Certot

Kenangan Layla

Hasil nukilan Ft. nur aina 2 years agoFiksyen 16

“Huii! Budak sampah, sini!” Dengan selamba Amira memanggil Layla dengan nama itu. Amira seorang anak jutawan terkenal di Malaysia. Ayahnya, Tan Sri Halim, tidak kisah sekiranya anaknya membuat hal di sekolahnya. Kenapa? Kerana tiada siapa yang berani menegur anaknya. Siapa yang menegur, sudah tentu dipecat! 

Layla, atau nama penuhnya Nur Layla Nabila. Cerita hidupnya sangat menyedihkan. Dia tidak tahu dari mana asal usulnya. Dia dijumpai oleh seorang ustaz yang ketika itu ingin pulang dari masjid. Ustaz Naim dan Ustazah Safia yang menjaganya sejak kecil. Dia pernah menanyakan kepada uminya siapa ibunya yang sebenar. Tetapi, uminya langsung tidak membuka cerita. 

“Jangan panggil aku dengan panggilan itu! Aku bukan budak sampah!” kata Layla kepada Amira. Dia sudah lali dengan perangai musuh ketatnya itu. Di mana salahnya pun dia tidak tahu. Kelihatan Amira mencebik bibirnya. 

“Hei, budak sampah! Kau tak sedar diri? Kau dijumpai di dalam tong sampah! Memang layak kau digelar begitu!” Amira berkata dengan suara yang kuat. Rakan-rakan sekelasnya memandang Layla dengan penuh jijik. Mata Layla mula terasa panas. Dalam beberapa saat lagi air matanya akan tumpah mengalir ke pipinya. 

“Aku anak Ustaz Naim dan Ustazah Safia! Aku ada mereka. Aku ada ayah dan ibu!” jerit Layla. 

“Sudahlah. Kau memang tidak layak masuk sekolah elit ini,” Amira membalas. Puas hatinya. 

Layla tidak mampu menahan sabar. Ringan saja tangannya menampar muka Amira. “Itu balasan untuk orang yang kurang ajar!” 

Amira terkesima. Melampau budak sampah ini! Belum sempat dia membalas, ketua kelas memanggil namanya dan Layla. 

“Amira, Layla, Cikgu Natijah panggil kamu berdua. Sila pergi ke bilik guru.” 

Layla pantas keluar. Dia tak sanggup lagi. Air matanya mengalir. Amira berada di belakang. Dia tidak mahu musuh ketatnya tahu dia lemah. 

***** 

“Apa masalah kamu berdua? Ini sudah keberapa kali kamu bergaduh?” Cikgu Natijah memandang anak muridnya. Sekejap dia memandang Amira. Sekejap dia memandang Layla. Kelihatan Layla mengesat matanya dengan hujung lengan baju sekolahnya. Masing-masing senyap tidak berkutik. Cikgu Natijah menggelengkan kepalanya. 

“Amira, kamu yang mulakan pergaduhan ini?” 

Amira pantas menggelengkan kepalanya. 

“Layla?” 

“Tidak, cikgu.” Dia tersenyum memandang Cikgu Natijah. Harap-harap Cikgu Natijah tidak memberitahu umi dan ayahnya. 

“Saya rasa saya perlu panggil  kedua ibu bapa kamu.” Cikgu Natijah mengeluarkan telefon. 

“Jangan, cikgu!” halang Amira. Dia tidak mahu daddynya tahu perangai buruknya. Walaupun guru-guru tidak pernah memberitahu daddynya, tetapi daddynya telah memberi green light kepada Cikgu Natijah untuk memberitahu masalah yang dibuatnya di sekolah. 

“Kenapa?” Cikgu Natijah meletakkan kembali telefonnya. 

“Kerana… erm… sa… saya takut daddy saya marah!” Amira membalas. Kelihatan Cikgu Natijah mengangguk-anggukkan kepalanya. 

“Baiklah. Saya tidak telefon. Kamu berdua boleh masuk ke kelas,” Katanya sambil memaniskan muka. Layla dan Amira yang tidak mengesyaki apa-apa segera pulang ke kelas. 

*****
Amira menundukkan kepalanya ke bawah. Rupa-rupanya Cikgu Natijah menelefon daddynya dan ibu bapa Layla. Dia mengangkat muka sedikit. Layla sedang memandangnya. Dia menundukkan kepalanya lagi. 

“Saya rasa saya ada jalan penyelesaiannya.” kata Tan Sri Halim. 

“Apa cadangan Tan Sri?” tanya Cikgu Natijah. 

“Saya mahu mengambil Layla sebagai anak angkat. Saya rasa Amira juga tidak keberatan, bukan? Dengan cara ini dapatlah mereka bermain bersama-sama dan tidak bergaduh. Ustaz dan U=ustazah juga tidak keberatan, bukan?” Cadangan Tan Sri membuatkan semua terdiam. Cikgu Natijah mengangguk anggukkan kepala. 

“Kami tidak kisah Tan Sri,” jawab Ustaz Naim. 

“Tetapi, sebelum itu, saya mahu minta mereka meminta maaf antara satu sama lain,” kata Ustazah Safia pula. 

Amira bangun. Layla terkejut dengan tindakannya itu. Amira memandangnya. Amira menuju ke tempat Layla duduk. 

Layla bingkas bangun. Tidak dia sangka, Amira memeluknya. Di sebalik pelukan itu, Amira menangis. 

“Maafkan aku, Layla. Selama ini aku selalu mengejek kau. Maafkan aku!” Kedengaran suara Amira yang menangis. Layla turut membalas pelukannya itu. Dia berasa terharu dengan Amira. 

“Tidak apa. Aku dah lama maafkan,” kata Layla. Sungguh mulia hati Nur Layla Nabila. 

Amira mengeratkan pelukannya. Tan Sri, Cikgu Natijah, Ustaz Naim dan Ustazah Safia tersenyum melihat mereka. 

***** 
Dua bulan kemudian. 

Amira dan Layla semakin rapat. Di rumah juga tidak pernah berenggang. Ibu bapa Layla juga melawatnya setiap minggu. Layla berasa seronok dapat tinggal di rumah mewah itu. Dia bersyukur kerana daddy memberikan cadangan ini. Jikalau tidak, pasti dia masih bergaduh dengan Amira. Ya Allah! Terima kasih.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: