Certot

Kasut Merah Jambu Risha

Hasil nukilan Ainul about 3 years agoSuperhero 20

           

Hari sudah lewat petang. Awan mula mendung. Sekelip mata sahaja, hujan turun dengan lebat membasahi bumi. Namun, kelibat anak Encik Azmi masih tidak kelihatan. Perasaan risau menyelebungi Encik Azmir. Encik Azmir tetap menunggu anaknya dengan penuh sabar.

          Risha atau nama penuhnya Arrisha binti Azmir yang berumur 11 tahun. Dia merupakan anak tunggal ayahnya. Ibunya telah meninggal semasa melahirkan Risha. Jadi, selama ini ayahnya yang menjaganya dari kecil hingga sekarang. Kehidupan mereka agak susah.

Jam menunjukkan tepat pukul 8.00 malam. Tiba-tiba pintu diketuk oleh seseorang. Encik Azmir dengan pantas membuka pintu.

          “Risha! Risha pergi mana baru balik ni? Kenapa balik lewat? Kenapa basah kuyup ni? Risau ayah tau,” soal Encik Azmir sambil melihat pakaian anaknya basah akibat hujan lebat tadi. Tiba-tiba, dia perasan kasut anaknya sudah terkoyak teruk.

          “Ayah ni! Balik-balik banyak soal pula! Sejuk ni!” Risha meninggikan suara. Encik Azmir hanya mendiamkan diri. Dia segera mengambil tuala lalu diberikan kepada Risha.

          “Risha, kenapa tak pakai kasut warna merah jambu yang ayah bagi?” soal Encik Azmir.

          “Kasut buruk tu? Disebabkan kasut itulah Risha kena ejek! Bukan sekali, tetapi tiap-tiap hari! Kawan-kawan Risha semua pakai kasut mahal-mahal. Lain kali, bagi yang mahal! Bukan kasut buruk tu!” tengking Risha.

          “Risha. Kalau ayah mampu beli, ayah dah beli lama. Tetapi, ini sahaja yang ayah mampu. Risha tidak tahu ada keistimewaan di sebalik kasut itu,” terang Encik Azmir.

          “Kasut buruk tu ada keistimewaan?” Gelak Risha lalu menuju ke biliknya. Encik Azmir hanya mendiamkan diri. Dalam hati Encik Azmir, hanya Tuhan yang tahu.

*****

          Risha yang baru pulang dari sekolah terkejut melihat ramai orang berada di rumahnya.

          “Hei! Hei! Kamu semua buat apa di sini? Tidak ada rumah ke?” marah Risha. Tiba-tiba seorang wanita menghampirinya.

          “Ri… sha… Ri… sha,” ucap wanita itu sambil menangis. “A… yah… Ri… sha….”

“Kenapa dengan ayah Risha? Bagitahulah! Jangan diam sahaja!” marah Risha.

“A… yah… Risha… ja… tuh….”

          “Jatuh?”

*****

          Semua orang berkumpul di rumah Risha untuk membaca surah Yasin kepada arwah Encik Azmir. Sekelip mata, Risha telah digelar anak yatim piatu.

          “Risha tinggal dengan Mak Ngah, ya,” ujar wanita itu.

          “Mak Ngah tahu tak tentang kasut merah jambu Risha yang arwah ayah bagi sempena hari lahir Risha?” soal Risha.

          “Oh, mak ngah tahu.  Kasut itu amat istimewa buat arwah.”

          “Istimewa?”

          “Kasut itu sepatutnya diberi kepada arwah ibu sempena hari jadinya. Tetapi, arwah ibu tidak sempat menerima akibat meninggal dunia. Kasut itu arwah ayah simpan sampai hari lahir Risha yang ke-11. Arwah ayah sedih sebab Risha tak terima kasut itu,” terang wanita itu.

          “A… yah….”

          “I… bu….”

          “Risha minta ampun,” Risha menangis dengan sekuat-kuatnya.

*****

          “Risha? Risha? Risha bangun. Dah maghrib ni. Tadi Risha mengigau.”

Risha dengan perlahan-lahan membuka mata. “Ha? Ayah?”

“Itulah. Tidur waktu maghrib lagi. Dah, bangun.”

Risha segera bangun daripada tidurnya. Dengan laju, dia segera memeluk ayahnya dengan erat sambil meminta maaf.

“Risha kenapa ini? Ayah dah lama maafkan Risha. Jom solat maghrib berjemaah,” ajak Encik Azmir.

Risha dengan pantas menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dalam hati dia berkata, ‘Oh, ini semua mimpi.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: