Certot

Keris Tamingsari Ayah

Hasil nukilan Nur Humairah binti Hunairi Bumiddin 2 years agoSuperhero 9

             

Haziq berumur sembilan tahun. Dia tinggal di sebuah pekan di Melaka bersama keluarganya. Ayahnya, Azmizul mengusahakan gerai minuman tepi jalan di pekan itu.                                                                       

Suatu petang Azmizul mengajak Haziq menemaninya membeli barangan untuk jualan. Haziq suka menolong ayahnya. Walaupun dia selalu diejek rakan sekolah dengan panggilan ‘kuli’ kerana membantu ayah, tetapi Haziq tidak berasa malu.

Semasa pulang dari membeli barangan, motorsikal yang mereka tunggang terbabas kerana mengelak sebuah kereta lalu terjatuh di lereng bukit.

Apabila bangun, mereka berada di dalam semak yang agak tebal. Motorsikal dan barang-barang mereka habis berselerak. Azmizul cedera di kaki manakala Haziq cedera di dahi.

Mereka melalui sebuah denai untuk mencari bantuan. Akhirnya mereka jumpa sebuah rumah kampung yang agak unik rekaannya.

“Siapa kamu berdua?” tanya seorang lelaki muda, gagah, dan kacak. Haziq dan ayahnya terkejut.

“Kami terbabas di lereng bukit tadi. Motorsikal kami rosak dan barang-barang habis berterabur,” jelas Azmizul. Lelaki tadi kehairanan.

“Abang ni siapa?” tanya Haziq kepada lelaki yang memakai baju seperti pahlawan Melayu dalam cerita lagenda P. Ramlee.

“Saya Laksamana Hang Jebat, kamu tidak kenal saya? Kamu berdua sangat pelik,” kata lelaki itu lagi sambil mengajak Haziq dan ayahnya naik ke rumah.

Haziq dan ayahnya bagaikan tidak percaya mereka terperangkap dalam dimensi masa dan berada di rumah Laksamana Hang Jebat yang tersohor di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mereka sangat teruja. Belum sempat mereka bersembang panjang, tiba-tiba pintu rumah Hang Jebat diketuk bertalu-talu.

“Abang Jebat, sultan menitahkan Abang Tuah membunuh abang kerana abang dituduh menderhaka kepada baginda,” kata tiga lelaki yang baru sampai itu. Haziq dan ayahnya terpaku.

“Abang bertiga ni Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu?” tanya Haziq teruja. Mereka pandang Haziq dan ayahnya kemudian berpandangan sesama sendiri.

*****

Malam itu, empat laksamana itu berbincang dengan serius sehingga subuh. Haziq dan ayahnya pula mulai risau kerana mereka tahu sejarah hikayat Hang Tuah. Dalam cerita itu Hang Jebat akhirnya mati dibunuh Hang Tuah.

“Ayah rasa ayah mesti selamatkan nyawa Hang Jebat,” kata Azmizul.

Haziq terkejut dan bertanya, “Bagaimana ayah mahu selamatkan Hang Jebat daripada dibunuh oleh Hang Tuah?”

“Haziq, kita datang dari masa hadapan. Kita sudah tahu penamat cerita ini. Kita masuk ke zaman ini mungkin untuk menyelamatkan nyawa Hang Jebat,” jelas ayahnya.

Haziq tiba-tiba merasa bangga dengan semangat ayahnya. Haziq bayangkan ayahnya sedang bertarung dengan Hang Tuah untuk selamatkan Hang Jebat. Sedang Haziq mengelamun, tiba-tiba terdengar riuh-rendah di halaman rumah Hang Jebat.

Hang Tuah datang bersama hulubalang Melaka dan rakyat Melaka yang marah pada Hang Jebat. Haziq dan Azmizul sekali lagi terpaku melihat kelibat Hang Tuah.

“Hang Jebat! Aku datang untuk membuat perhitungan dengan kau. Turunlah kalau kau berani,” jerit Hang Tuah. 

Haziq dan ayahnya menyorok di sebalik tabir setelah mendengar suara Hang Tuah.

Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu turun menenangkan Hang Tuah, namun Hang Tuah dan hulubalang makin mara. 

Hang Jebat menutup pintu dan semua tingkap rumah setelah melihat puluhan manusia mahu melawannya. Tinggallah Hang Jebat bersama Haziq dan ayahnya berpeluk ketakutan di dalam rumah itu.

“Abang Tuah! kalau benar abang mahu bertarung, naiklah ke rumah. Kita bertarung satu lawan satu,” jerit Hang Jebat sambil memberi isyarat kepada Azmizul supaya membuka pintu.       

Semasa Hang Tuah naik ke rumah, dia terkejut melihat kelibat Haziq dan ayahnya. Namun, dia tidak sempat bertanya kerana Hang Jebat sudah memasang kuda-kuda.

“Laksamana berdua, maaf jika saya mencelah. Saya rasa tidak perlu kita berbunuh-bunuhan sedangkan laksamana berdua sangat rapat. Ini semua salah faham.”

“Percayalah jika apa-apa berlaku, salah seorang akan menyesal nanti,” tiba-tiba Azmizul menyampuk. Hang Tuah dan Hang Tuah Jebat saling berpandangan.

“Siapa kamu yang berani mencelah? Aku datang untuk membunuh penderhaka. Berani kau ingkar titah sultan!” marah Hang Tuah. Azmizul mengundur ke belakang. Hang Tuah dan Hang Jebat meneruskan bunga-bunga silat.

Azmizul mendapat idea. Dia kemudian menyusup keluar melalui pintu belakang. Tinggal Haziq yang kaku dalam ketakutan melihat dua pahlawan handalan sedang beraksi. Di halaman bawah, rakyat sedang jerit ‘bunuh Jebat!’

Tidak lama kemudian, Azmizul muncul dengan membawa bungkusan yang diambil dari motorsikal mereka yang terbabas di lereng bukit.

“Ayah kena selamatkan Hang Jebat daripada dibunuh oleh Hang Tuah,” kata Azmizul. Haziq memegang tangan ayahnya.

“Haziq takut apa-apa jadi pada ayah,” katanya sayu dan hampir menangis.

“Haziq ingat tak filem Polis Evo yang kita tonton tempoh hari?”

“Shahezy Sam dan Zizan Razak terpaksa berdepan dengan ramai penjahat, peluru pistol, mesingan, dan bom tangan untuk bergelar hero dalam filem itu. Ayah hanya berdepan dengan mereka dan sebilah keris sahaja,” pujuk Azmizul memberi semangat.

Azmizul bersembunyi di sebalik tabir berdekatan tempat Hang Tuah dan Hang Jebat bergelut. Saat Hang Tuah cuba menusuk keris Tamingsari ke dada Hang Jebat tiba-tiba… pang!

Azmizul memukul kepala Hang Tuah dengan belanga hingga pengsan. Haziq dan Hang Jebat terkejut.

“Saya kena bawa awak lari dari sini. Orang-orang Sultan Melaka tidak akan melepaskan awak hidup-hidup,” kata Azmizul. Hang Jebat akur.

Azmizul menyuruh Haziq membuat bunyi bising di bahagian depan rumah untuk menarik perhatian orang ramai di bawah seolah-olah Hang Tuah dan Hang Jebat masih bertarung. Dia juga ditugaskan untuk memastikan Hang Tuah tidak sedar sebelum Azmizul kembali. Azmizul dan Hang Jebat menyusup keluar dari pintu belakang.

Azmizul dan Hang Jebat berlari ke sungai di belakang rumah. Sebelum berpisah menaiki perahu, mereka berpelukan dan Azmizul berpesan kepada Hang Jebat agar keluar dari negeri Melaka dan menyamar sebagai orang biasa.

Sampai di rumah, Azmizul mengeluarkan dua botol sirap cap Rose dari bungkusan tadi lalu melumurkannya ke keris Tamingsari yang masih dalam genggaman Hang Tuah. Selebihnya mereka tumpahkan ke lantai sehingga menitik ke tanah melalui celah lantai.

Terdengar orang ramai di bawah jerit bersahut-sahutan, “Hang Jebat mati ditikam!” Hang Tuah tersedar mendengar sorakan rakyat jelata.

“Hang Jebat sudah kena tikam. Dia lari melalui pintu belakang dalam keadaan parah,” jelas Azmizul kepada Hang Tuah yang masih pening-pening lalat. Dia memandang keris Tamingsari berlumuran darah di tangannya. Dalam masa yang sama, rakyat serbu masuk ke dalam rumah dan bersorak gembira sambil menjulang Hang Tuah ke istana Sultan Melaka.

Walaupun tiada sesiapa pun melihat jasad Hang Jebat tetapi sultan dan rakyat Melaka yakin Hang Jebat sudah mati kerana sesiapa yang terkena tikaman keris Tamingsari pasti menemui ajal. Azmizul dan Haziq tersenyum bila semua orang terpedaya dengan taktik mereka.

Selepas pulang dari istana, Hang Tuah menjadi sedih. Dia menyesal kerana membunuh Hang Jebat. Perbuatannya itu juga menyebabkan Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu menjauhinya.

“Saya tidak tahu siapa awak, tetapi nasihat awak memang betul seperti awak sudah tahu apa akan terjadi. Saya memang menyesal bunuh Hang Jebat,” luah Hang Tuah dengan sedih. Azmizul menepuk-nepuk bahunya.

“Sebelum Hang Jebat pergi, dia sempat berpesan bahawa dia sangat sayang awak. Dia tidak berdendam kerana semua yang awak buat kerana menurut titah sultan,” pujuk Azmizul, tetapi Hang Tuah tetap sedih.

Esoknya, Hang Tuah mengemas pakaiannya dan berkata, “Saya mahu membawa diri dari Melaka. Saya tidak dapat maafkan diri saya kerana membunuh saudara saya sendiri kerana terlalu setia pada sultan.”

Sebelum berangkat, Hang Tuah menyerahkan keris Tamingsari kepada Azmizul. Dia tidak mahu lagi menyimpan keris itu kerana keris itu sudah menamatkan riwayat saudara kesayangannya.

“Ayah, kita kena berterus terang dengan Hang Tuah yang Hang Jebat sebenarnya tidak mati,” kata Haziq. Mereka mengejar Hang Tuah dalam hujan lebat berserta petir. Tiba-tiba petir memanah pokok berdekatan menyebabkan mereka terpelanting.

Bila mereka bangun, ada beberapa orang datang membantu mengangkat motorsikal dan barang-barang mereka yang berselerakan. Haziq dan ayahnya berpandangan. Mereka telah kembali ke dunia nyata dengan sebilah keris Tamingsari masih di tangan Azmizul.

Petang itu, Haziq mendekati ayahnya yang sedang mengelap bekas-bekas air yang baru dibasuh lalu berkata, “Haziq bangga dengan ayah. Walaupun kawan sekolah selalu ejek Haziq kerana ayah peniaga tepi jalan, tetapi bagi Haziq ayah adalah Superhero. Walaupun seluruh dunia percaya Hang Jebat telah mati, tetapi kenyataannya Hang Jebat masih hidup dan ayahlah penyelamatnya.”

“Siapa sangka Hang Tuah pilih ayah jadi pemilik keris Tamingsari walaupun ayah telah mengetuk kepalanya hingga pengsan,” kata Haziq sambil tergelak. 

Azmizul mengusap-usap kepala Haziq sambil tersenyum. Mereka berdua memandang keris Tamingsari yang tergantung kemas di dinding rumah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: