Certot

Keranamu Ibu

Hasil nukilan Najwa Sofea Lutfi about 7 months agoSuperhero

“Terima kasih,Encik Azrif. Kalau encik tidak bantu, tidak tahulah apa yang akan terjadi,” ucap Puan Lidya.

“Sama-sama,ia sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang peguam,” balas Azrif sambil tersenyum.

Kebenaran. Satu patah perkataan yang mampu menentukan hidup atau mati seseorang. Rentetan itulah Azrif memilih kerjaya peguam sebagai kerjaya sepenuh masa. Dia ingin menegakkan kebenaran agar tiada yang bersalah terlepas dari hukuman.

Sungguh, memori hitam yang mencengkam jiwanya menyebabkan Azrif bersungguh mempertahankan kebenaran.

10 tahun yang lalu..

“Along gerak dulu ya, Mak Su. Assalamualaikum,” laung Azrif dari muka pintu. Tidak sempat Azrif menyalami ibu saudaranya itu kerana bimbang lewat tiba disekolah.

“Waalaikumussalam, hati-hati berjalan,“sempat lagi ibu saudara Azrif berpesan sambil tangannya ligat melakukan tugasan di dapur.

“Aduh, habislah kalau aku lewat hari ini. Itulah engkau Azrif. Tidur lewat lagi,” Azrif mengomel sendirian sambil kakinya pantas mengatur langkah. Pagi tadi dia terbangun pada jam 7.00 pagi.

Azrif mengerling sekilas ke arah jam tangannya. Dua minit sebelum loceng berbunyi, Azrif tiba di dalam kelasnya. Dia menghela nafas kelegaan.

“Assalamualaikum,” ucapnya perlahan. Namun tiada respon daripada rakan sekelasnya. Malah ada yang berbisik-bisik sesama sendiri tatkala Azrif menjejakkan kakinya di dalam kelas itu.

‘Ahh, biarlah mereka,’ fikir Azrif. Bukan tidak pernah mereka melakukan sebegitu terhadap Azrif. Malah Azrif telah lali dengan sikap rakan sekelasnya.

“Assalamualaikum,” ucap Puan Maya kepada kelas Tingkatan 2 Cemerlang seraya mematikan lamunan Azrif.

“Waalaikumussalam, cikgu,” balas seluruh isi kelas itu.

Sesi pembelajaran pada hari itu berjalan lancar seperti biasa.

Kring! Kring!

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat telah bermula. Maka berpusu-pusulah para pelajar ke kantin bagi mendapatkan makanan bagi mengisi perut yang sudah berbunyi mengalahkan konsert.

Tatkala pelajar lain pergi ke kantin secara berpasang pasangan, Azrif hanya melangkah longlai seorang diri.

“Azrif, mari ke sini sebentar,” panggil Ustazah Orkid dengan senyuman manis terukir di bibir.

“Ada apa ustazah?” soal Azrif dengan nada agak kasar.

“Ini bayaran kuih yang ustazah pesan hari itu. Sedap sangat. Lain kali bolehlah ustazah order lagi,” kata Ustazah Orkid.

“Hmmm, yalah,” Azrif membalas ala kadar. Sememangnya, Ustazah Orkid selalu memesan kuih muih dengan ibu saudara Azrif.

“Azrif, ustazah mahu cakap sedikit,” kata Ustazah Orkid menyebabkan langkah Azrif untuk meninggalkan kelas terhenti.

“Apa?”

“Ustazah ingin berbincang tentang sikap kamu. Semakin hari semakin menjadi-jadi. Kamu tidak boleh bertindak pasif sebegini. Di dalam kelas kamu selalu mendiamkan diri. Apabila bercakap dengan guru pula kamu menengking. Saya tidak tahu masalah kamu, tetapi saya mahu kamu perbaiki sikap kamu atau perkara ini akan saya laporkan kepada….”

“Lapor kepada ibu bapa saya? Silakan! Ayah saya sudah mati. Ibu saya pula meringkuk dalam penjara menunggu mati!” Azrif memotong kata-kata gurunya. Serentak dengan itu, dia melangkah pergi.

Sejujurnya dia sudah penat. Dugaan ini tidak dapat ditanggung seorang remaja berusia 14 tahun. Dia tidak pernah merasa kasih sayang ibunya, jauh sekali ayahnya.

Azrif memasuki tandas sekolah. Di situ dia menangus semahu-mahunya. Dia melepaskan semua perasaan yang terpendam di dalam hatinya selama ini.

“Ibu, mengapa semua ini terjadi? Mengapa ibu mesti berkorban? Mengapa ibu selalu menjadi mangsa?”

****

“Berikan aku wang!B erikan aku rantai emas engkau atau aku bunuh anak engkau!” ugut Pak Din. Dalam keadaan mabuk dia menggugut-ugut isterinya dengan menghalakan pisau pada tengkuk Azrif.

Dalam keadaan cemas sebegitu hanya satu objek yang dapat dicapainya. Satu botol kaca diangkat ke udara. Dengan satu hayunan, botol itu hinggap di kepala Pak Din. Lelaki itu terus jatuh rebah ke tanah.

Azrif menangis melihat tragedi itu. Badannya terketar-ketar ketakutan. Satu adegan pembunuhan baru sahaja berlaku di depan matanya sendiri. Ibunya memeluk erat menenangkan Azrif.

****

Hanya kerana tersilap langkah, segalanya musnah. Hanya kerana ibu Azrif tersilap percaturan disebabkan dia berkahwin dengan Pak Din selepas kematian ayah Azrif, segalanya menjadi porak peranda.

Ibu Azrif disabitkan hukuman gantung disebabkan kesalahan membunuh Pak Din. Sungguh dunia ini tidak adil!

Setiap minggu Azrif melawat ibunya di penjara. Namun apa yang dia mampu lakukan? Ibunya tetap akan mati di tali gantung.

Kini, setiap kali menyelesaikan kes. Azrif pasti teringat akan ibunya.

Ibu, you are the best!


 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: