Certot

Kasut Sukan Paling Berharga

Hasil nukilan Ft. nur aina 3 years agoSukan 19

“Ibu, saya mahu kasut sukan!” kataku tegas. 

Sejak melihat kasut sukan yang dipakai oleh kawanku, hatiku berasa cemburu. Aku yang berusia 12 tahun ini masih belum mempunyai kasut sukan. Almaklumlah, aku dalam golongan yang susah dan miskin. Aku pasti tidak mampu untuk membeli kasut sukan berjenama Nike, Line 7, mahupun Adidas. 

Namaku Muhammad Alif Abdullah bin Ahmad Manaf. Aku berusia 12 tahun dan kehilangan bapa semasa aku berusia 7 tahun. Selepas kehilangan ayah, ibuku terpaksa berusaha untuk mencari nafkah dan sesuap nasi. Ibuku juga sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaanku. 

“Kamu mahu buat apa dengan kasut sukan itu?” Ibu tekun memasukkan benang ke dalam jarum. Aku mendengus geram. 

“Mahu bersukanlah. Bukankah itu kegunaan kasut sukan?” kataku. Mataku memandang tepat ke arah ibuku. 

“Tidak usah. Kamukan masih ada kasut sekolah. Kamu gunalah kasut sekolah untuk bersukan juga,” terang ibu. Ibu menjerit kecil apabila tangannya terkena jarum. 

Aku mengeluh agak kuat. Aku menghentak kakiku tanda memberontak.“Ah! Jika ibu tidak mahu belikan, saya mahu lari dari rumah!” Aku menghayun kaki ke luar rumah kayu itu. 

“Baiklah, baiklah. Ibu akan berusaha untuk membelikan kamu kasut sukan idaman kamu itu,” kata ibuku lemah. Aku tersenyum lebar. 

Ibu berjanji untuk membelikanku kasut sukan pada hari ahad. 

*****

Kini, masa telah tiba. Aku bangun dengan teruja. Hari ini hari Ahad. Pada petang itu, aku tunggu ibuku pulang di luar rumah dengan perasaan yang teruja. 

Aku melirik jam sudah pukul 6.00 petang. Tetapi, ibu masih belum pulang. Hatiku berasa risau. Aku berdoa supaya ibuku pulang dengan selamat. Aku memandang ke atas. Burung-burung mula pulang ke sarangnya.

Hari mula gelap dan ibu masih belum pulang. Tiba-tiba kedengaran suara Pak Mail, jiranku. 

“Alif, ibu kamu kemalangan!” 

Aku terkesima. Aku berasa tidak berdaya lagi. Lalu, aku pun jatuh ke tanah. 

“Alif, Alif….” Kedengaran suara ibuku lemah. 

Aku terbangun. Suasana hening. Aku sekarang berada di mana? 

“Alif, kita ada di hospital sekarang,” kata ibuku lalu tersenyum. Aku memandang tangan ibuku yang dibalut. 

“Ibu kemalangan di selekoh jalan rumah kita. Alhamdulillah, ibu cedera kecil sahaja. Ibu teruja mahu memberitahu ibu sudah membeli kasut sukan kamu.” Tanpa perlu menyoal, ibu menjawab seakan-akan membaca mindaku. Ibu memberiku sebuah kotak yang berisi kasut dan sebuah nota.

‘Ibu sayang kamu. Ini mungkin kasut sukan paling berharga untuk kamu. Jadi, jaga dengan baik ya! - Ibumu-’ 

Aku terharu. Aku memeluk ibuku lalu menangis teresak-esak. Aku mengucapkan terima kasih. Kini, aku punya kasut sukan. Bukan kasut sukan yang biasa. Tetapi, kasut sukan paling berharga! 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: