Certot

Jejaka Amnesia

Hasil nukilan Engku Afiq 2 years agoSukan 440

Saat diriku membuka mata, mataku disinari cahaya lampu yang menyilaukan pandanganku. Aku menepis cahaya tersebut dan cuba untuk bangun daripada pembaringanku.

Kemudian, kedengaran suara seorang kanak-kanak perempuan melaung, “Mama, abang sudah sedar!”

Beberapa saat kemudian, seorang wanita berusia 40-an memasuki bilik dalam kekalutan. Dia memandangku sebelum memelukku. Bersama air mata yang mengalir, dia juga berkata, “Alhamdulillah, kamu sedar akhirnya.”

Aku dalam kekeliruan segera bertanya, “Puan ini siapa?”

Tatkala itu, wanita tersebut dengan tangisan yang esak menyoalku, “Haris Safinudin, kamu tidak ingat mama?”

Setelah diterangkan, aku baru tahu bahawa wanita yang memelukku itu adalah mamaku dan kanak-kanak kecil itu adikku. Bukan setakat aku tidak mengenali mereka, tetapi segala identitiku pun langsung tidak aku ingati.

Apabila dijelaskan oleh doktor, rupa-rupanya aku telah koma selama dua minggu. Dalam masa yang sama, aku turut mengalami penyakit hilang ingatan atau amnesia. Mendengar hal itu, aku seakan-akan tidak percaya kerana aku sendiri tidak mengingatinya.

*****

“Pertandingan silat dua minggu lagi?” tanyaku kepada Ustaz Syamsul. Pada hari pertama ke sekolah, aku dikejutkan yang aku akan mewakili negeri Selangor dalam pertandingan silat peringkat kebangsaan dua minggu lagi.

“Silat itu apa?” tanyaku sebaik ustaz mengangguk.

Tatkala itu, ustaz memegang kepalanya. Beliau tahu tentang penyakitku, tetapi beliau tidak sangka yang penyakitku separah ini.

“Hmm… kamu pulang ke kelas dahulu. Nanti ustaz panggil kamu semula,” ujar ustaz.

*****

Petang itu, aku ke sekolah bagi menghadiri latihan silat atas arahan Ustaz Syamsul. Walaupun ustaz tahu tentang nasibku, namun beliau tetap bertegas untuk menghantarku ke pertandingan itu.

Kata ustaz selepas berbincang bersama guru-guru lain, hanya diriku yang boleh mewakili pertandingan itu. Bulan lalu aku menjuarai pertandingan silat peringkat negeri, seminggu sebelum aku koma dan juga disebabkan akulah satu-satunya ahli kelab silat tingkatan lima. Ustaz juga melarang aku menarik diri kerana perkara ini akan menjatuhkan imej sekolah. Jadi, walau apapun yang berlaku, tiada wakil lain selain aku.

“Jangan risau, Haris. Ustaz yakin kamu dapat hafal setiap langkah kerana kamu adalah ahli silat terbaik yang pernah ustaz latih,” kata ustaz memberi keyakinan kepadaku.

*****

Selama dua minggu sebelum pertandingan, aku berusaha segigih-gigihnya. Setiap petang, aku ke sekolah untuk berlatih silat.

Semakin mendekati pertandingan, semakin aku berdebar. Itu membuatkan aku semakin lupa langkah-langkah silat. Walaupun debaranku berganda, namun tiada apa yang dapat diubah. Pertandingan itu akan bermula esok dan hari ini merupakan latihan terakhirku.

“Haris, silaplah!”

“Jangan buat begitu. Nanti serangan kamu senang sahaja dielak.”

“Ustaz sudah ajar banyak kali, tetapi kamu tetap tidak ingat.”

Begitu banyak teguran terhadapku, membuatkanku semakin pening dan keliru. Buat kali pertama, aku terduduk. Otakku tidak dapat memproses apa pun lagi. Jadi, langkah terbaik dengan merehatkan diri.

Tiba-tiba ustaz berdiri di hadapanku lalu bercangkung. Beliau memandang wajahku. “Haris, jangan mengalah. Ustaz yakin kamu boleh,” pesan ustaz.

Kemudian ustaz menyoal, “Kamu tahu kenapa ustaz yakin terhadap kamu?”

Aku menggeleng.

“Ustaz yakin kerana silat sentiasa berada dalam hati kamu. Seteruk mana penyakit dan dugaan menimpa, kemahiran silat akan kekal di situ. Meskipun kamu tidak ingat, tetapi segalanya masih setia dalam hati kamu. Mungkin perkara ini akan terbukti suatu hari nanti apabila sesuatu yang lebih menjiwai diri kamu berlaku, cuma belum tiba masanya,” ucap ustaz dengan penuh mendalam.

Pada saat itu, aku rasa begitu terharu. Walau bagaimanapun, tiada apa dapat dilakukan kerana memoriku masih sama. Jadi, aku hanya berserah kepada-Nya buat masa ini.

*****

Selepas pulang, aku diminta untuk menemani adikku, Hanis ke kedai runcit. Dalam perjalanan, kami berdua melalui sebuah lorong sunyi yang merupakan jalan pintas. Sebagai langkah keselamatan, aku memimpin tangan Hanis setiap masa.

Tiba-tiba kedengaran suara dari arah belakangku. “Mahu ke mana?”

Aku langsung tidak mengendahkannya.

“Amboi, sombongnya!” Suara lain kedengaran.

Pada waktu itu, aku memekakkan telingaku dan segera berjalan melalui lorong sunyi itu. Kemudiannya, aku mendengar bunyi tapak kaki menghampiriku. Tiba-tiba disebabkan kecuaianku, tangan Hanis terlepas daripada peganganku.

Dalam terkejut, aku berpaling ke belakang dan menjerit nama adikku. Di belakangku, aku melihat dua orang lelaki memegang Hanis kasar sambil menekup mulut Hanis.

Tatkala itu, aku dalam kecelaruan untuk bertindak dan berfikir. Tiba-tiba aku merasa sesuatu yang kuat menguasai otakku.

*****

The best week ever!  Nama yang kugelarkan untuk minggu itu kerana dua peristiwa di luar jangkaanku berlaku.

Sehari sebelum berlangsungnya pertandingan silat, selepas kejadian tangan adikku terlepas daripada peganganku dan berada dalam pegangan dua orang lelaki yang tidak kukenali, aku dapat merasa sesuatu yang kuat menguasai otakku.

Pada waktu itu, aku dapat rasakan seakan-akan memoriku disuluh lampu spotlight dengan cahaya paling terang. Kenapakah aku rasa begitu? Ini kerana, aku kembali mengingati segala kenangan lampau!

Kemudian, apakah yang berlaku? Itu aku lupa, tetapi Hanis beritahu bahawa aku telah menyilat dua orang lelaki itu. Dipendekkan cerita, jiranku ternampak kejadian itu lalu melaporkan kepada ketua kawasan perumahanku.

Selepas kejadian itu, ramai memuji tindakanku yang berani. Hanis juga berkali-kali memelukku tanda penghargaan.

                                                                                    *****

Keesokannya, aku hadir ke lokasi pertandingan silat peringkat kebangsaan. Pada hari itu, ustaz asyik memberikanku kata-kata semangat. Sebenarnya ustaz langsung tidak tahu tentang situasiku kini. Aku sengaja berahsia, biar ustaz terkejut nanti.

Apabila tiba giliranku, aku beraksi penuh keyakinan. Segala langkah silat yang dipelajari digunakan sebaiknya. Memang aku bertuah kerana telah menjuarai setiap pusingan sehingga layak ke pusingan akhir.

Sebelum pusingan akhir bermula, ustaz memberitahu bahawa betapa terkejutnya melihatku bersilat. Beliau semakin terkejut apabila aku mengalahkan lawanku dalam pusingan akhir.

Setelah menerima hadiah sebagai johan pertandingan, ustaz tidak putus-putus mengucapkan tahniah. Aku seakan-akan mahu tergelak kecil. Akhirnya, aku memberitahu ustaz tentang penyakit amnesiaku yang sudah pulih.

Ustaz berkata, “Patutlah beraksi macam pahlawan Hang Tuah.”

Ketika itu, aku mengucapkan terima kasih kepada-Nya kerana memulihkanku dan kepada ustaz kerana melatihku. Aku juga sedar kata-kata ustaz ada benarnya. Kemahiran silat kekal berada dalam hatiku, cuma aku sahaja yang tidak ingat, dan akan terbukti apabila sesuatu yang lebih menjiwai diriku berlaku. Apakah perkara itu? Kasih sayang. Disebabkan kasih sayangku terhadap adikku, amnesiaku telah pulih.

Pada hari itu, aku mempelajari bahawa kasih sayang amat penting dalam hidup kita kerana akan membantu kita pada masa hadapan. Tanpa kasih sayang daripada orang lain dan kasih sayang kita terhadap orang lain, banyak perkara yang tidak dapat ditempuh kerana kita sebagai manusia saling memerlukan antara satu sama lain.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: