Certot

Kami Sayang Cikgu!

Hasil nukilan Dina Izzati 3 years agoFiksyen 41

  “Marissa!” panggil Puan Halieza sebelum keluar dari kelas 6 Amanah.

  “Ya, cikgu?” tanya Marissa, gadis yang memegang jawatan ketua pengawas dan duduk di tepi pintu.

   “Saya mahu berjumpa dengan awak, Amran, Muiz, Jasmin, Kim Wah, dan Priya semasa waktu rehat.” 

Marissa mengangguk-angguk. Puan Halieza keluar dengan senyuman yang manis.

   “Kenapa Puan Halieza panggil ya?” Jasmin yang duduk di sebelah Marissa bertanya. Dia juga turut dipanggil.

   “Entah. Tunggu sahajalah,” jawab Marissa, pendek. Tangannya lincah menyimpan buku teks Matematik ke dalam beg. Sebenarnya, dia juga tertanya-tanya.

*****

   “Cepatlah makan, Marissa. Kita kan perlu berjumpa dengan Puan Halieza,” gesa Jasmin sambil menarik lengan Marissa. Marissa menyumbat baki sandwic telur ke dalam mulut.

    Mereka berjalan beriringan ke bilik guru yang terletak di Blok Al Farabi. Mereka segera berjalan ke meja Puan Halieza. Kelihatan beberapa orang pelajar juda ada di situ.

    “Semua sudah ada? Mari turun ke dewan.” Marissa menurut sahaja arahan Puan Halieza.

    “Assalamualaikum semua. Pasti kamu semua tertanya-tanya tujuan cikgu panggil, bukan? Sebenarnya, cikgu mahu beritahu satu tugasan.” 

Para pelajar tertunggu-tunggu kata-kata seterusnya.

    “Kamu ditugaskan untuk melukis pada kain rentang sempena Sambutan Hari Guru. Cikgu tahu, kamu semua berbakat. Kamu semua perlu datang esok pada pukul 2.00 petang. Minta izin dengan ibu bapa terlebih dahulu. Kalau ada masalah, jumpa saya.” Panjang lebar ucapan Puan Halieza. “Kamu semua boleh pulang ke kelas masing-masing.”

    Pelajar-pelajar yang tadinya dipanggil bingkas bangun, menuju ke kelas masing-masing.

*****

   “Marissa!” panggil Jasmin sambil mengesat peluh.

   “Hmm?”

   “Awak sudah beli hadiah untuk Puan Halieza?” Tangan Marissa yang tadinya lincah mewarnakan warna pelangi berhenti. Satu keluhan panjang dilepaskan. Jasmin perasan perubahan riak wajah Marissa.

    Priya yang juga mendengar perbualan itu turut mencelah, “Janganlah sedih, Marissa. Apa kata kita kumpul duit dan beli sesuatu untuk Puan Halieza?” 

   “Saya setuju!” Tiba-tiba sahaja Muiz mencelah. Amran dan Kim Wah juga bersetuju.

   “Bagus juga cadangan awak, Priya.” Pujian Marissa membuatkan Priya kembang sekejap.

   “Bila kita mula kumpul duit?” tanya Jasmin sambil membersihkan jarinya yang terkena cat.

   “Esok?”

   “Setuju!” kata mereka serentak diikuti gelak ketawa.

*****

 “Bagaimana Priya? Cukup tidak?” tanya Marissa. Priya mengira duit kertas yang berwarna biru dan hijau. Selepas itu dia menunjukkan thumbs up.

    “Petang ini, apa kata kita pergi ke Pekan Selasih? Beli hadiah untuk Puan Halieza,” cadang Priya sambil menyimpan kembali duit itu ke dalam beg sekolahnya.

    “Nanti saya beritahu yang lain, ya,” kata Marissa.

    “Beritahu mereka, berkumpul di depan rumah saya pukul dua setengah,” ujar Priya lagi.

    “Okey, bos!” gurau Marissa.

*****

Di butik Al Humaira….

    “Puan Halieza suka warna apa, ya?” tanya Jasmin. Tangannya memegang dua helai instant shawl berwarna hitam dan ungu.

    “Puan Halieza suka warna ungu,” jawab Marissa. Matanya membelek harga sehelai instant shawl.

    “Kalau begitu, kita ambil yang ini.” Priya mengambil shawl yang berada di tangan Jasmin.

    “Mana budak budak lelaki?” tanya Jasmin semasa Marissa membayar harga shawl tersebut.

    “Mereka ke kedai buku. Beli novel untuk Puan Halieza.”

    “Puan Halieza baca novel? Mana awak tahu?” tanya Jasmin lagi.

    “Meja dia penuh dengan novel.”

    Selesai membayar, mereka berkumpul di hadapan butik itu.

    “Awak bertiga beli novel apa?” tanya Marissa sebaik melihat kelibat Amran, Muiz, dan Kim Wah.

    “Kami beli novel yang meletup sekarang,” jawab Amran sambil tersengih.

    “Kami juga sudah beli kotak hadiah.” Kim Wah menunjukkan kotak yang dibeli tadi.

    “Bagus. Bagi saya. Nanti hadiah lain juga bagi saya,” kata Marissa.

    “Okey!”

*****

    “Selamat Hari Guru, Puan Halieza!” Ucapan Marissa dan kawan kawannya masih terngiang-ngiang di telinga Puan Halieza.

    “Oh, hadiah tadi!” Puan Halieza mencapai kotak berwarna merah jambu dengan ikatan riben polkadot.

    “Wah, instant shawl!” Puan Halieza mengeluarkan shawl tersebut dengan teruja. 

    “Wow, novel!” Beliau mencapai novel pula. Beliau juga membaca puisi yang berjudul Guruku Sayang. Beliau juga menerima kad yang bertulis ucapan Selamat Hari Guru dan nama Marissa dan kawan kawannya.

   “Terima kasih anak muridku. Cikgu hanya mengharapkan kamu semua berjaya dan menjadi insan berguna,” doa Puan Halieza penuh pengharapan.

  

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: