Certot

Kelab Taekwando

Hasil nukilan Amelia 2 years agoSukan 13

Di belakang kantin sekolah yang sunyi sepi, kelihatan tiga orang remaja lelaki berada di situ. Dua orang daripada remaja itu membuli seorang lagi remaja lelaki. Mangsa buli itu menangis teresak-esak akibat dibelasah teruk. Jatuh air mata jantan!

Dua orang remaja itu merupakan pembuli besar SMK Taman Permata. Mereka sering mengugut junior-junior supaya memberikan wang perbelanjaan mereka pada setiap hari. Nama mereka ialah Nazrin dan Rizman, manakala mansa buli itu pula bernama Hashim, pelajar yang lemah kudratnya. Badan yang kurus kering sering menjadi bahan ejekan rakan-rakannya.

“Mana wang kami? Bukankah kami sudah pesan supaya memberi wang pada kami setiap hari? Tidak faham bahasa?” Nazrin memekik. Amarahnya menyirap kala ini.

“A… a… aku err… aku lapar. Wang itu sudah aku gunakan untuk membeli makanan di kantin sekolah,” jawab Hashim dengan tergagap-gagap.

“Oh, engkau lapar ya! Hmm… hebat juga nafsu makan engkau itu, ya. Harap badan sahaja kurus, tetapi perut buncit seperti ikan paus!” Nazrin berkata dengan sinis. Langsung tidak menjaga percakapan.

“Nah, kau makan buku lima aku ni!”

“To… tolong jangan! Aku janji perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi.”

“Hmm… bagus. Sudah, engkau boleh pergi. Tetapi, denda tetap denda. Engkau perlu dibelasah cukup-cukup!” kata Rizman. Hatinya langsung tidak berasa kasihan akan keadaan mangsanya itu.

Tangisan Hashim semakin kuat. Dia tidak sanggup lagi untuk menerima buku lima. Kudratnya  sudah teramat lemah. Dia berdoa dalam hati supaya pembulinya itu tidak meneruskan niatnya itu.

Baru sahaja Rizman mahu mengangkat tangan untuk menumbuk, hasratnya itu terbantut. Kelihatan Cikgu Zainudin, guru disiplin sekolah mara ke arah mereka sambil memegang rotan. Raut mukanya serius.

“Nazrin, Rizman! Apa yang kamu berdua lakukan pada Hashim? Pergi ke bilik disiplin sekarang!” jerit Cikgu Zainudin dengan lantang. Mukanya merah menyala apabila melihat pembulian di hadapan mata. Dia sebagai guru disiplin harus mencegah semua itu sebelum semuanya menjadi lebih teruk lagi.

Muka Nazrin dan Rizman menjadi pucat sebaik sahaja melihat wajah bengis Cikgu Zainudin. 

‘Alamak, rahsia sudah terbongkar!                             

*****

Di bilik disiplin….

Nazrin dan Rizman hanya menundukkan muka semasa berada di bilik disipin itu. Mereka tidak sanggup merenung mata Cikgu Zainudin.

“Apa yang kamu berdua lakukan pada Hashim itu?” tanya Cikgu Zainudin dengan nada suara yang tegas.

Diam. Tiada kata-kata yang terluah daripada mulut dua orang pembuli itu.

“Cikgu tanya ini! Mengapa kamu berdua tidak jawab?” Cikgu Zainudin bengang apabila pertanyaannya tidak dijawab. Guru disiplin menepuk meja kerjanya dengan kuat. Rizman melatah. Nazrin hanya menahan gelak apabila mendengar rakannya yang seorang itu melatah. Tidak maco apabila seorang lelaki melatah.

“Hah, cakaplah!” jerkah Cikgu Zainudin.

“Err… err… ka… kami tidak melakukan apa-apa kepada Hashim, cikgu.” Rizman berdalih.

“Kalau kamu berdua tidak melakukan apa-apa terhadap Hashim, mengapa dia menangis teresak-esak?” Cikgu Zainudin bijak mematahkan hujah Rizman sebentar tadi. Dia memang dapat menghidu muslihat tersebut.

Rizman mengeluh halus. Dia terpaksa bercakap benar. “Sebenarnya, kami sering meminta wang daripadanya setiap hari. Tetapi disebabkan dia tidak memberi wang perbelanjannya pada hari ini, kami berniat mahu membulinya.”

“Hmm… disebabkan kamu berdua telah melakukan yang amat berat, kamu berdua mesti dihukum. Ini merupakan amaran terakhir daripada saya. Sekali lagi saya mendapat aduan bahawa kamu berdua membuli, kamu berdua akan digantung sekolah atau lebih teruk, dibuang sekolah.”

“Apa hukumannya, cikgu?” Nazrin pasrah dengan hukuman yang bakal dihadapi.

Cikgu Zainudin tersenyum di sebalik misainya yang lentik itu.

*****

“Apa? Mengapa kami mesti menjadi ahli kelab taekwando yang entah apa-apa ini?” tanya Rizman. Bengang denga hukuman yang diberikan.

“Saya tiada pilihan lain selain mendaftarkan nama kamu berdua pada kelab taekwando. Lagipun, saya dapat lihat bakat yang ada dalam diri kamu. Apa gunanya kamu berdua pandai menumbuk dan menendang antara satu sama lain kalau tidak dimanfaatkan? Mungkin dengan cara ini, kamu berdua dapat bergiat secara aktif dalam bidang kokurikulum. Saya melihat kamu berdua langsung tidak melibatkan diri dalam mana-mana kelab. Kamu berdua perlu ingat, pemilihan ke IPTA berdasarkan markah akademik dan markah kokurikulum diambil sebanyak sepuluh peratus daripada keseluruhannya. Sekiranya markah akademik kamu berdua pun rendah, bagaimana mahu terpilih ke IPTA yang bagus-bagus? Tahun ini ialah tahun terakhir kamu berdua menuntut di sekolah ini. Jangan merayu-rayu untuk masuk ke sekolah ini semula apabila kamu berdua gagal dalam kehidupan.Jangan menyesal di kemudian hari,” kata Cikgu Zainudin dengan sinis. Dalam nasihatnya, sempat lagi dia mengutuk dua pelajar di hadapannya itu.

“Ta… tapi cikgu ini tidak….” Belum sempat Rizman menghabiskan kata-katanya, ketukan pintu kedengaran.

Tok! Tok! Tok!

Cikgu Zainudin memberi keizinan untuk masuk ke dalam bilik disiplin. Setelah pintu dibuka, muncul figura yang berpakaian sekolah, bertudung, dan kurus. Figura tersebut dipersilakan duduk.

“Nazrin, Rizman… perkenalkan, ini Aisha Sobrina, pengerusi kelab taekwando sekolah. Beliau yang akan membimbing kamu nanti. Untuk pengetahuan kamu berdua, beliau merupakan ayam tambatan sekolah. Beliau sering menjuarai pertandingan taekwando yang dianjurkan mana-mana pihak sehingga berjaya mara ke peringkat kebangsaan!”

Aisha sekadar tersenyum dan menundukkan muka. Malu agaknya apabila kelebihan dirinya disebut-sebut.

“Huh! Apalah yang boleh dibuat oleh gadis yang lembik begini, cikgu? Baik main masak-masak bersama adik-adik di rumah. Lagi seronok!” Rizman berkata dalam nada yang kurang menyenangkan. Jelas sekali dia tidak berasa selesa apabila mengetahui seorang gadis yang akan membimbing seorang lelaki yang macho seperti dia.

“Rizman, jaga sedikit kata-kata kamu itu! Mungkin Aisha kelihatan lembik di luaran, tetapi mungkin dalaman dia kental. Don’t judge a book by its cover,“tegah Cikgu Zainudin.

“Latihan taekwando akan diadakan pada hari Isnin dan Rabu jam 3.30 petang. Kehadiran kamu berdua adalah diwajibkan. Faham?” Itulah kata-kata muktamad oleh guru disipin itu.

*****

Seperti yang dijanjikan, Nazrin dan Rizman menghadirkan diri semasa perjumpaan kelab Tekwando. Mereka tiba tepat pada masanya.

“Baiklah, semua! Hari ini kita mempunyai dua ahli baru. Sila perkenalkan diri kamu berdua Nazrin, Rizman,” Aisha memulakan kata-kata aluannya.

“Nama saya Nazrin dari kelas 5 Khawarizmi. Sila beri tunjuk ajar. Janganlah kalian lokek ilmu. Kalian pun manusia biasa macam saya juga,” Nazrin memperkenalkan dirinya dengan biadap.

Ahli-ahli kelab taekwando yang tadinya tersenyum manis kini mengendur. Mereka sungguh terkilan dengan kata-kata Nazrin yang biadap tadi. Mahu sahaja mereka semua menyumbat cili padi dalam mulit si gangster itu. Biar padan muka!

“Nama saya Rizman. Saya juga dari kelas 5 Khawarizmi,” Rizman memperkenalkan dirinya secara ringkas.

“Okey, mari kita mulakan latihan kita pada petang ini,” kata Aisha. Dia tidak mahu berlakunya pertengkaran antara mereka.

*****

“Hari ini, kalian akan mengadakan latihan berlawan memandangkan pertandingan akan menyusul tidak lama lagi,” Aisha memberikan penerangan tentang latihan yang akan dilakukan. 

Seorang demi seorang ahli kelab taekwando berlawan. Kini tinggal Nazrin dan Rizman sahaja.

“Kamu berdua tidak dibenarkan berlawan antara satu sama lain. Rizman, kamu berlawan dengan Hasnul! Pakai benda ini.”

Rizman mula turun ke padang untuk berlawan. Raut wajahnya kelihatan yakin sekali bahawa dia akan memenangi perlawanan itu walaupun ia sekadar latihan. Rizman menundukkan badan tanda hormat. Kemudian, dia membuat aksi bersiap sedia sepertimana yang dilihatnya sebelum ini.

Perlawanan pun bermula. Hasnul menendang perut Rizman sehingga baju penghalang itu berbunyi. Badan Rizman tertolak ke belakang. Dia mendengus marah seperti kerbau. Dia menumbuk muka Hasnul sehingga lawannya jatuh terduduk. Hasnul mengerang kesakitan. Berbisa sungguh tumbukan si gangster itu.

Aisha menghentikan perlawanan apabila Rizman melanggar peraturan yang telah ditetapkan. “Rizman ,kamu telah melanggar peraturan! Bukankah sudah saya katakan sebentar tadi, pemain hanya dibenarkan menendang pada aras dada dan perut sahaja!K amu mesti menendang sehingga baju penghalang ini berbunyi. Adakah kamu tidak faham bahasa ibunda kita?”

Rizman hanya mengetap bibir. Mukanya merah padam meahan malu. Geram!

“Kamu mesti ingat, ini ]taekwando. Seni mempertahankan diri. Bukannya main tumbuk sahaja. Taekwando mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap pemain. Faham?”

Mereka berdua mengangguk faham. Ya, berdua kerana Nazrin pun turut sama menimba ilmu baru ini. Setelah Rizman mengerti sepenuhnya tentang peraturan, perlawanan pun dimulakan.

*****

Sebulan kemudian….

Alhamdulillah! Nazrin dan Rizman berjaya menguasai ilmu taekwando. Mereka juga telah berjaya mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan taekwando yang telah diadakan dua minggu lalu.

Pihak sekolah dan ibu bapa mereka amat bangga sekali dengan pencapaian tersebut .Nazrin dan Rizman telah berubah. Mereka tidak lagi membuli pelajar, sebaliknya mereka sering mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah sementara menunggu ibu bapa masing-masing mengambil mereka. Mereka juga telah berjaya mendapat tali pinggang kuning dalam taekwando.

Kini, mereka telah sedar bahawa masa itu amat penting dalam kehidupan. Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.B enarlah kata orang, ‘Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Setiap orang boleh berubah ke arah kebaikan sekiranya disertakan dengan usaha.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: