Certot

Kasut Sekolah

Hasil nukilan Dina Izzati 3 years agoSukan 90

“Engkau ni tiada duitkah? Kasut koyak rabak macam kasut orang gila,” ujar Razi selamba. Kata-katanya disambut dengan gelak ketawa rakan-rakannya.

Amri menahan marah dalam hati. Dia masih mampu bersabar. Ikutkan hati, mahu sahaja dia membaling pinggan mi goreng yang baru dibelinya tadi di kaunter membeli makanan ke muka Razi.

“Takkanlah engkau lupa Razi? Bukankah dia orang miskin,” kata Zainal, salah seorang rakan Razi. Sengaja menambah kata-kata Razi tadi. Terburai lagi ketawa Razi dan rakan-rakannya.

“Kasihan, tiada duit mahu beli kasut sekolah baru. Nak aku belikan?” tanya Razi, pura-pura prihatin.

‘Mentang-mentanglah engkau itu anak orang kaya, senang-senang sahaja mahu menghina anak orang miskin seperti aku,’ bisik Amri dalam hati geram. Hatinya mula panas. Dia perlu beredar dari situ dengan segera.

“Tak perlu rasanya engkau keluarkan duit untuk aku. Aku tak mahu terhutang budi. Dan lagi satu, tak semestinya seseorang itu berpakaian kemas dan perangainya elok. Ada juga yang berpakaian kemas tetapi perangai buruk mengalahkan samseng,” sindir Amri, puas. Tepat kena pada batang hidung Razi.

Amri segera meninggalkan Razi. Dia perlu mengisi perutnya yang sudah berkeroncong itu. Itu lebih bagus daripada menghadap muka Razi.

*****

“Semalam Razi kacau kau lagikah?” tanya Razman. Matanya memandang tepat ke arah muka Amri.

Razman tidak tahu akan perkara yang berlaku antara Razi dan Amri semalam kerana dia tidak datang ke sekolah. Itu pun dia tahu kerana adiknya, Rozita memberitahunya.

“Hmm.” Hanya itu jawapan Amri. Dia malas memikirkan perkara itu.

“Jangan beri muka sangat dengan dia tu, Am. Makin berlagak dia nanti,” nasihat Razman. Dia benar-benar tidak suka dengan sikap Razi yang suka menghina rakan baiknya itu.

“Selagi aku mampu bersabar, aku akan bersabar,” kata Amri. Hanya itu sahaja yang mampu dia katakan.

“Tidak mengapalah. Rehat nanti, kita makan bersama-sama,” pesan Razman sambil mengeluarkan buku teks Matematik dari dalam begnya. Amri hanya mengangguk-angguk.

Puan Farhana, guru matapelajaran Matematik telah masuk ke dalam kelas 6 Amanah. Pembelajaran hari ini berjalan seperti biasa sehinggalah waktu rehat.

*****

Amri melihat kasut sekolahnya. Nampak lusuh benar. Ada sedikit koyakan. Tetapi, Amri masih dapat memakainya lagi.

Hampir tiga tahun dia memakai kasut yang sama. Tidak pernah bertukar. Amri tetap bersyukur meskipun kasutnya itu kelihatan lama. Dia tahu, pasti hati ibunya sedih apabila dia meminta kasut baru. Dan, dia juga mahu memiliki kasut sukan seperti orang lain.

Hidupnya memang susah sejak ayahnya meninggal. Ibu terpaksa menyara kehidupan lima adik-beradiknya dengan menjual nasi lemak dan kuih-muih. Ibunya juga menoreh getah, mengajar kanak-kanak mengaji di malam hari dan mengambil upah menjahit baju.

Bukan Amri tidak pernah mengumpul duit untuk membeli kasut sekolah baru. Tetapi, wang itu digunakan untuk keperluan adik-adiknya. Sebagai anak sulung, dia terpaksa berkorban asalkan adik-adiknya hidup senang.

Amri teringat kembali kata-kata Razi hari itu. Dia tidak mahu memikirkan hal itu. Dia mahu buktikan pada Razi, walaupun dia anak miskin, dia juga boleh berjaya seperti orang lain.

*****

Amri masih tersenyum hingga saat ini. Dia sangat bangga dengan pencapaian dirinya yang dia sendiri tidak sangka. Razman masih sibuk membelek-belek pingat yang diperolehi Amri tadi.

Pasukan sekolah Amri telah memenangi perlawanan bola sepak peringkat daerah setelah banyak perlawanan terpaksa mereka hadapi. Nampaknya, segala penat lelah mereka terbalas.

Malah, Amri menjadi kapten bagi pasukan bola sepak sekolahnya. Ini semua bermula apabila Cikgu Shukri, guru pendidikan jasmani menawarkan Amri untuk menjadi salah seorang daripada pemain pasukan bola sepak sekolah.

Sejak dari itu, Amri sentiasa berlatih agar menjadi lebih mahir lagi-lagi dalam kemahiran menggelecek bola. Lagipun, Amri memang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemain bola sepak negara. Razman dan Cikgu Shukri sering memberi sokongan kepada Amri.

“Amri, cikgu ada sesuatu hendak berikan kepada kamu.” Cikgu Shukri memberikan satu plastik berisi sesuatu kepada Amri. Amri mengambilnya dengan rasa saspen.

Rupa-rupanya, Cikgu Shukri memberikan sepasang kasut sukan berwarna biru dan hijau kepada Amri. Amri benar-benar terkejut.

“Cikgu hadiahkan kepada saya?” tanya Amri, meminta kepastian. Cikgu Shukri hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum. Amri gembira dengan hadiah yang tidak dijangka itu.

“Amri,” panggil Razi. 

Amri menoleh ke arah Razi yang berada di sebelahnya. Amri dan Razman yang berada berhampiran dengan Amri berasa hairan dengan kedatangan Razi.

“Amri, aku hendak minta maaf. Aku selalu menghina kau lagi-lagi tentang kasut sekolah. Aku rasa menyesal. Kejayaan kau telah menyedarkan aku. Aku minta maaf sekali lagi,” kata Razi perlahan. Amri menghela nafas panjang.

“Aku maafkan engkau. Kita kawan, ya?” Amri menghulurkan persahabatan kepada Razi. Dia tidak mahu bermusuh. Razi menerima dengan hati gembira.

“Nampaknya kasut sekolah engkau memberi tuah kepada kau,” gurau Razi. Razman mengangguk-angguk mengiakan.

Amri hanya tersenyum mendengar gurauan Razi tersebut. Dia memandang kasut sekolahnya yang telah lama berkhidmat kepadanya. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: