Certot

Kerana Ayah

Hasil nukilan Siti Aishah 2 years agoSuperhero 53

           

  “Ayah, bolehlah. Belikan satu mainan sahaja, please,” Qhoir lantas berkata sambil menunjukkan mainan yang hendak dibelinya. Qhoir cemburu melihat kawan-kawannya menunjukkan permainan alat kawalan jauh mereka. Dia juga sebenarnya ingin memiliki permainan alat kawalan jauh itu.

  “Qhoir tahu kan ayah orang miskin. Ayah tak mampu untuk beli permainan tu,” Sharqawie berkata sambil meratap wajah anaknya yang manis itu. Itulah ayat Sharqawie apabila anaknya, Mohd Qhoir Iman berkata begitu ketika dia pergi ke pasar malam bersama anaknya. Jika syarikatnya tidak muflis, pasti dia dan anaknya akan hidup senang.

  “Ayah, Qhoir minta satu permainan je, bukannya Qhoir minta sampai berbelas-belas, beratus-ratus. Itu pun susah. Takkan itu pun tak boleh. Malaslah Qhoir nak layan ayah, baik Qhoir pergi!”

Qhoir bercakap kasar dengan ayahnya. Dia tidak boleh menahan rasa marahnya lalu meniggalkan ayahnya sendirian di pasar malam yang agak besar itu. Ayahnya bingung dengan perangai anaknya itu. Dia lalu berlari anak mengejar anaknya yang sudah jauh ke hadapan.

*****

Lapan tahun berlalu.

Qhoir bangun daripada tidurnya dengan perasaan gembira dan berdebar. Tidak pernah dia bangun pagi dengan perasaan sebegitu. Qhoir bangun daripada mimpi yang seronok hanya disebabkan satu tujuan.  

Hari ini, tepat pada jam 8.00 pagi, dia akan menjawab kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Qhoir bangun pada jam 4.00 pagi lalu mandi. Peperiksaan kali ini akan menentukan sama ada dia akan berjaya atau sebaliknya. Qhoir yakin sekali dia akan mendapat keputusan yang cemerlang.

Sewaktu mandi, dia melihat ke luar tingkap, hujan lebat membasahi bumi yang kering ini. Selepas mandi, dia memakai baju dan seluar seragam sekolah dengan kemas sekali. Dia memeriksa dakwat pen yang ada di bekas penselnya sebelum memasukkan ke dalam beg sekolah yang dibeli oleh ibunya pada dua tahun lalu.

Antara barang-barangnya, hanya satu yang ayah Qhoir belikan untuk Qhoir iaitu baju sukannya. Dia tidak pernah memakai baju itu kerana marah kepada ayahnya belum terpadam. Dia hanya memakai baju biasa apabila sukan.

Sebelum pergi ke sekolah, Qhoir mengulang kaji pelajaran yang dijangka masuk dalam peperiksaan. Dia mengulang kaji sebagai persiapan terakhirnya. Dia mengulang kaji pada waktu subuh kerana ibunya pernah berkata,  waktu subuh adalah waktu terbaik untuk menghafal.

Qhoir kemudian keluar dari biliknya itu. Ketika Qhoir melangkah keluar dari rumah, dia terkejut melihat kawasan luar rumahnya dipenuhi dengan air yang berwarna coklat. Lalu Qhoir menjerit “Ibu! Ibu! Rumah kita banjir.” 

Suaranya didengari oleh ibunya.Ibunya tanpa membuang masa terus pergi ke luar rumah. Ibunya, Puan Lindawati melihat air banjir itu sudah mencapai paras betisnya.

“Ibu, bagaimana Qhoir nak pergi sekolah?” Qhoir bertanya kepada ibunya yang sudah mati akal.

“Entahlah, Qhoir. Ibu pun tak tahu nak buat apa sekarang ni.” Puan lindawati berkata dengan nada sayu. Kasihan dia melihat anaknya itu. Sudahlah hari ini adalah hari yang penting bagi anaknya. Dia tidak mahu anaknya itu bersedih seperti ujian pentaksiran sekolah rendah (UPSR) dia yang dahulu.

“APa kata kita minta tolong dekat ayah?” Puan Lindawati berkata kepada anaknya sambil melihat wajah anaknya begitu serius memikirkan idea yang sesuai. Dia berharap dengan cara sebegitu anaknya dapat memaafkan ayahnya.

“Ayah manalah boleh tolong selesaikan masalah ni,” Qhoir berkata dengan nada marah.

“Qhoir, tak baik cakap macam tu. Itu ayah kamu tahu,” Puan Lindawati berkata dengan wajah tidak puas hati.

“Qhoir, Linda, kenapa bising-bising ni?” Sharqawie memanggil nama anak dan isterinya itu.

“Abang, sekarang banjir. Bagaimana Qhoir nak pergi sekolah? Diakan nak peperiksaan. Tolonglah fikirkan sesuatu,” pujuk Puan Lindawati sambil menggoyangkan bahu suaminya itu.

“Baiklah, abang fikir. Apa kata kita pinjam lori abang saya? Lori dia besar, mana tahu boleh lepas air banjir tu,” kata sharqawie.

“Abang ni bijaklah,” kata Puan Lindawati pula.

“Ayah cubalah pinjam. Pak cik tu kan kedekut haji bakhil. Takkanlah dia nak tolong ayah semata-mata untuk saya,” kata Qhoir. Dia sudah masak dengan perangai pak ciknya yang kedekut itu.

“Ayah akan cuba sebaiknya untuk anak ayah. Ayah tak kisah kalau ayah menderita asalkan anak ayah dapat memasuki dewan peperiksaan dalam keadaan selamat, kemas, dan bersedia,” kata Sharqawie

“Ayah….

Qhoir rasa kasihan melihat ayahnya. Ayahnya sudah buat yang terbaik, tetapi kenapa dia tidak dapat untuk menerima ayahnya itu? Mengapa dia begitu marah dengan kejadian lapan tahun lalu? Tetapi dia tidak boleh membuang rasa egonya itu. Lalu dia berkata dalam hati, ‘Macamlah ayah boleh pujuk.’

*****

Sharqawie pergi ke rumah abangnya. Memang betul apa yang Qhoir kata, abangnya tetap tidak mahu meminjamkan lorinya walaupun dia sudah berkata dia memang memerlukan lori itu untuk kebaikan Qhoir, anak buahnya sendiri. Dia keluar dari rumah abangnya yang kaya itu sambil memikirkan bagaimana dia hendak meminjam lori abangnya itu.

Sharqawie tiba-tiba memetik jarinya lalu berkata, “Aku tahu macam mana nak pinjam lori abang.” Dia melangkah masuk kembali rumah abangnya itu.

*****

“Ibu, ayah, Qhoir dapat 8A!” Qhoir berkata dengan nada yang gembira. Tidak pernah dia gembira seperti itu.

‘Terima kasih Ya Allah. Syukur Alhamdulilah.’ Dia berkata dalam hatinya.

“Ayah, terima kasih. Kalau bukan kerana ayah, mungkin Qhoir tak dapat 8A ni. Terima kasih, ayah! Ayahlah hero Qhoir. Ayah, maafkan Qhoir sebab selalu sangat biadap dengan ayah. Qhoir selalu rendahkan ayah macam ayah tak boleh buat apa apa padahal ayah dah buat yang terbaik untuk Qhoir demi masa depan Qhoir. Ayah sanggup habiskan duit simpanan ayah demi Qhoir. Aayah sanggup sewa lori dari pak cik dengan harga yang tinggi demi Qhoir. Qhoir janji akan cari kerja yang bagus. Qhoir janji juga tidak akan mengecewakan ayah. Ayahlah hero Qhoir dunia dan akhirat. Terima kasih, ayah,” Qhoir berucap panjang tanda keinsafan. Dia berucap sambil menangis sebak. Dia memeluk kedua-dua orang tuanya itu. Dia memeluk ayahnya lebih erat lagi.

“Ayah akan lindungi Qhoir sampai ke akhir hayat ayah. Ayah akan menjadi hero Qhoir dunia dan akhirat. Ayah tak nak lihat kamu menderita. Ayah nak lihat kamu gembira sentiasa. Ayah juga nak kamu senyum hingga ke telinga. Ayah nak lihat anak ayah yang kacak ini berjaya. Ayah nak lihat kamu berjaya, Qhoir. Ayah sanggup buat semua ni sebab ayah sayang dekat kamu sangat sangat.” Sharqawie menahan sebak di hati. Tidak sanggup dia hendak menangis depan anaknya itu. Walaupun hatinya sedih, tetapi dia gembira kerana anaknya itu mendapat keputusan yang cemerlang.

“Qhoir pun sayang ayah sangat sangat. Qhoir berharap agar ayah akan menjadi hero Qhoir selama-lamanya sebab ayah adalah Superhero Qhoir.”


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: