Certot

Kasut Ajaib Abon

Hasil nukilan Alia Irdina 3 years agoSukan 71

Abon gelisah. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Sekejap garu kepala. Dia mundar-mandir di hadapan dua orang abangnya. Kelakuan Abon menghairankan mereka. Jarang adik bongsu mereka begitu. Selalunya Abon akan duduk sambil mengadap buku-buku penyiasatan kegemarannya.

“Kamu ini kenapa, Abon? Rimas along dengan angah menengoknya,” tegur Along.

“Abon risau ni, cikgu Khairul suruh Abon masuk acara 100 meter masa sukan nanti. Along kan tahu Abon manalah boleh nak berlari sangat. Lainlah along dengan angah, atlet sekolah. “

“Oh, ingatkan apa tadi. Macam ni, apa kata Abon jumpa Tok Anjang depan rumah kita tu? Dulu pun Along dengan Angah tak juga kuat berlari tapi atas pertolongan Tok Anjang tu lah kami berjaya macam sekarang,” cadang angah.

*****

  Dua hari selepas memikirkan cadangan kedua-dua abangnya itu, Abon menggagahkan diri ke rumah Tok Anjang. Walaupun dalam hatinya tertanya-tanya,  apa yang Tok Anjang akan buat padanya, dia pasrah sahaja. Yang penting sekarang dia tidak mahu jadi orang yang terakhir sampai ke garisan penamat ketika hari sukan nanti. 

  Kedatangan Abon disambut gembira oleh Tok Anjang. Tanpa perlu Abon bercerita panjang, Tok Anjang terus mengeluarkan sepasang kasut sukan bewarna hitam. Ada jalur kuning pada kasut itu. Abon memandang kehairanan pada kasut sukan itu. 

‘Biasa saja,’ bisik hati Abon. ‘Apa yang istimewanya?’

“Kasut ajaib ni ada kuasa istimewa. Tapi ada syaratnya,” terang Tok Anjang.

“Kuasanya hanya boleh ditingkatkan kalau Abon sentiasa bawa dia berlari. Lagi banyak Abon berlari dengan kasut ni, kuasanya akan makin bertambah. Tapi pastikan bawa dia berlari ketika orang tiada,” tambah Tok Anjang. Abon mengangguk faham.

  Sejak hari itu, selepas waktu subuh Abon akan berjoging dengan memakai kasut ajaib pemberian Tok Anjang. Pada awalnya, Abon banyak berjalan tetapi makin lama staminanya semakin meningkat. Dia boleh berlari lima kali pusingan padang tanpa rasa lelah.

****

  Hari sukan yang dinanti pun tiba. Abon bersedia di garisan permulaan. Dia menepuk-nepuk kasut ajaib kesayangannya. Apabila wisel dibunyikan, Abon berlari bersungguh-sungguh. Di depan matanya hanya satu matlamat iaitu menang. Lariannya semakin laju dan laju sehingga mencecah ke garisan penamat. Ya! Abonlah juara baru. Guru-guru dan rakan lain tak putus-putus mengucapkan tahniah.

“Terima kasih, along, angah sebab cadangkan Abon jumpa Tok Anjang tu. Kalau tak sebab kasut ajaib Tok Anjang, mesti Abon dapat nombor corot tadi.”

“Abon, sebenarnya bukan kasut tu yang ajaib, tetapi semangat Abon tu yang ajaib. Sanggup berlatih setiap pagi hingga berjaya hari ni. Dulu pun kami macam Abon juga, tapi bila Tok Anjang terangkan, kalau kita nak jadi atlet yang bagus kita haruslah ada komitmen dalam latihan, barulah kami faham,” terang along. 

  Abon memandang kasut ajaibnya. Dia menyarung kasut ajaibnya itu lalu mula berlari dalam kedinginan subuh.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: