Certot

Lelaki itu

Hasil nukilan Aisyah 2 years agoSukan 324

Pagi yang cerah. SK Bandar Aman riuh rendah tentang berita hari sukan tahun ini yang akan dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Encik Khairy Jamaluddin. Ini sesuatu yang istimewa buat mereka.

“Heboh satu sekolah pasal Hari Sukan Satu Malaysia. Bagi saya tiada makna apa-apa pun,” kata Hana kepada Nadia, rakan karibnya.

“Betul kata awak. Saya sokong,” kata Nadia bagi menyedapkan hati Hana.

“Nadia, jom kita pergi jumpa dengan guru besar untuk minta pengecualian dalam hari sukan nanti, nak tak?” gesa Hana.

“Tapi saya takutlah. Sudahlah guru besar tu garang. Tak naklah saya. Nanti mesti dia tak benarkan,” protes Nadia.

“Hei, awak nak tak duduk dekat padang tu? Kalau sayalah, tak ingin! Sudahlah panas. Saya lebih rela duduk dalam bilik, tahu tak?” ngomel Hana lagi.

“Okeylah,” sahut Nadia bersahaja.

Setibanya mereka di bilik guru besar. Tok! Tok! Tok!

“Boleh kami masuk?” tanya mereka berdua serentak.

“Silakan masuk,” pelawa guru besar.

“Cikgu ka… mi n… ak min… ta….”

“Heh! Boleh tak cakap elok-elok sikit? Saya tak suka orang bercakap tergagap-gagap dengan saya. Buang masa saya, faham? Awak berdua nak apa?” soal Puan Suriati, guru besar mereka.

“Cikgu, kami nak minta pengecualian pada hari sukan nanti kerana ibu saya masuk hospital,” tutur Hana terketar-ketar.

“Kamu berdua jangan cuba nak tipu saya! Ibu kamu Hana, baru telefon saya tadi pasal baju yang saya tempah untuk hari sukan nanti. Semua pelajar mesti terlibat, faham!” tegas Puan Suriati .

“Baik, cikgu. Maafkan kami. Kami keluar dahulu,” kata mereka serentak lalu bergegas keluar.

“Kan saya dah kata, guru besar mesti wajibkan kita semua terlibat dalam hari sukan nanti,” bisik Nadia kepada Hana.

Hana bersyukur sambil menghela nafas lega kerana tidak dimarahi oleh Puan Suriati. Kemudian, mereka beriringan masuk ke kelas.

Kring! Kring! Bunyi loceng sekolah menandakan waktu rehat. Semua pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas untuk ke kantin. Cuma ada dua pelajar perempuan yang masih duduk di dalam kelas.

“Hana, jomlah kita rehat. Saya laparlah. Saya tahu awak tak nak bersukan sebab peristiwa tahun lepas. Tapi awak tak payahlah marah-marah sampai tak nak pergi makan,” pujuk Nadia sambil mengusap perutnya yang sedang berkeroncong .

“Kalau awak nak pergi makan, pergilah. Saya tak ada selera,” bisik Hana yang sedang muram.

Setelah Nadia ke kantin, Hana duduk seorang diri sambil termenung mengingati peristiwa hari sukan tahun lepas. Peristiwa itu berputar kembali seolah-olah baru berlaku semalam.

“Hana awak begitu gembira untuk bersukan. Awak masuk acara apa?” tegur Nadia sambil menunggu gilirannya untuk bermain badminton.

“Saya masuk acara lumba lari 100 meter,” sahut Hana dengan riang.

Apabila tiba giliran Hana untuk memulakan acara lumba lari, dia berasa sangat seronok sampai terlupa untuk memanaskan badan.

“Ke garisan, sedia, mula,” arah pegawai pelepas.

Bang!

Bingit bunyi pistol kapur kedengaran di udara dan Hana mula memecut. Semasa di pertengahan perlumbaan, kepala Hana terus pening, berpusing-pusing lalu dia merasakan dunianya gelap.

Pasukan Bulan Sabit Merah bergegas masuk ke balapan lalu mengusung Hana ke tepi untuk diberikan rawatan kecemasan. Nadia pun kebetulan berada di situ selepas habis acaranya.

*****

“Hana, bangun,” Nadia cuba mengejutkan Hana.

“Nadia, saya di mana? Adoi, sakitnya kepala saya,” rintih Hana setelah sedar daripada pengsan.

“Awak ada di tepi padang. Hampir 10 minit pengsan,” jelas Nadia.

“Nadia, saya berjanji saya tak akan bersukan lagi. Saya takut nanti saya sakit dan pengsan lagi,” terang Hana.

“Hana, bangun. Rehat dah habislah,” Nadia menyergah Hana yang sedang termenung.

“Nadia, saya rasa saya tak nak datang sekolah esok,” luah Hana.

Nadia hanya terdiam selepas Hana berkata demikian. Lalu dia kembali ke tempat duduknya semula.

*****

Keesokan harinya, keadaan cuaca sangat sesuai untuk bersukan. SK Bandar Aman menjadi ceria dan riuh-rendah apabila sebuah kereta mewah meluncur masuk ke arah tempat parkir VIP.  Lalu semua pelajar menjerit, “Selamat datang, YB.”

Semasa semua pelajar berada di situ, kemudian datang guru sukan mereka, Cikgu Roslan.

“Kenapa kamu semua berada di sini? Sepatutnya kamu pergi buat senamrobik di padang sebelum memulakan sukan. Pergi sekarang!” tegur Cikgu Roslan.

“Baiklah, semua. Sebelum memulakan sukan, kita haruslah membuat senaman memanaskan badan, faham?” jelas Cikgu Linda.

Sementara semua pelajar bersiap sedia, Nadia mengajak Hana bersukan bersama dengannya. “Hana, jomlah kita pergi bersukan. Kalau tidak nanti, Puan Suriati akan marah kita,” ajak Nadia.

“Tak apalah, awak pergilah dahulu. Acara lompat jauh awak sudah diumumkan. Nanti saya datang,” balas Hana lembut.

Semasa Hana duduk berseorangan di tepi padang, tiba-tiba seorang lelaki muncul duduk di sebelahnya lalu berkata, “Kenapa awak seorang tidak mengambil bahagian ? Semua orang sedang seronok bersukan. Cuma awak seorang saja masih berada di sini.”

“Saya sebenarnya bukan tak nak bersukan, tetapi ada peristiwa buruk mengganggu saya tentang sukan,” jawab Hana perlahan.

“Adik tak perlu risau. Apa yang dah lepas, kita tak payah ingat lagi. Yang adik perlu buat sekarang adalah fokus untuk masa depan,” nasihat lelaki itu.

Kemudian dia mengeluarkan sekeping gambar lama dari dalam dompetnya. Gambar itu ditunjukkan kepada Hana. Ia adalah sekeping potret kanak-kanak yang gemuk. Hana keliru kenapa lelaki itu menunjukkan gambar budak montel itu kepadanya.

“Adik, itulah saya semasa berumur 10 tahun. Berat saya hampir 60kg. Ketika itu saya dicemuh kawan-kawan kerana badan saya. Akibat benci mendengar ejekan mereka, saya berazam untuk mengubah diri saya. Saya mula menjaga makan dan bersenam. Akhirnya, saya berjaya menjadikan ejekan kawan-kawan kepada motivasi untuk saya berjaya dan sihat,” ceritanya.

Hana cuma terdiam. Dia bagaikan tak percaya apa yang lelaki itu jelaskan.

“Ingat, adik. Adik pasti berjaya jika adik jadikan ketakutan sebagai satu cabaran kepada diri. Jadi adik kena berusaha untuk mencapai impian,” nasihat lelaki itu penuh bersemangat.

“Terima kasih kerana memberikan saya kata-kata semangat,” tutur Hana.

Semangat Hana tiba-tiba datang kembali. Hana berazam untuk berubah.

“Terima kasih pak cik kerana meniupkan semangat kembali kepada saya. Gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya. Insya Allah, saya pasti berjaya menjadi jaguh pecut satu hari nanti. Saya berazam untuk mewakili negara sehingga ke peringkat Olimpik,” Hana bercakap panjang seolah-olah berpidato.

“Ya, itu semangat yang kita mahukan,” kata lelaki itu lagi.

“Maaf pak cik, saya tak kenal pak cik. Boleh saya tanya pak cik ini siapa?” soal Hana secara lembut.

“Oh, ya. Lupa nak perkenalkan diri. Saya Khairy, Khairy Jamaluddin.”

   

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: