Certot

Kami Pun Boleh!

Hasil nukilan Dina Izzati 3 years agoSukan 44

“Assalamualaikum, semua. Nama saya Siti Nur Orked. Boleh panggil saya Orked sahaja. Sebelum ini, saya bersekolah di Negeri Sembilan. Saya harap kita semua dapat berkawan,” kata Orked. Hatinya berdebar-debar saat memperkenalkan dirinya di hadapan pelajar kelas 5 Kekwa, kelas barunya.

Orked takut, kekurangan dirinya menyebabkan mereka tidak mahu berkawan dengannya. Yalah, pastilah ada orang malu berkawan dengan orang buta sepertinya.

“Cikgu harap kamu tidak mengejek Orked dan cikgu mahu kamu berkawan baik dengannya. Faham?” pesan Puan Hamidah.

“Awak butakah? Kasihan.” Tiba-tiba Azim, pelajar paling nakal di dalam kelas 5 Kekwa mencelah dan disambut dengan ketawa rakan-rakannya. 

Orked cuba bersabar. Dia sudah biasa dengan keadaan sebegini.

“Hei, seronok sangat gelakkan orang? Seronok? Puas? Cikgu baru pesan tadi, bukan? Kalau cikgu dengar apa-apa aduan daripada Orked, siaplah kamu,” marah Puan Hamidah. Dia berasa kesal dengan perangai Azim yang tidak pernah berubah walaupun seringkali didenda.

“Orked, mari cikgu bawa ke tempat duduk kamu.” Puan Hamidah memimpin tangan Orked ke tempat duduk yang kosong.

“Hai, Orked! Nama saya Nur Muwardah. Awak boleh panggil saya Wardah sahaja. Salam perkenalan,” sapa Wardah yang duduk di sebelah Orked. 

Orked menoleh ke sebelah kanannya. Dia tahu, suara Wardah datang dari arah situ. Orked tersenyum sebentar.

“Salam perkenalan juga. Tak sangka ada juga orang yang sudi berkawan dengan saya,” kata Orked.

“Bagi saya, apa salahnya berkawan dengan awak? Bukannya awak orang jahat pun,” ujar Wardah selamba. Dia juga rasa kesal dengan perangai Azim yang mengejek Orked tadi.

“Terima kasih, Wardah.”

“Sama-sama. Tak jadi masalah pun bagi saya. Rehat nanti, awak rehat bersama saya, ya. Pasti pelajar lain akan berkawan dengan awak juga,” cadang Wardah. 

Orked hanya mengangguk-angguk mendengar kata-kata Wardah itu.

*****

Loceng sudah berbunyi menandakan waktu rehat bagi pelajar tahap dua. Pelajar-pelajar tahap satu sudah bersedia masuk ke kelas masing-masing manakala pelajar tahap dua sudah berpusu-pusu datang ke kantin sekolah.

“Orked, awak jagakan tempat untuk saya,ya. Saya mahu pergi beli makanan. Awak hendak pesan apa-apa?” tanya Wardah sambil membuka zip dompetnya untuk mengambil duit.

“Tidak mengapa, Wardah. Saya ada bawa bekal. Pergilah cepat, saya jagakan tempat untuk awak,” gesa Orked. Tangannya membuka penutup bekas makanannya. Wardah cepat-cepat berjalan ke kaunter makanan.

“Hei Orked!” Tiba-tiba, satu suara memanggilnya.Orked cuba mencari datangnya arah suara itu.

“Akulah, Azim. Aku nak pesan sahaja, makan nanti elok-elok. Nanti comot pula. Maklumlah, tak nampak makanan itu kan,” sindir Azim diikuti gelak ketawa rakan-rakannya, Fadli dan Amir. 

Orked mengetap bibir, menahan geram.

“Hei, pergilah dari sini. Ingat bagus sangatlah ejek-ejek orang?” marah Siew Ling, seorang pengawas darjah lima yang kebetulan ada di berhampiran dengan Orked. Azim mendengus kasar dan berlalu pergi bersama rakan-rakannya.

“Awak tidak apa-apa, Orked?” tanya Wardah sambil duduk di sebelah Orked.

“Oh, hai Siew Ling!” tegur Wardah kepada Siew Ling yang makan di hadapannya. Siew Ling membalas kembali.

“Orked, orang yang selamatkan awak tadi namanya Siew Ling. Siew Ling ni baik tau. Saya dan dia bersahabat baik,” Wardah memperkenalkan diri Siew Ling kepada Orked.

“Selamat berkenalan, Siew Ling.” Orked menghulurkan tangannya dan disambut oleh Siew Ling.

Azim yang melihat dari jauh geram melihat kemesraan rakan-rakan sekelasnya dengan pelajar baru yang buta itu.

*****

Sebulan selepas itu….

“Eh, kenapa ramai berkerumun di papan kenyataan?” tanya Siew Ling. Wardah mengangkat bahu, tanda tidak tahu.

Sejak insiden Siew Ling menyelamatkan Orked, mereka bertiga bersahabat baik hingga kini. Wardah dan Siew Ling langsung tidak kisah dengan kekurangan diri Orked.

“Jomlah tengok,” Orked menggesa Siew Ling dan Wardah. Mereka berdua memimpin tangan Orked ke papan kenyataan.

“Ada poster baru yang tertampallah,” ucap Siew Ling apabila mereka tiba di hadapan papan kenyataan itu.

“Orked, saya rasa awak perlu sertainya!” jerit Wardah tanpa menghiraukan pelajar lain yang ada di sekelilingnya. Siew Ling tersenyum lebar, bersetuju dengan cadangan Wardah. Orked terpinga-pinga.

“Kenapa? Poster itu tentang apa?” tanya Orked, ingin tahu.

“Tentang pertandingan silat olahraga. Bukankah awak pelajar terbaik dalam persatuan silat olahraga sekolah kita?” Wardah menjawab pertanyaan Orked tadi. Dia sudah merancang, Orked perlu sertai juga!

“Yalah Orked. Sekurang-kurangnya, awak boleh buktikan kekurangan awak tidak menghalang awak untuk melakukan aktiviti sukan.” Siew Ling memberikan dorongan kepada Orked. Wardah mengangguk-angguk laju.

“Baiklah. Saya akan sertai juga!” kata Orked bersemangat. Seni silat memang menjadi minatnya sejak dari kecil lagi.

“Bagus, Orked!” kata Wardah dan Siew Ling serentak dan diikuti dengan gelak ceria mereka.

*****

“Go, go, go Orked! You can do it!” laung Wardah dan Siew Ling bersama-sama dengan penuh bersemangat. Nasib baik, pertandingan separuh akhir dan akhir diadakan di sekolah mereka. Dapatlah mereka memberi sokongan padu kepada Orked.

Orked mendengar laungan rakan-rakannya. Dia hanya tersenyum. Rasa terharu juga mendengar laungan rakan-rakannya itu.

“Orked, kamu perlu lebih bijak menyerang pihak lawan, lagi-lagi wakil daripada SK Taman Pandan kerana badannya lebih besar dan tinggi berbanding kamu. Kamu juga jangan sentiasa bertahan, selagi ada peluang kamu serang sahaja. Okey?” pesan Cikgu Mazlina, seorang guru persatuan silat. Orked mengangguk-angguk mendengar pesanan Cikgu Mazlina itu.

Sekarang pusingan akhir dan Orked adalah wakil tunggal perempuan bagi sekolahnya. Siapa sangka, orang buta pun boleh masuk pusingan akhir?

Perlawanan sudah bermula apabila wisel daripada pengadil telah berbunyi. Pihak lawan dari SK Taman Pandan terus menyerang, namun Orked dapat bertahan. Setiap peluang yang ada, Orked cuba jatuhkan pihak lawan untuk mendapatkan mata.

Akhirnya, Orked berhempas pulas untuk mendapatkan mata akhir. Cikgu-cikgu persatuan silat sekolahnya memberikan sokongan. Wardah dan Siew Ling melihat dengan penuh debaran.

Prit!

Bunyi wisel telah berbunyi. Perlawanan sudah tamat dan berpihak kepada Orked. Rakan-rakan yang juga wakil untuk pertandingan silat melompat-lompat keriangan. Wardah dan Siew Ling melompat juga.

Orked bagaikan tidak percaya. Dia tidak sangka dapat memenangi perlawanan ini meskipun dia tidak nampak serangan pihak lawan. Dia mengucapkan kesyukuran berulang kali.

Sekarang, Orked telah buktikan yang orang kurang upaya pun boleh berjaya!

Kami pun boleh!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: