Certot

Kebolehan yang Terpendam

Hasil nukilan Shazarina Aryani 2 years agoSukan 50

Fadhilah seorang murid yang sangat pemalu dan sentiasa merendah diri meskipun dia memiliki kelebihan yang tidak dimiliki oleh rakan-rakannya yang lain. Menjelang hari sukan, dia akan berponteng sekolah agar tidak perlu mengikuti pemilihan untuk mewakili rumah sukan dalam apa-apa acara sukan padang dan balapan.

    Dia masih mengingati insiden yang berlaku pada tahun lalu sewaktu pemilihan wakil rumah sukan bagi acara lumba lari. Walaupun dia memiliki ketinggian dan berat badan yang normal, kakinya tetap berat untuk berlari dan bersaing dengan rakan-rakannya yang lain.

“Fadhilah, cepatlah ke trek perlumbaan!” jerit kapten sukan merah yang telah dilantik oleh cikgu Asyraf.

“Cikgu, kaki saya sakit terkena duri!” jawab Fadhilah untuk mengelak.Walaupun kakinya dalam keadaan baik sahaja.

No more excuse! Cikgu tahu kamu tipu. Cikgu tak mudah terpedaya. Cepat! Ini Cuma pemilihan. Kamu tak usah mengelak!” jawab cikgu Asyraf yang datang ke arah Fadhilah dengan tegas.

“Mmm, nanti aku akan kalah juga.” Fadhilah mengeluh lemah.

“Ke garisan, sedia, mula!” Cikgu Asyraf memberi arahan selaku pengadil bagi pemilihan tersebut.

Kesemua peserta berlari dengan sekuat hati agar terpilih untuk mewakili rumah sukan.Seperti selalunya, Fadhilah mendapat tempat terakhir dan tidak terpilih untuk mewakili rumah sukan.

‘Aku dah cakap. Memang takkan menang punya,’ Fadhilah mengomel seorang diri sambil berlari pergi ke tepi padang untuk menghilangkan penat setelah penat berlari.

“Badan jer macam kayu. Tapi berlari macam kura-kura. Dah tahu tak laju berlari, nak juga bertanding.” Seorang rakan sekelas Fadhilah yang memenangi perlumbaan tadi.

Fadhilah hanya mendiamkan diri. Tak guna dia melayan orang seperti itu. Buat dosa bertambah sahaja.

*****

Menjelang hari sukan sekolah yang diadakan di padang sekolah SK Seksyen 2, Shah Alam pada tahun ini. Keadaan sekolah riuh-rendah dengan kehadiran pelajar dan ibu bapa murid serta guru-guru yang terlibat dalam hari sukan tersebut.

Setiap wakil rumah sukan diarahkan beratur di kaunter pendaftaran untuk diberi nombor peserta. Seperti biasa, Fadhilah hanya menjadi penyokong untuk rumah sukan Merah. Sungguh membosankan. Itulah salah satu sebabnya dia bencikan hari sukan sekolah.

“Habislah! Peserta acara lompat tinggi tidak datang!” jerit kapten pasukan yang menyedari ketidakhadiran seorang atlet yang akan mewakili rumah sukan mereka.

“Sebentar, biar cikgu hubungi penjaganya. Harap-harap lah tidak terjadi apa-apa. Acara lompat tinggi akan dimulakan pada pukul 10.30 pagi nanti,” kata Cikgu Asyraf yang resah apabila mendengar berita tersebut.

“Nampaknya kita perlu mencari seseorang yang sesuai untuk menggantikan dia. Dia tidak dapat hadir kerana kakinya cedera akibat terseliuh sewaktu balik sekolah kelmarin,” kata cikgu Asyraf dengan nada kecewa.

Semua murid rumah Merah senyap seketika memikirkan siapa yang boleh menggantikan peserta itu.

“Cikgu! Saya nak cadangkan Fadhilah. Dia mempunyai ketinggian yang tinggi dan badan yang kurus.Saya yakin dia boleh melakukannya.” Syuhada selaku ketua kelas memberi cadangan.

“Baiklah, cikgu sudah tiada pilihan. Fadhilah, kamu pergi ambil nombor peserta sekarang juga. Kamulah satu-satunya harapan cikgu.”

Fadhilah hanya patuh dengan arahan gurunya. Lagipun apa yang dikatakan oleh Syuhada benar juga.

Alhamdulillah. Fadhilah dapat melakukannya dengan terbaik walaupun mendapat tempat kedua. Dia bertekad ingin menyertai acara lompat tinggi ketika hari sukan pada tahun hadapan. Kini, dia tidak lagi merendah diri kerana kelemahannya untuk berlari laju.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: