Certot

Kelas Pertama

Hasil nukilan NISA about 3 years agoFiksyen 61

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan. Tahun ini, aku akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Oleh itu, aku tidak mahu lagi memikul tanggungjawab sebagai pengawas sekolah.

Tepat jam 6.00 pagi, aku bangun dari tempat tidurku. Aku terus mencapai tuala lalu masuk ke dalam bilik air. Semasa memakai baju kurung sekolah yang berwarna putih, aku berasa janggal. Mungkin kerana sudah biasa memakai baju kurung yang berwarna biru ke sekolah.

Apabila tiba di sekolah, ramai rakan-rakan yang melihatku. Mereka juga berasa hairan dengan penampilan baruku. Sebenarnya aku tidak memberitahu mereka yang aku tidak mahu lagi menjadi pengawas sekolah.

Jam 7.40 pagi, aku dan rakan-rakanku berkumpul di Dataran Setia untuk majlis perhimpunan rasmi sekolah. Apabila tamat majlis tersebut, Cikgu Zamani meminta murid tahun enam tunggu. Cikgu Azhar membahagikan kami kepada tujuh buah kelas mengikut ujian akhir tahun lima.

Sewaktu Cikgu Azhar memanggil nama di kelas 6 Amanah iaitu kelas pertama, aku tidak memberikan sepenuh perhatian. Apabila di kelas 6 Bestari aku mendengar dengan teliti. Namaku tiada di kelas tersebut. Aku terus mengajak sahabatku, Tasnim untuk berjumpa dengan Cikgu Azhar. Rupa-rupanya namaku berada di kelas pertama.

Aku tidak menyangka yang aku berada di kelas pertama.




Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: