Certot

Jasa Seorang Ayah

Hasil nukilan Muhammad Adli 2 years agoSuperhero 9

Nama aku Shafiq. Aku merupakan anak tunggal dan juga seorang anak yatim. Aku tinggal bersama ayah aku yang banyak berjasa kepadaku.

Aku menerima pengajian awal di tadika yang dinamakan Tadika Kemas. Aku dapat ramai kawan dan di antaranya Amir. Aku dan Amir belajar dengan bersungguh-sungguh.

Setelah pulang dari tadika, aku terus berjalan ke kebun pokok getah. Ayah aku merupakan penoreh pokok getah. Kadang-kadang ada getah yang menjadi dan kadang-kadang ada yang tidak menjadi.

“Shafiq,mari sini. Makan dulu,” kata ayah aku dengan nada yang rendah. Aku terus ke meja yang dibuat daripada pokok getah. Nasi lemak sebungkus sahaja di dalam plastik yang berwarna merah.

“Ayah, mari makan. Fiq tahu ayah lapar,” kataku dengan manja.

“Fiq, makan sahaja bahagian ayah. Ayah tidak lapar,” kata ayahku dengan tersenyum lebar.

Ketika makan, aku memandang sekeliling kebun itu. Tiada satu pun tong sampah. Ketika itu aku berfikir, ‘Ayah buang sampah dekat mana. Takkan ayah buang dekat kebun ini.’

Aku memandang wajah ayah seketika. Aku melihat ayah aku mengusap perutnya. Ketika itu, aku menangis. Aku tidak mampu melihat ayahku kelaparan manakala aku kekenyangan.

*****

Setelah dua tahun menerima pengajian awal, aku telah dimasukkan ke sekolah kebangsaan. Aku masuk ke Sekolah Kebangsaan Pintas Puding.

Enam tahun aku belajar di sekolah itu, aku telah berjaya menamatkan zaman sekolah rendah dengan 5A UPSR.

 Aku telah menerima tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat. Aku ingin memasuki ke sekolah itu, tetapi pembiayaannya terlalu mahal. Ayah aku berhempas pulas untuk masukkan aku ke sekolah yang sangat aku sukai.

“Fiq kena janji dengan ayah. Fiq perlu belajar rajin-rajin dan menjadi pandai dan seterusnya mendapat kerja yang bagus. Ayah tidak akan ada selamanya. Ayah sudah tua,” kata ayahku yang aku sayangi.

“Janji!” Kata-kata aku seiring dengan air mata yang sudah berderai.

*****

Setelah bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, aku berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Setelah menerima ijazah, aku terus berkerja di sebuah syarikat orang kampung. 

Aku telah pun memiliki seorang isteri dan mempunyai pasangan kembar yang dinamakan Amir dan Amirah. Aku ambil nama itu sempena nama kawan aku, bukan ayah aku. Ketika itu, aku langsung melupakan jasa ayah aku.

Aku sudah tidak menghiraukannya di mana dia tinggal, dekat mana dia sekarang. Aku hidup bahagia sehinggalah aku mendapat surat perjumpaan kelas 5 Aktif dengan ibu bapa. Aku mencari ayahku di tempat lama aku duduki. Ketika di situ,aku terdengar alunan ayat suci dibaca dengan sayu. Aku dengan segera bergegas ke muka pintu rumahku. Di situ juga aku rebah. Aku tidak dapat menyangka ayah aku sudah pergi. 

“Ayah, jangan tinggalkan Fiq. Fiq tahu Fiq anak derhaka. Fiq tidak mengenangkan jasa ayah. Kalau tiada ayah, pasti Fiq tidak berjaya seperti ini. Fiq tidak mengenangkan jasa ayah walau sedikit pun. Fiq anak derhaka,” kataku dengan air mata yang mengalir sederas-derasnya. Tersedu aku. Aku tergamam.

“Shafiq, ini wasiat ayah kamu. Ayah kamu jatuh ketika mahu memasak. Saya terjumpa ini di atas meja,” kata jiranku dengan nada sayu.

Aku terus mengambil surat itu.

“Anak ayah yang disayangi, ayah baru tahu yang kamu sudah berkerja di sebuah syarikat. Ayah mahu mengucapkan terima kasih kepada kamu kerana selalu membanggakan ayah. Kamu sudah buat ayah sangat bangga dan gembira. Teruskan membangunkan syarikat itu. Ayah sudah tua untuk melihat kamu. Kamu tahu ayah akan meninggalkan kamu bila-bila masa. Jadi, ayah mahu kamu terus majukan syarikat itu. Banggakan ayah.

Ayahmu yang dikasihi,

Alif.”

Ketika itu aku meraung, tersedu, dan hampir menjadi tidak waras. Aku rasa menyesal sangat.

“Ayah ,Fiq akan teruskan maju syarikat itu seperti yang ayah kata. Fiq akan terus membanggakan ayah,” kataku dengan air mata yang mengalir.

‘Ya Allah, kau berikanlah aku kekuatan. Kau masukkanlah ayahku di syurgamu. Kau tenangkanlah ayah aku di sana,’ bisik hatiku dengan sayu.

Semenjak ayahku meninggal, aku terus memajukan syarikat itu dan aku mampu membuat syarikat lain yang dinamakan Ais Australia. 

‘Fiq akan mengenang jasamu ayah. Fiq akan membuat ayah bangga.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: