Certot

KERANAMU KAMI BERJUANG

Hasil nukilan DD al-Qadhi about 3 years agoSukan 374


        Sekarang sudah 2-1, dua gol daripada pasukan Khalifah FC dan satu gol daripada pasukan Sinar FC. Kami daripada pasukan Sinar FC sebelum ini tidak pernah masuk ke mana-mana perlawanan bola, tetapi pada kali ini kami terpaksa masuk ke sebuah perlawanan bola demi sebuah persahabatan bagi mendapatkan hadiah lima ribu ringgit. Kemenangan yang sangat diharapkan. Sebenarnya pada hari ini, kami masuk ke sebuah perlawanan bola sepak hanyalah untuk seseorang iaitu untuk sahabat sepermainanku, Ridwan.

        Pada waktu umurku lima tahun, aku sudah masuk ke sebuah sekolah. Pada waktu itu aku ternampak seorang budak yang sebaya denganku. Dia nampak seperti insan biasa, tiada cacatnya. Dia boleh membuka mata tetapi dia kelihatan seperti meraba-raba ketika berjalan seperti buta. 

Selepas itu aku pun bertanya padanya, “Siapakah nama engkau.” 

”Nama aku Ridwan,” katanya. 

Lalu aku pun berkata, “Adakah kamu seorang buta?” 

”Ya,” jawabnya. 

Sejak itu kami berdua adalah kawan baik dan tidak pernah pernah bergaduh. Dari umur kami lima tahun hinggalah sekarang berumur 10 tahun kami berkawan.

        Pada umur kami sembila tahun kami pindah ke sebuah sekolah yang bernama Sekolah Islam Nur Al-Azhar dan gelaran atau singkatannya adalah (SINAR). (SINAR) adalah sekolah yang mahu menghafal dan memahami Al-Quran. 

Pada suatu hari,  kami pelajar SINAR menemui sehelai pamplet tentang sebuah perlawanan bola sepak. Kumpulan siapa yang menang akan mendapat lima ribu ringgit sebagai habuannya. Kebetulan ada orang hendak menderma mata pada Ridwan, tetapi memerlukan kos bayaran sebanyak empat ribu ringgit. Kos itu terpaksa Ridwan dan keluarganya tanggung. 

Doktor kata kos pembedahan terpaksa ditanggung sendiri oleh penerima. Malangnya, keluarga Ridwan orang susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sedih melihat kehidupan mereka sekeluarga. Serba berkurangan. Kami tidak berkemampuan untuk membantu Ridwan.

 

Pada masa yang sama, teringat kembali, kami seronok membaca pamplet berkenaan perlawanan tersebut. Kami hanya jaguh kampung. Tiada jurulatih. Hanya semangat yang berkobar-kobar. Tanpa berfikir panjang, kami pun menyertai ke perlawanan tersebut. Kami masih ada masa sebulan untuk berlatih. Tiap-tiap petang kami berlatih bersungguh-sungguh. Tiada sempadan. 

*****

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kami makin berdebar-debar.

Sekarang kami berada di atas padang. Keputusan sekarang telahpun gol 2-1. Kami perlu tumpukan pada perlawanan dengan usaha, doa, dan tawakal. Mereka dilatih dengan pasukan yang diimport dari luar negara, manakala kami pula berlatih sendiri.

Walaupun demikian kami tidak tertekan. Kami masih punya masa. Sekarang giliran kami memulakan perlawanan. Aiman dari pasukan Sinar FC menghantar bola padaku lalu aku mengambil bola tersebut dan aku mara ke depan. Salah seorang pemain pasukan Khalifah FC hendak menggelecek bola dariku, namun tidak berjaya. Tanpa melengahkan masa aku merembat bola dengan sekuat hatiku… lalu gol! Nampaknya sekarang sudah dua sama. Tanpa disangka. Kawan-kawan semua berlari menuju kepadaku. 

Sekarang pasukan Khalifah akan mulakan perlawanan. Adam dari pasukan Khalifah menghantar bola kepada kumpulannya yang bernama Aidil lalu Aidil merembat dari jauh namun bola tersebut dapat ditepis oleh penjaga gol, Muklis. Hebat, terbang mencapai bola. Fuh! 

Selepas itu penjaga gol membaling bola dengan jauh lalu Aiman dan aku mengatur strategi. Macam biasa kami bermain ala samba. Samba kampung, tanpa perasan Aiman telah pun di depan gol. Jantung makin berdebar, inilah peluang kami. Aiman mencuba nasib dan terus menyepak bola dengan laju ke penjuru. Masuk cantik tanpa terkena palang… gol! Gol! Kami semua sujud tanda kesyukuran. Wisel ditiup oleh pengadil menandakan masa telah tamat.

Bergenang air mata gembira. Nampaknya pada hari ini kami menang dan kami mendapat lima ribu ringgit itu. Bukan duit itu yang diinginkan. Cuma ia amat bererti untuk Ridwan untuk kembali melihat warna dunia. 

*****

Pada keesokan harinya, kami bersama ustaz ke rumah Ridwan bagi menyerahkan sumbangan tersebut.  Ridwan akan mendapat mata yang baru. Dia sungguh tidak sabar untuk melihat kembali. Kami pun sama.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: