Certot

Kasut Buruk dan Ayah

Hasil nukilan Amira Sofea 2 years agoSuperhero 4

           

Amira Sofea! Itu nama saya. Sederhana orangnya.

Aku dari keluarga yang miskin,  tetapi aku tetap bahagia. Ayahku hanya bekerja di kilang kayu. Setiap hari ayah akan keluar seawal pagi untuk ke tempat kerja. Ayah cuma berjalan kaki. Tempat kerjanya agak jauh. Dan pulang hampir lewat petang. Kesempitan hidup membataskan kami untuk bermewah-mewah. Begitu juga ibuku yang hanya mengambil upah kerja-kerja kampung dan menjaga urusan keluarga di rumah. Penuh didikan dan sentiasa bersyukur dengan segala kurniaanya adalah amalan kami sekeluarga.

 

Hari ini ada aktiviti kokurikulum sekolah lagi. Kelab badminton. Itu yang aku minat. Tidak seperti remaja perempuan yang lain lebih tertumpu kepada aktiviti dalam kelas sahaja. Pedulikan apa yang orang kata. Aku amat meminati permainan badminton. Aku bukanlah antara pemain yang terbaik, tetapi punya kesungguhan dan keazaman yang tinggi kata cikgu Amar.

 

Seperti biasa, habis waktu sekolah, aku akan segera pulang untuk bersiap sedia dan kembali ke sekolah pada waktu petang. Aku cuma mengalas perut dengan sekeping roti dan air kosong. Itu juga yang ibu bekalkan ke sekolah untuk latihan badminton.

 

Tidak seperti orang lain, aku tidak punya raket badminton yang canggih. Raket badmintonku agak uzur dan usang. Sering aku ditegur oleh rakan-rakan agar menukar raket badminton. Tapi apa dayaku, keluargaku miskin dan ayah tidak mampu. Aku faham. Keutamaan mestilah kepada keperluan keluarga. Malah kasut sukanku juga cuma kasut sekolah yang sudah hampir koyak dan lusuh. Tidak seperti kawan-kawan lain yang punya kasut bersesuaian. Dalam hati aku cuma tanamkan semangat bersyukur dan menerima segala kekurangan dalam diri.

Hari ini cikgu Amar memberitahu bahawa tidak lama lagi akan ada permilihan untuk pemain badminton peringkat sekolah. Dan yang lebih menarik perhatianku ialah hadiahnya.  Wang tunai RM1,000. Sebatang raket dan kasut sukan baru itu yang terbayang dalam fikiranku. Ketika Cikgu Amar mengumumkan semua rakan-rakan seolah-olah mengeluh kerana selain daripada itu, jumlah wang tunai yang ditawarkan tidaklah setinggi yang mereka harapkan dan tidak seperti aku yang sangat gembira. Maklumlah orang susah. Aku berharap boleh terpilih dan dapat memberikan wang itu kepada ayah dan ibu selain dapat membeli sebatang raket dan kasut baru.

 

 

 

“Saya akan membuat pemilihan hari ini, jadi sesiapa yang terpilih secara automatik layak mewakili sekolah,” kata Cikgu Amar. Latihan dijalankan dan selang seminggu keputusan dikeluarkan. Sungguh-sungguh aku berlatih. Dengan harapan yang amat tinggi.

 

“Tahniah dan semoga berjaya,” kata Cikgu Amar.

 

Aku cuma tersenyum. Berlari aku pulang hari itu untuk memberitahu ayah dan ibu tentang pemilihan itu. Ayah sangat gembira. Begitu juga ibu. Malah aku memberitahu mereka yang aku tak perlukan duit itu. Cuma raket badminton dan kasut sahaja. Bakinya untuk ayah membeli sebuah basikal untuk ke tempat kerja. Ayah cuma tersenyum.

 

Hari pertandingan semakin hampir. Hatiku berdebar-debar. Berharap keajaiban berlaku. Sehari sebelum pertandingan, ketika aku menyiapkan kelengkapan, tiba-tiba aku perasan yang kasutku koyak. Hatiku sangat sedih ketika itu. Air mataku mengalir perlahan. Bagaimana hendak bertanding sekiranya tiada kasut?

 

Ayah menghampiriku dan memujuk perlahan, “Janganlah risau. Insyallah kakak masih lakukan walaupun kasut itu koyak,” kata ayah.

“Tapi macam mana nak menang kalau kasut dah koyak, macam mana nak main badminton?” jawabku teresak-esak.

“Janganlah sedih, nanti ayah usahakan. Kita boleh gunakan duit simpanan kita dulu untuk belikan kasut baru untuk kakak,” kata ayah perlahan.

“Tak mengapalah ayah, kakak akan gam kasut ini dulu. Harap kakak menang dalam pertandingan nanti, bolehlah beli kasut baru,” kataku sebak.

“Doakan kakak,” kataku lagi.

*****

 

Pagi esok, harinya telah tiba. Aku melangkah lemah ke muka pintu. Tersandang di bahuku beg baju dan raket badmintonku yang usang itu. Sampai di muka pintu, aku melihat sepasang kasut baru di kaki tangga. Aku tergamam seketika.

“Pakailah, itu untuk kakak. Semoga kakak beroleh kemenangan.

Air mataku mengalir perlahan. Dalam hatiku sungguh aku bersyukur. Dan aku berazam untuk berjaya dalam pertandingan ini.

Memang sudah tertulis. Segala doa dan usaha tetap berbalas. Aku telah menang dalam pertandingan itu. Aku membawa pulang wang tunai RM1,000.00 itu untuk ayah. Semua guru dan rakan-rakan mengucapkan tahniah. Sungguh aku bersyukur. Tuah kasut baru kata cikgu Amar.

“Ayah, ambillah wang ini. Kakak hadiahkan untuk ayah dan ibu. Terima kasih kerana sanggup belikan kakak kasut baru. Sekarang kakak tak perlukan kasut baru lagi. Jadi ayah boleh simpan wang ini untuk beli basikal ke tempat kerja,” kataku sambil air mata mengalir perlahan.

Ayah dan ibu tidak berkata apa-apa. Tanpa disedari, kami sekeluarga berpelukan dalam hiba.

 

Sungguh ayah istimewa. Dia tidak pernah mengatakan “tidak” dan dia juga tidak pernah mengatakan “ya”. Tiada lebih membahagiakan aku selain memiliki keluarga yang bahagia. Insan yang tidak pernah megeluh atas apa juga yang sukar. Insan yang sentiasa buat yang terbaik dalam keluarga walapun terpaksa lebih berkorban. Itulah ayahku. Ayahku adalah superheroku!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: