Certot

Jiwa Merdeka

Hasil nukilan Arissa Homura about 3 years ago 54

Aku mengayuh basikal dengan perlahan sambil menikmati pemandangan yang indah di sekitar kampungku yang memberikan seribu kenangan indah kepada penduduk kampung ini, iaitu Kampung Semarak Padi. 

Sambil menyanyikan lagi patriotik yang bertajuk Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, aku dapat merasai betapa hebatnya semangat patriotik dalam kalangan penduduk kampung ini. Sudah semestinya kerana hampir seluruh nenek moyang kepada penduduk kampung merupakan pejuang negara pada zaman peperangan dahulu.

Aku melihat beberapa orang kanak-kanak sedang bermain pistol air sambil cuba menyorokkan diri di belakang kubu yang dibina masing-masing. Kononnya untuk mengelak daripada terkena serangan daripada musuh masing-masing. Terdapat juga kanak-kanak yang berlari sambil membawa bendera Jalur Gemilang. 

Walaupun Hari Kemerdekaan ke-58 akan menjelma dua minggu lagi, tetapi mereka sungguh mencintai akan negara. Terharunya aku! Memanglah, kanak-kanak di kampung sungguh berbeza dengan kanak-kanak di bandar. Mereka memang aktif dan lasak. Jika di bandar, kanak-kanak hanya terperuk di dalam rumah dan membuang masa dengan melayan gadjet atau komputer.

“Hei, kau buat apa tu?” sapa kakak.

“Menulislah, ingat apa? Goreng cucur udang?” jawabku bersahaja.

Kakak mengambil kertas yang bertulis itu sambil bebola matanya terpaku pada perkataan yang tertulis di situ. Aduhai, matilah aku!

“Amboi, sekarang ini, kau tinggal di mana? Di bandar, betul?” tanya kakak dengan serius.

“Jadi, kau buat cara bandar. Kalau tidak mahu, pindah ke kampung lebih baik!” sergah kakak. Terkejut aku!

Huh! Kakak aku memang berjiwa bandar. Tidak biasa dengan keadaan di kampung. Mahu kibarkan bendera Jalur Gemilang pun tidak pandai. Hanya memberikan sepotong ucapan sempena Hari Kemerdekaan di laman sosial, bolehlah. 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-58!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: