang papanya.

“Apa! Kampung. Gelilah Syaza. Tak ada tempat yang lebih menarik ke ayah,” kata Syaza tanpa ada perasaan bersalah.

Ayahnya mahu sahaja memarahi Syaza. Tapi ayahnya hanya bersabar akan kata-kata anaknya yang tidak biasa akan suasana kampung. Sabar itu separuh daripada iman.

Pada malam itu, Syaza mengemas barang-barangnya sambil memberontak. Dia tidak suka kampung. 

“Apalah papa ni. Kita kan banyak duit. Kenapa nak bercuti di situ? Pleaselah ,” kata Syaza dalam hati sambil membuat mimik muka marah.

*****

Pada keesokan harinya, Syaza bangun awal untuk bersiap sebelum papanya membuka mulut untuk membebel. Setelah bersiap, Syaza terus turun ke bawah untuk bersarapan dan terus ke kereta.

Dalam perjalanan, Syaza hanya berdiam seperti patung manakala adiknya, Syamil menyanyi dengan riang lagu yang dipelajarinya di tadika. Pada awalnya Syaza mahu sahaja menengking adiknya. Namun apakan daya, ketika itu sel-sel otak sedang berhubung.

*****

Setelah sampai di kampung, Syaza ternampak sungai yang jernih airnya seperti kristal. Dia teringin untuk pergi mandi di sana.

Selepas beberapa jam duduk di rumah datuk dan neneknya, Syaza mulai bosan. Dia terfikir akan sungai tadi. Dia pergi ke biliknya dan terus mengambil baju dan kain tuala.

“Syaza, nak pergi mana tu?” tanya papanya yang kehairanan.

“Nak pergi jumpa kawan. Nak buat ulang kaji tentang pelajaran tahun depan,” tipu Syaza.

“Aik, baru datang dah ada kawan. Cepatnya,” kata papanya.

Syaza terus keluar dari rumah itu dan menuju ke arah sungai. Dia sahaja yang berada di situ. Syaza meletakkan begnya di atas tanah dan terus terjun ke dalam sungai tanpa menghiraukan keselamatannya.

Dia mendapati sungai itu dalam. Dia terkapai-kapai kelemasan. Mujur ada seorang lelaki ternampaknya dan terus pergi berjumpa dengan papanya.

Papanya berasa terkejut lantas pergi ke sungai itu. Papanya terus terjun ke dalam sungai lalu mengheretnya ke daratan. Didapatinya Syaza sudah pengsan. Papanya mulai panik. Papanya membawa Syaza pulang ke rumah. 

Apabila sampai, papanya merinjis sedikit air di muka Syaza. Syaza terbangun lalu terus memeluk papanya.

“Maaf, papa. Syaza menyesal. Syaza tidak akan menipu. Syaza akan mendengar kata-kata papa dan Syaza tidak akan memberontak lagi. Terima kasih papa kerana telah menyelamatkan Syaza. Kalau papa terlambat sesaat mungkin Syaza telah tiada. Papalah hero Syaza,” kata Syaza sambil menitiskan air mata keinsafan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: