Certot

Kerana Baju Kurung

Hasil nukilan Wan Nur Arliana 2 years agoSuperhero 26

“Abah! Abah! Tengoklah tu!” Jarinya menuding tepat pada sebuah kedai pakaian. Abah yang sedang memandang ke arah gerai-gerai di pasar malam terbantut pergerakannya. Matanya kini beralih ke arah kedai yang ditunjukkan anak perempuannya itu.

“Ya, itu kedai baju. Kenapa?”

Dayang tersengih-sengih seperti kerang busuk. Dahi abah berkerut seribu, masih tidak memahami pembayangnya yang masih kabur. Malas meneka jawapan, terus sahaja dia bertanya, “Sudah kenapa kamu tersengih-sengih? Memanglah tu kedai baju. Jadi, apa masalahnya? Kedai tu baru sahaja dibuka. Tak salah rasanya.”

Anak perempuannya itu mencebik. “Bukan itu maksudnya. Dayang nak baju sekolah baru.”

Abah tersentak. Seketika matanya mengerling harga yang terpampang pada cermin kedai tersebut. 25 ringgit sepasang. Abah menyeluk poket seluarnya. Tinggal dua keping not lima ringgit dan beberapa keping duit syiling 20 sen. Alahai, mana cukup! Dia mengeluh berat.

“Lain kali sahajalah, ya?” Dia cuba-cuba memujuk anaknya yang sedang berusaha menagih simpati. Berat hatinya ingin mengujarkannya. Namun terpaksa. Bukannya dia tidak mahu, tetapi tidak mampu.

Senyuman manis Dayang pudar perlahan-lahan. Garisan bibir yang selari sahaja mampu dilihatkan. Dia bermuram durja. Abah yang melihatnya terasa sedih bercampur kecewa. Berharap Dayang dapat memahami perasaannya.

It’s okay. Tak apalah. Baju kurung dua tahun lepas tu pun elok lagi. Kalau ibu jahit sikit, cantiklah. Kalau rendam dalam peluntur warna pun boleh pakai lagi. Tapi Dayang dah besar. Nampak kecil sedikitlah,” ujar Dayang dalam nada yang tersekat-sekat. Pasti hatinya dirundum rasa kecewa. Pandangannya beralih pada jalan raya. Kini matanya tidak langsung memandang ke kedai pakaian itu lagi. Ia tidak lagi bermakna buatnya.

Tiba-tiba terdetik rasa kecewa dalam hati. Aduhai, bukannya mahal pun! 25 ringgit sahaja. Namun wang yang berada di dalam koceknya tidak mencukupi. Menambahkan rasa kecewa, baju kurung sekolah yang disarung Dayang setiap hari semakin hari semakin singkat. Warna putih yang bersih tidak lagi kelihatan. Warna yang bercampur aduk menjadi pandangan.

Bagaimana perasaan Dayang ketika ke sekolah? Pasti menjadi bahan ejekan semua. Dia mengetap bibir. Sebagai bapa, tidak sepatutnya dia membiarkan anaknya diperlekeh oleh orang ramai begitu sahaja. Pasti rasa di hati geram dan marah bercampur baur, seakan-akan rojak.

Tanpa diduga, dia terbatuk. Bukannya batuk yang biasa-biasa, namun dia terbatuk dengan kuat. Dayang yang mendengarnya sekadar buat tidak tahu. Dia masih merajuk dengan abah. Kepalanya tidak tertoleh langsung. Langkahnya dipercepatkan.

Abah terbatuk kuat. Terduduk dibuatnya lelaki itu. Tangan kanan yang menekup mulutnya dijauhkan daripada mulut. Cecair berwarna merah pekat keluar daripada mulutnya. Ah, darah! Abah yang melihatnya sekadar mendiamkan diri. Dia tidak mahu mengganggu perasaan anaknya yang masih merajuk dengannya. Biarlah rahsia ini dipendam sehingga ke penghujungnya.

Dikeluarkan sapu tangan berwarna kelabu daripada kocek seluarnya. Tangannya laju mengesat darah yang mengalir pada mulutnya. Kemudian, dikesat darah pada tangannya.

Sebaik sahaja kesan darah hilang daripada pandangan mata kasar, dia menyimpan sapu tangannya. Perlahan-lahan, dia mengikuti Dayang dari belakang. Mujurlah segala tindak-tanduknya tidak disedari sesiapa. Langkahnya dipercepatkan agar dapat mendekati Dayang dengan lebih rapat.

*****

“Selamat datang encik! Ya, ada apa-apa yang saya boleh bantu?” Kelihatan pembantu kedai itu mengukir senyuman mesra. Benarlah trademark kedai pakaian itu. ‘Kami melayan pelanggan kami persis diraja’.

“Saya mahu sepasang baju kurung sekolah. Saiz M ya,” beritahunya. Senyuman lelaki itu meleret sehingga ke pipi. Syukurlah, wang yang dikumpulnya kini berguna. Pekerja itu menggangguk, memahami. Terus sahaja dia menghampiri rak pakaian di hujung kedai. Dicapainya sepasang baju kurung berwarna putih lalu dihulurkan kepada lelaki itu.

“Ini dia,” ujarnya. Senyuman manis yang diserlahkan tidak lekang di bibir.

Lelaki itu membelek-belek baju kurung itu. Tanpa membuang masa, dia bertanya kepada pekerja itu. “Berapa harganya?”

“Tidak mahal, 25 ringgit sahaja sepasang.”

Lelaki itu menghulurkan dua keping wang kertas sepuluh ringgit dan sekeping wang lima ringgit. Pekerja tadi mengambilnya. Senyumannya tadi meleret sehingga ke pipi. Hai, siapa tidak suka! Duit berada di dalam kocek, hati riang ria jadinya!

“Sebentar ya.” Pekerja itu beredar ke sebuah bilik. Kira-kira sepuluh saat kemudian, dia muncul dengan plastik di tangan. Dihulurkan plastik itu kepada lelaki tadi.

“Terima kasih, sila datang lagi!”

Dia menyambut. “Sama-sama.”

*****

Abah sedang asyik menabur makanan pada tanah untuk diberikan pada ayam-ayam ternakannya. Seketika lelaki itu tersenyum sendirian. Tidak sangka ayam-ayam yang dijaganya membesar dengan sihat dan bertelur dengan banyak. Dapatlah telur-telur itu dijual dan mendapatkan sedikit wang bagi menyara keluarga. Memang berbaloi dia membeli dua ekor anak ayam sekitar lapan bulan yang lalu.

“Hah, makanlah ya! Makan banyak-banyak. Cepat sikit kau besar. Dah besar bertelur banyak,” abah berbual-bual dengan ayamnya itu. Anak-anak ayam yang masih kecil kelihatan berebut-rebut ketika abah menabur makanannya. Keletah comel itu ditonton oleh abah sendirian. Terhibur seketika melihat karenah anak-anak ayam yang comel itu. Terubat segala sakit di dada.

Tiba-tiba pandangannya menjadi kosong. Badannya menjadi ringan, seringan kapas. Tubuhnya yang sedikit besar itu menghempap Bumi. Ayam-ayam yang sedang asyik menikmati makanan mereka terkedek-kedek berlari meninggalkan kawasan itu. Bekas plastik yang berisi makanan ayam itu tercampak ke atas tanah. Kini matanya terpejam. Apa yang berlaku?

*****

“Puan Marliha Musa, saya minta maaf. Suami puan tidak dapat diselamatkan. Suami puan telah meninggal dunia….” Dalam nada hiba, Doktor Huzaini memberitahu perkara tersebut kepada ibu Dayang, Puan Marliha.

Apabila mendengar perkara itu, air mata ibu mengalir deras. Sedihnya tidak mampu digambarkan. Dayang yang berada di sebelah turut menangis hiba. Ya Allah, inikah ujian-Mu? Sebuah ujian daripada Tuhan yang amat besar. Aku menekup wajah. Sedihnya!

“Suami puan menghidap kanser paru-paru yang amat kronik. Sepatutnya beliau menjalani pembedahan dua minggu lepas,” tambah doktor itu lagi. Puan Marliha mengangkat kepalanya, bertentangan mata dengan doktor itu.

“Sebelum ini suami saya tak pernah pula cerita pasal kes ini. Patutlah sebelum ni dia asyik batuk-batuk sahaja. Saya tak tahu pula dia….” Suara ibu tersekat. Sebak rasanya apabila terbayangkan senyum manis abah yang tampan bersongkok.

“Itulah masalahnya… pihak hospital sendiri ingin bantu suami puan dengan membayar segala kos pembedahan… tapi dia tidak mahu. Dia menolak.”

Dayang yang mendengarnya terpaku.

“Abah….”

*****

Sudah dua bulan pemergian abah. Namun, Dayang masih berdiam diri. Rumah itu kelihatan sunyi tanpa jenaka abah. Gelak tawa yang dahulunya ceria kini hambar.

“Dayang… tengok ni. Ibu jumpa plastik ni di dalam almari abah…tengoklah.” Dengan nada sayu, ibu menghulurkan sebungkus plastik kepada anak perempuannya itu. Dayang menyambut.

Plastik berwarna putih itu diselongkarnya. Apa?

Sepasang baju kurung! Dayang ternganga. Seketika dia menggosok matanya berkali-kali. Apakah benar apa yang dilihatnya ini?

Plastik itu diselongkar lagi. Kelihatan sepucuk surat berada di dalamnya. Tangannya mencapai surat itu dengan perlahan-lahan. Dibaca setiap bait-bait perkataan yang tertulis di dalamnya.

Ke hadapan Dayang Aneeta anakku….

Abah minta maaf kerana tak dapat kotakan permintaan kamu hari itu. Maaflah, abah tidak cukup duit. Biasalah, kerja sebagai kerani gajinya kira-kira tiga ratus ringgit sahaja. Bayar bil sana sini, habislah.

Jika Dayang baca surat ini,

Maknanya abah sudah tiada lagi. Nafas abah sudah terhenti. Mata abah sudah tertutup. Kelopak mata sudah berat, tidak berdaya untuk dibuka lagi. Abah tidak lagi mampu melangkah di Bumi ini.

Abah sudah maafkan segala kesilapan semua manusia yang pernah berkenalan dengan abah termasuklah Dayang dan ibu….

Abah harap,

Dayang maafkan salah silap abah. Buat ibu, Marliha Musa jua. Ampunkan salah silap abah selama abah menjaga dan bersama kamu. Inilah manusia. Hidup tidak lama. Semua bakal merasa mati.

Abah juga ingin pohon kemaafan kerana merahsiakan penyakit yang dihidapi abah. Tiba-tiba abah rasa bersalah kerana terlalu ketagih akan rokok. Sekarang barulah abah sedar, abah membakar wang sendiri. Sepatutnya wang yang digunakan itu disimpan untuk masa hadapan. Seperti saat-saat begini. Abah tidak mahu menyusahkan sesiapa. Biarlah abah pergi….

Salam sayang,
Abah.

Abah!

Air mata Dayang berguguran lagi. Dia sedih terbayangkan wajah abah. Menyesal rasanya kerana merajuk dengan abah.

*****

Keesokan harinya, selepas pulang daripada sekolah, Dayang terus memecut menuju ke tanah perkuburan yang berada kira-kira satu kilometer daripada sekolahnya.

Kelihatan kubur abah cantik dengan batu nisan yang baru dibuat. Senyuman Dayang mekar apabila dapat ‘bertemu’ dengan bapanya, walaupun hanya seketika.

Dikeluarkan sebuah buku yang berisikan surah Yasin, lalu dibacanya. Sewaktu membacanya, air matanya gugur satu per satu membasahi pipi.

‘Abah… Dayang sayangkan abah. Tengok, Dayang pakai baju kurung yang abah belikan. Terima kasih, abah.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: