Certot

Istimewanya Dirimu

Hasil nukilan Arissa Homura 2 years agoSuperhero 132

Hai semua, nama saya Nurul Farazeera. Saya pernah terdengar kata-kata daripada seseorang, ayah merupakan seorang superhero kepada anaknya. Tidak kisah yang muda atau tua tetapi mereka mesti sentiasa menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, seperti ayah saya. 

Setiap hujung minggu dan cuti sekolah, ayah akan membawa saya dan ibu bercuti di kampung atuk dan nenek. Sebelum ke sana, ayah akan meminta izin daripada majikannya terlebih dahulu. Mana tidaknya, pada cuti sekolah hanya murid-murid atau pelajar-pelajar sahaja yang bercuti untuk merehatkan minda. Pekerja pula perlu meneruskan segala tugasan yang diberi untuk menanggung kos hidup keluarga. 

Saya amat teruja untuk meluangkan masa bersama-sama ibu dan ayah serta nenek di kampung. Tambahan pula, kami juga dapat menikmati pemandangan yang ada di sana.

Di kampung yang indah dan bersih itu, terdapat kanak-kanak yang sering bermain layang-layang. Saya dan ayah turut serta bermain bersama mereka. Manakala ibu perlu membantu nenek membersihkan kawasan rumah. Sewaktu seronok bermain layang-layang, tiba-tiba seorang budak lelaki yang bernama Adli menangis. Ini kerana, layang-layangnya terlepas daripada genggaman dan terbang ditiup angin. 

Kemudian, ayah cuba membuat layang-layang yang lebih kreatif dan menarik untuk Adli. Segala tenaganya dikerah semata-mata untuk menggembirakan  hati kanak-kanak yang sedih. Tidak sangka Adli amat menyukainya! Ayah juga turut memesan kepada Adli agar lebih berhati-hati ketika bermain. 

Pada hari yang berikutnya, kami memancing di sebatang sungai yang tidak jauh dari rumah nenek. Di sungai itu terdapat banyak jenis ikan sedang berenang. Mana tidaknya jika kebersihan sungai itu terkawal. Ikan-ikan juga kelihatan sungguh segar dan sihat. Dalam beberapa minit sahaja, banyak ikan terkena umpan ayah. Beberapa saat kemudian, kami terdengar tangisan Qasim yang agak kuat kerana tidak dapat seekor ikan walaupun telah lama menunggu. Dengan rendah diri, ayah memberi separuh daripada bilangan ikan yang dia dapat kepada Qasim. Saya tidak sangka ayah begitu baik dengan budak-budak. 

“Balik rumah nanti, jangan lupa tolong ibu goreng ikan banyak-banyak. Sejuk perut ibu kamu,” gurau ayah.

*****

Ketika waktu malam, saya tidak dapat tidur dengan lena kerana digigit nyamuk. Saya segera mengadu kepada ibu dan ayah tentang perkara tersebut di bilik mereka. Kemudian, ayah berbincang dengan ibu seketika. Ayah mengambil keputusan untuk menemani saya tidur di bilik saya. Akhirnya, saya dapat tidur dengan lena tanpa mempedulikan nyamuk yang datang menyerang.

“Ayah, saya mahu minta maaf jika menggangu lena ayah di malam hari sebegini,” saya berkata dengan penuh kesal.

“Tidak mengapalah, inikan tanggungjawab ayah. Lagipun ayah mana yang sanggup melihat anaknya sendiri digigit nyamuk,” jawab ayah, perlahan.

*****

Pada waktu subuh lagi, ayah sudah keluar dari rumah untuk medirikan solat subuh di surau. Namun begitu, dia pulang agak lewat. Rupa-rupanya ayah menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti mengacau rendang dan mencuci pinggan. Mungkin dia mahu merasai hidup bermasyarakat di kampung. 

“Ayah memang berasa bangga kerana dapat menurut serta dalam aktiviti tersebut. Jika diadakan di bandar setiap minggu, mungkin banyak kebaikan yang kita peroleh,” ujar ayah sambil melemparkan senyuman manis kepada saya.

*****

Keesokan harinya, saya dan ayah berjalan beriringan di sebatang jalan selepas membeli ayam goreng. Kemudian, ayah terdengar jeritan seorang budak perempuan. Lantas, kami mendekati arah suara itu. Rupa-rupanya budak itu sedang dikejar seekor anjing. Tanpa membuang masa, ayah cuba menarik perhatian anjing tersebut dengan membaling peha ayam jauh dari kawasan kami berada. Anjing itu mula berlari jauh dari budak perempuan itu sementara saya menahan ketawa melihat gelagat anjing tersebut.

“Anjing itu mungkin lapar, tetapi janganlah makan daging manusia pula,” ujar ayah bersahaja, sambil tersenyum puas.

*****

Sebelum bermula sesi persekolahan pada tahun hadapan, kami pulang ke rumah untuk membeli barang keperluan sekolah. Setelah selesai memasukkan beg baju ke dalam kereta, ayah segera memanaskan enjin. Tiba-tiba datang beberapa orang budak kampung sambil membawa hadiah untuk ayah. 

Pada mulanya, saya berasa risau kerana mungkin mereka mahu kenakan ayah. Tetapi ternyata sangkaan saya silap, mereka mahu menghargai jasa baik ayah selama berada di sini. Walaupun ayah menolak pemberian mereka, namun ibu bertegas supaya menerimanya sahaja.

“Terima kasih, pak cik! Pak cik hero kami!” ucap mereka semua serentak sambil menghulurkan cenderamata kepada ayah.

Sepanjang berada di sini, saya dapat mempelajari sesuatu daripada ayah agar sentiasa merendah diri dan tidak pernah sombong dengan apa yang kita ada. Begitulah istimewanya diri ayah. Di kampung, rumah, atau di mana-mana sahaja, sifat istimewa dan terpuji itu akan tersemat di hatinya. Saya akan mencontohi sifatnya yang tidak ubah seperti superhero sehingga akhir hayat, Insya Allah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: