Certot

Kapten Bola Jaring

Hasil nukilan Nur Hidayah 3 years agoSukan 48

Aina dan Anis ialah sahabat baik. Mereka berdua amat aktif dalam bidang sukan.

Namun, segala-galanya berubah apabila Aina terlibat dalam kemalangan.

Aina kehilangan kedua belah kakinya. Sejak itu, Aina sudah tidak aktif lagi dalam bidang sukan.

Aina kini hanya mampu duduk di kerusi rodanya.

Walaupun begitu, Anis sentiasa memberi semangat kepada Aina supaya tabah.

Ketika waktu rehat, seorang pengawas membuat satu pengumuman.

“Perhatian! Kepada semua murid yang berminat untuk menjadi wakil pasukan bola jaring sekolah, boleh berkumpul di padang selepas tamat sekolah!” kata pengawas itu.

Suasana di kantin sudah menjadi riuh.

Ada yang gembira, ada pula yang sebaliknya.

“Anis, inilah masanya untuk tunjukkan bakat awak!” kata Aina dengan teruja.

“Tak nak. Saya tak nak sertai pasukan bola jaring sekola,” ujar Anis.

Lalu, Anis menolak kerusi roda Aina menuju ke sebuah pondok.

“Kenapa awak tak nak sertai pasukan bola jaring sekolah?” soal Aina.

“Sebab awak, saya nak sertai bersama awak. Kalau awak tak sertai, saya pun tak sertai,” balas Anis.

Aina hanya tersenyum memandang Anis.

“Saya tahu awak sahabat yang baik. Tapi tolonglah, untuk saya. Saya nak tengok awak berjaya,” rayu Aina.

Anis tidak sanggup menghampakan permintaan rakan baiknya itu.

“Baiklah. Tapi untuk awak je tau,” ujar Anis.

Aina mengangguk. Senyuman manis mula terukir di wajahnya.

 *****

Selepas tamat waktu sekolah, Aina dan Anis menuju ke arah padang sekolah. Anis sudah bersetuju untuk mencuba menjadi pemain pasukan bola jaring sekolahnya.

Tidak lama kemudian, Cikgu Azira muncul. Kemudian, mereka semua diuji dari segi kecekapan dan kepantasan.

Lalu, Cikgu Azira menyebut nama murid yang terpilih. Akhirnya, Anis terpilih. Anis dan Aina berasa begitu gembira sekali. Anis juga telah dipilih sebagai kapten bola jaring.

Sejak dari hari itu, pasukan bola jaring yang diketuai Anis sentiasa menjadi juara.

“Terima kasih, Aina. Awak selalu beri saya semangat,” kata Anis.

“Sama-sama,” ucap Aina.



Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: