Certot

Kau Siapa?

Hasil nukilan Little Iz 1 year agoSukan

PERTANDINGAN BOLA JARING

Aku terpandang sehelai poster yang terpapar di ruang legar blok kediaman asrama. Bola jaring? Menarik! Tetapi, layakkah aku? Aku meneruskan perjalanan pulang ke bilik asrama Blok Seri Intan yang tidak jauh dari situ. Sedang aku menyeluk saku mencari kunci pintu, aku terdengar suara orang memanggil nama aku.

“Nana!” 

Aku menoleh memandang Nisa yang berlari ke arahku. Dia memegang bahuku sambil menghirup udara seakan-akan udara hampir habis. 

“Mengapa dengan kau? Berlari seperti dikejar dengan hantu,” ejekku. Aku terlihat di tangan Nisa ada sehelai borang. Aku tidak pasti borang apakah itu. Apabila aku ingin mengambil borang itu, Nisa segera bangun dan terbatal niatku untuk mengambil borang tersebut. Nisa senyum ke arahku sehingga menampakkan gigi.

“Tada!” Nisa menunjuk borang di tangannya tepat di hadapan muka aku. Hampir tercium dibuatnya. Aku berganjak ke belakang sedikit. Borang pendaftaran ahli untuk pasukan bola jaring. Aku mengangguk faham. 

“Mengapa dengan borang ini?” aku bertanya acuh tak acuh. Nisa seraya mencubit lengan aku dan secara tidak sengaja aku terjerit kuat. Aku mengaduh dan menggosok lengan aku. Perit. Sejak bila pandai mencubit, aku pun tidak pasti. Selalunya dia akan membuat mimik muka apabila aku berseloroh.

“Mari masuk! Ajak Kila sekali. Mesti seronok. Dapat markah koko lagi!” Nisa mempromosi kekosongan ahli dalam pasukan kepada aku. Aku tergelak. Kila? Ajak masuk? Dia bukannya aktif dalam sukan-sukan. Aktiviti tidur, memang pasti juara tanpa bertanding! 

“Mesti aku orang pertama yang daftar dalam kumpulan, bukan?” aku sengaja bertanya sebab aku tahu, apa-apa aktiviti yang Nisa ingin sertai, orang pertama yang dia cari mestilah aku! 

“Semestinya! Yalah, kau sahaja yang suka benda-benda aktif. Lagipun kau pernah wakil kelas lawan bola jaring. Dapat tempat kedua pula! Aku tidak boleh biarkan orang yang berpengalaman seperti kau diambil orang. Lagipun kau kawan baik aku. Mesti kau pun mahu, bukan?” Nisa membodek aku. Aku hanya tergelak kecil. 

“Yalah, ajak ahli kita yang lain masuk. Kalau tidak, aku luku!” Jawapan aku membuatkan Nisa melompat gembira sehingga terpijak kaki aku. Aku membalas balik dengan memijak kakinya. Nisa mengelak. Aku hanya menggeleng. 

“Esok pukul 5.30 petang dekat netball court. Semua mesti ada,” aku memberi arahan kepada Nisa. Walhal, Nisa adalah pengurus. 

*****

Tepat pukul 5.30 petang kami berkumpul di tiang gol jaring. Aku memberi isyarat kepada Nisa. Nisa tidak faham dan mengangkat bahu. Aku mengeleng kepala. Aku mengambil alih sebagai ketua pemanas badan. Aktiviti memanaskan badan pun bermula dan berakhir dengan jayanya. 

“Selepas ini, kita buat latihan asas membaling dan menangkap bola. Semua buat bulatan dan pastikan ada jarak antara kamu semua,” Aku memberi arahan dan terus menyuruh Nisa mengambil alih. Bola berada di tangan Aisyah. Nisa mempamerkan cara membaling dan menangkap bola. Semua yang terlibat memberikan kerjasama. 

Selesai membuat latihan, kami berpakat untuk menguji kecekapan dalam menjaringkan bola. Namun begitu, Amira tidak mahir dalam menjaringkan bola. Tetapi aku melihat Amira mempunyai potensi yang tinggi. Aku melihat air muka Nisa tidak puas hati. Apabila latihan selesai, kami berkumpul untuk memberi posisi masing-masing.

“Untuk perlawanan ini, yang akan bermain tujuh orang, tiga orang sebagai simpanan. Nana posisi centre sebab dia kecil, cekap menyelit, dan pantas berlari. Aku posisi GS. Aisyah WD. Umi WA. Afiqah GA. Mai GD. Yana GK. Kila, Amira, dan Jah simpanan. Ada bantahan?” Nisa mengumumkan posisi masing-masing tanpa berunding. 

Amira tertunduk sambil meraup mukanya. Aku faham akan keadaannya sekarang. Aku perhati yang lain tidak membantah. Aku berdiri tanpa mengangkat tangan. Aku ingin bersuara dan menyatakan kata-kata semangat. 

“Aku tidak mahu bantah apa-apa, cuma mahu komen pasal latihan hari ini. Aku tengok kamu semua gigih berlatih. Yang tidak ada asas, aku perhati ada potensi jadi pemain. Aku mahu kamu semua punya semangat terus membara sampai perlawanan tiba. Boleh?” 

Semua menjawab “boleh!” sambil mengangkat tangan secara serentak. Aku tersenyum.

“Esok ada latihan. Tempat dan masa sama seperti hari ini. Terima kasih sebab sudi jadi ahli pasukan ini. Semua boleh bersurai. Assalamualaikum.” Nisa mematikan kata. 

*****

“Dia tidak layaklah! Sambut bola pun bola asyik terlepas. Harap sahaja tinggi, tetapi jaringkan bola pun tidak lepas! Ergh!” Nisa meluahkan rasa marahnya kepada aku dan Kila. Aku mengelap peluh dengan tisu poket aku. Kemudian, aku meneguk air mineral.

“Biasalah, budak baru belajar. Nasib baik aku ini simpanan. Aku tidak kuat berlari seperti Nana. Tetapi aku tengok Amira itu seperti menyusahkan pasukan sahaja. Kemahiran pun tidak cekap,” Kila mengomel. Kila bersetuju dengan pandangan Nisa terhadap Amira. Amira menjadi topik perbualan sensasi ketika ini.

“Aku tengok dia ada bakat. Cara dia sahaja yang perlu diubah. Cara dia nak jaringkan bola sudah ada. Cuma tangan perlu dibaiki,” aku membela Amira. Nisa dan Kila memandang aku tidak puas hati. Nisa memalingkan muka ke arah lain. Kila segera beredar selepas mendapat isyarat mata aku. 

“Aku tahulah kau itu berpengalaman jadi ketua, pengurus, dan macam-macam lagi. Cubalah kau tengok Amira. Dalam tempoh terdekat ini bagaimana dia mahu asah bakat? Aku ketua pasukan. Aku tahu apa yang terbaik untuk pasukan aku. Kau kena faham. Ini tidak, kau beri budak-budak baru pegang bola. Memang kalah teruklah pasukan kita. Belum main sudah kalah sebab ada bala,” Nisa meluahkan kesalnya. Aku tersenyum.

“Welcome to the world. Ini baru permulaan kau sebagai seorang ketua. Sebagai ketua pengawas disiplin sekolah, aku nasihatkan jangan buat keputusan terburu-buru tanpa berbincang. Okeylah, gerak dahulu. Jumpa esok.” Aku membiarkan Nisa berseorangan di meja legar asrama. Nisa mencebik.

*****

Latihan berikutnya..

“Nana! Pass bola pada aku! Pass!” jerit Aisyah.

“Aisyah!!” jerit aku.

Aku terus membuat locked-ball kepada Aisyah. Aisyah berjaya menyambut, kemudian segera membaling bola kepada Amira. Amira menyambut dan mengambil posisi sebagai GS. Nisa memegang posisi sebagai GK. Amira mengambil masa untuk mengagak gol. Nisa sempat memerli Amira.

“Kalau tidak boleh jaringkan gol, jangan main. Kalau tidak yakin, jangan main. Kalau rasa kau ni menyusahkan, jangan main.” Kata-kata pedas Nisa membuatkan Amira berang dan terus membaling bola tepat ke muka Nisa. Nisa gagal menepis. 

Amira sudah melarikan diri. Nisa ingin mengejarkan namun aku sempat menghalang. Nisa menolak aku ke tepi, tetapi aku menarik tangannya ke belakang.

“Kau siapa mahu halang aku? Kau siapa?” tengking Nisa seraya merentap tangannya daripada peganganku. Semua yang ada mendekati kami. Jah mencari Amira untuk memujuknya. Kila berlari mendapatkan kami.

“Aku ini kawan kau! Janganlah ikut perasaan! Sudahlah. Kita ini bukan budak lagi, sudah besar. Sudah boleh buat keputusan rasional,” aku menjawab soalan Nisa dengan tegas. 

Kila kecut perut mendengar suara aku terus memujuk Nisa. Nisa bengang. Nisa menaikkan tangannya ingin menampar aku, tetapi aku pantas memangkas. 

“Kau masih tidak faham? Dia itu lembab! Aku penatlah ajar dia!” Kata-kata Nisa diakhiri dengan tangisan. 

Nisa melutut. Kila mendapatkan Nisa lalu segera memeluknya. Aku mengarahkan yang lain pulang dan meminta maaf atas tindakan mereka berdua tadi. Aku menghulurkan botol air minuman kepada Nisa. Nisa menyambut dan meneguk rakus. 

“Sudah puas?” Aku duduk di belakang Nisa tanpa bersemuka. Kila memegang tangan Nisa cuba memujuk. Aku meluruskan kaki melepaskan penat. Nisa masih tersedu-sedan menangis. Kila menggosok belakang Nisa bagi menenangkannya. 

“Kau hebatlah, Nana. Bagaimana kau boleh kawal perasaan marah? Aku tidak boleh jadi seperti kau. Aku rasa bersalah sangat bila kau tengking aku. Menusuk ke dalam hati aku ini,” Nisa berkata dalam tangisan. Kila hanya berdiam diri.

“Ini baru pasukan kecil. Tugas aku kawal satu sekolah. Lagipun aku dari sekolah rendah jadi pengawas. Sudah biasa,” aku menjawab selamba. Tangisan Nisa terhenti. Aku hairan. Aku menoleh belakang. Tiba-tiba….

“Aku tidak kuat! Aku rasa bersalah sangat. Terima kasih keraba sedarkan aku.” Nisa memeluk aku apabila aku menoleh ke belakang. Kila menitiskan air mata melihat sesi luahan rasa, lalu terus memeluk kami. Aku naik rimas.

“Sudahlah. Habis melekat hingus kau di tudung aku. Mana perginya hati batu kau? Yang kau ini Kila, mengapa?” Aku berseloroh dan mereka ketawa. Kami pulang ke bilik masing-masing. 

*****

Malam yang sama….

Aku mencari Amira di dewan makan. Aku terlihat dia termenung jauh. Aku segera mendapatkannya lalu menyapa. Amira agak terkejut. Sebaris senyuman nipis dihadiahkan untuk aku. Amira tahu niatku.

“Kau ada kebolehan yang aku tidak ada. Kau pandai ambil tempat untuk jaringkan bola. Pasal Nisa tadi, aku harap kau maafkan sebab kata-kata dia pedas. Ini pertama kali dia pegang jawatan sebagai ketua. Dia tidak ada pengalaman. Harap kau bersabar,” aku memulakan perbualan. Amira hanya mengangguk.

“Aku maafkan. Aku panas sekejap sahaja, tetapi…,” kata-kata Amira tergantung. 

“Tetapi apa?” aku kaget.

“Betulkah aku ada kebolehan jaringkan bola? Aku tidak yakinlah. Lagipun aku tidak pernah sertai mana-mana acara bola jaring. Sebab itulah Nisa tidak yakin dengan aku. Aku ni tidak boleh berharap. Tempat aku simpanan sahaja,” Amira meluahkan rasa. Aku tersenyum.

“Dari segi fizikal lulus. Cuma kemahiran je. Kena asah sikit je. Dah boleh tu. Aku cakap macam ni sebab aku teringat dekat kawan aku yang pernah sertai pertandingan bola jaring. Dia posisi GS. Cara dia sama macam kau cuma teknik dia lagi cun. Jah ada teknik itu. Kau boleh belajar dengan Jah,” aku cuba memberi kata-kata positif buat Amira.

“Baiklah. Aku cuba sedaya upaya. Terima kasih, Nana. Jumpa dalam perlawanan nanti.” Amira beransur pergi. 

Aku menghantar Amira melalui ekor mata. Aku tersenyum. Dalam perjalanan pulang ke bilik, aku terlihat ada sepucuk surat di rak kasut aku. Surat itu dalam kasut aku. 

Aku mengambil dan terus membuka. Tulisan tangan ini tidak asing lagi kalau bukan dia.

Terima kasih sebab tolong sedarkan aku. Aku tidak sehebat kau. Aku cepat menghukum orang melalui pandangan mata kasar. Tetapi satu aku mahu beritahu. Aku tetap cantik antara kita bertiga. 

                                                                                                                                              With love,

                                                                                                                                                      Nisa.

Aku menggeleng kepala. Ingat sweet? 

*****

Hari pertandingan.

“Umi! Ambil ini!” jerit Mia. Umi melompat menangkap bola. Umi mencari ruang kosong untuk menghantar bola. 

“Umi! Pass dekat Nana!” jerit Jah dari jauh. 

Aku segera mencari kawasan yang kosong untuk menangkap bola. Umi membuat balingan locked-ball kepada aku. Aku melompat untuk menangkap. Tiba-tiba centre pihak lawan, Aina, berada di belakangku dan menyikuku. Aku pula terdorong ke hadapan dan Aina menghempap aku dari belakang.

Prit!

Wisel pengadil ditiup. Semua pemain kaku dalam posisi. Puan Maslinda segera mendapatkan aku. Aina bangun dari posisinya sempat membisik kepada aku.

“Aku tidak suka kau. Jangan harap aku biar kau menang.” 

Aku hanya tersengih. Aku bangun dan duduk seketika. Puan Maslinda bertanya tentang keadaan aku sama ada mampu meneruskan permainan ataupun tidak. Aku berdiri dan terus menyahut cabaran. Permainan diteruskan. 

*****

“Afiqah, pass bola pada aku!” jerit Nisa. Bola bertukar tangan. Nisa cuba menjaringkan bola. Saat bola berada dalam landasan, tiba-tiba satu tumbukan kuat hinggap ke muka Nisa. Nisa terjatuh. Hidung Nisa berdarah. 

Prit!

Sekali lagi wisel panjang ditiup. Puan Maslinda mendapatkan Nisa yang mengerang kesakitan. Nisa terpaksa dibawa keluar. Puan Maslinda menyuruh ahli simpanan mengganti tempat Nisa. Kila menawarkan diri, tetapi….

“Amira! Masuk!” aku membatalkan hajat Kila dan menyeru Amira menggantikan posisi Nisa. Amira memandang aku dengan penuh harapan. Aku membuat gaya lengan kuat. Mata Nisa bertemu mata Amira.

“Kau boleh buat. Aku percayakan kau!” Nisa memberi kata-kata semangat dalam kesakitan. Amira segera mengambil posisi. Semua ahli pasukan bersorak melihat Amira menyarung bib GS. Dan permainan semakin rancak.

*****

“Yeah, pasukan kita menang!” laung Aina dengan penuh keriangan. 

“Pasukan kita kalah! Tidak boleh jadi ini! Kalau aku main tadi, mesti menang punya,” Kila merungut. Semua ketawa. Kila. Dengan bola pun takut. 

“Apa-apa pun pasukan kita sudah buat yang terbaik dalam pertandingan ini. Tidak main kotor seperti pasukan yang menang itu.” Aku sengaja mewujudkan suasana tidak puas hati.

“Menang sama-sama. Kalah sama-sama. Terima kasih semua.” Nisa selaku ketua memberi kata-kata semangat. Nisa terpandang Amira. Mereka tertunduk. Aku berdeham. 

“Aku minta maaf!” kata Nisa dan Amira serentak.

“Aku maafkan,” aku berseloroh.

Aisyah mencubit aku. Aku mengaduh kesakitan. Nisa dan Amira berjabat tangan simbol kemaafan. Kami berpelukan beramai-ramai tanda menghargai ahli pasukan selepas kalah dalam pertandingan. Segala persengketaan berakhir dengan kemaafan dan kegembiraan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: