Certot

IRON MAN ITU AYAHKU

Hasil nukilan Nurin Insyirah 2 years agoSuperhero 5

  Toni mengeluh berat memikirkan nasib keluarganya yang miskin dan hidup sebatang kara. Mereka hanya berjalan kaki pergi dan pulang ke sekolah, tidak seperti murid lain. Manik-manik peluh dikesat menggunakan kain baju sekolahnya yang lusuh. Adiknya yang disebelah hanya memandang abangnya yang tidak terurus mungkin memikirkan beribu-ribu dugaan yang menimpa mereka sekeluarga.

“Saya dengar ada konsert dan persembahan istimewa Iron Man di Kuala Lumpur! Pasti seronok dan menarik! Malangnya, tiketnya sungguh mahal! Kerusi yang tidak berkedudukan strategi pun mencecah seratus ringgit!”

Itulah bualan hangat yang selalu didengari oleh kedua-dua pasang telinga Toni dalam sehari. Meletup sungguh berita itu sampai sehari sudah boleh diketahui seluruh SK Seri Melati! Majoriti ramai yang bertekad mahu pergi ke sana, tidak terkecuali Toni juga. Sesungguhnya ia amat menarik minat budak-budak yang seusia Toni. Pada Toni, Iron Man itu penghulu segala hero seperti hari Jumaat, penghulu segala hari.

  ***** 

“Ayah, jom kita pergi Kuala Lumpur. Ada konsert dan persembahan istimewa Iron Man di sana. Tiketnya pun hanya beratus sahaja. Jom ayah.” 

Ayah Toni yang sedang membasuh pakaian menggunakan tangan hanya terdiam mendengar kata-kata anaknya itu.

“Mengapa diam? Jomlah ayah kita pergi. Kita duduk di Johor, dekat sahaja,” tambah Toni agar ayahnya memakan pujuk rayunya itu.

“Kita mana ada duit. Ayah tiada duit mahu isi minyak pergi ke sana. Kalau kita naik teksi, ayah tiada duit mahu bayar tambangnya yang entah berpuluh ringgit agaknya. Lagi satu, tiketnya beratus ringgit? Mahal sangat! Ayah tidak mampu membelinya. Kita tidak perlu pergi,” panjang lebar Encik Zahni menerangkan pada anaknya itu.

“Ayah jahat! Kedekut! Semua yang Toni minta ayah tidak izinkan! Jahat, jahat, jahat!” Toni berlari menuju ke biliknya sambil menangis lalu mengempas pintu dengan kuat tanda memprotes. Geram dengan sikap ayahnya yang selalu tidak memahami dirinya. Bunyi tangisan Toni kedengaran dari luar biliknya membuatkan adiknya tidak senang belajar.

‘Ayah mahu sangat Toni faham keadaan keluarga kita ini. Kita tidak berduit, manalah boleh pergi ke sana. Mengapa Toni semangat mahu ke sana tetapi tidak semangat bila pergi ke makam arwah ibu? Maafkan ayah tidak dapat penuhi semua hasrat Toni dan adik. Ayah jenis apa aku ini?’ Encik Zahni berbicara di dalam hati sambil memberus kasar pakaian tanda geram dengan dirinya sendiri. Air matanya jatuh berjurai kerana tidak mampu ditahan lagi.

*****

“Hai budak miskin dan kudung! Aku ada tiket VVIP konsert Iron Man! Kau ada? Tiada bukan? Kasihannya!” 

Toni hanya mengetap bibir melihat Bob dan gengnya yang menayang-nayangkan tiket VVIP konsert itu dengan angkuh. Cemburu pun ada! Yalah, mana mungkin dia pergi ke sana!

“Bob, hati-hati!”

Debush!

Gara-gara keangkuhan menunjukkan tiket VVIP itu, Bob tidak sedar di hadapannya ada tong sampah yang sarat dengan bahan buangan. Lalu secara tidak sengaja dia telah melanggarnya. Bob yang sudah disaluti sampah yang layak digelar ‘Orang Sampah’ itu segera menyuruh gengnya tolong mengangkat tubuhnya yang gemuk. Toni dan murid-murid yang lain yang melihat adegan itu tergelak. Tetapi gelakan itu mestilah bertapis kerana jika tidak, penumbuk bakal melekat di muka!

  ***** 

“Okey, pendidikan jasmani hari ini kita main tali lompat. Ada apa-apa bantahan?” Cikgu Ayda Lekir yang berdarah pahlawan itu lantas menyoal anak-anak muridnya

“Ada! Si Kudung itu mana boleh main cikgu! Diakan tiada tangan!” Semua murid sudah berderai ketawa mendengar ungkapan seorang pelajar yang bermulut celupar itu.

“Dia masih boleh main dengan bantuan kamu semua. Apa perasaan kamu semua apabila saya kata kamu berkulit gelap?” Cikgu Ayda Lekir memulangkan paku buah keras pada semua pelajar yang mentertawakan Toni.

“Senang sahaja cikgu! Guna sahajalah Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih!” 

Bertambah rancaklah sesi ketawa mereka sehingga ada yang terguling-guling! Rupanya operasi memulangkan paku buah keras pada mereka tidak menjadi!

“Tidak pun cikgu, gunalah Beauty Kaseh! Jaga baik-baik!” Pelajar lelaki itu tergedik-gedik melakukan aksi gedik seperti di dalam iklan produk tersebut.

“Sudah! Kelas pendidikan jasmani hari ini dibatalkan! Pulang kelas sekarang!” Mereka yang tadinya galak ketawa serta-merta menjadi batu apabila mendengar pengumuman itu. Semua menyalahkan Toni yang masih berkecil hati.

“Hujan, hujan, muka sedih,” ujar seorang pelajar lelaki dengan nada kecewa.

“Esok boleh, cikgu? Muka senyum, muka senyum.” Mata pelajar perempuan itu bersinar-sinar minta kepastian dengan harapan yang menggunung.

“Muka marah, marah, marah!” Cikgu Ayda Lekir lantas berlalu pergi meninggalkan pelajar-pelajarnya itu. Menyampah sangat!

Tiba-tiba seorang pembersih sekolah yang berbangsa India itu menyapa pelajar-pelajar tersebut.

“Wah, marah itu. Baliklah kelas.” 

Pelajar-pelajar itu hanya mengangguk lemah mendengar kata-kata pembersih sekolah itu. Jika harapan mereka semakin menggunung, maka semakin hancur berkecailah harapan mereka mahu bersukan esok.

*****

“Eh, ayah jemput kami pulang dari sekolah? Julung-julung kalinya tahu!” Toni sengaja memerli ayahnya sambil memakai topi keledar. Adiknya hanya menggeleng dengan sikap abangnya yang tidak menghormati bapanya.

“Toni, ayah singgah pasar di depan sekolah kamu tadi. Alang-alang waktu kamu balik, ayah ambil sahajalah,” Encik Zahni menjawab penuh lemah-lembut walaupun Toni memerlinya.

“Eh Pak Cik Iron Man, mana kostum? Mengapa tidak terbang? Mengapa naik motosikal buruk?”

*****

Selepas solat maghrib, Toni termenung tentang ejekan musuhnya sebentar tadi.

“Memang layak pun ayah digelar ‘Iron Man Palsu’. Si tukang besi yang tidak bertauliah dan hanya menghabiskan masa terperap di bilik stor dengan kerja yang aku pun tidak pasti apa,” rungut Toni tentang ayahnya dan tanpa disedarinya ada sepasang telinga yang mendengar.

“Kalau arwah ibu ada lagi mesti perkara ini tidak berlaku. Dulu, keluarga ini gembira sahaja. Kalau bukan sebab Si Iron Man Palsu itu mengantuk semasa memandu, pasti kemalangan maut yang meragut nyawa ibu dan memberi kecacatan kekal kepadaku itu tidak berlaku!”

Encik Zahni cukup terkilan mendengar kata-kata anaknya, Toni. Dia telah menanam hasrat untuk membuktikan bahawa kata-kata anaknya itu silap sama sekali.

*****

“Ini untuk Toni. Ayah tahu Toni marahkan ayah kerana kemiskinan kita ini. Ayah minta Toni bersyukur dan redha dengan apa yang terjadi.”

Encik Zahni menghulurkan kotak hadiah yang hanya bersampulkan surat khabar. Toni hanya memandang rendah, tetapi dia tetap menerima hadiah itu lalu membukanya.

“Ayah! Terima kasih ayah, Toni minta maaf sangat-sangat.” Berjurai-jurai air mata Toni mengalir lantas Encik Zahni dipeluk sekuat-kuatnya.

“Cubalah Toni pakai, ayah mahu lihat.”

“Wah ayah! Ada lampu! Hebat betul ciptaan ayah. Toni tidak sangka. Sebelum ini Toni hanya melihat ayah dengan sebelah mata sahaja. Maafkan Toni, ayah.”

Ciptaan Encik Zahni yang hebat itu membuatkan Toni amat terharu. Dia kini mempunyai dua tangan! Ayahnya telah mencipta sebuah tangan bionik yang sangat persis seperti tangan Iron Man. Perkara yang paling mengujakan tentang tangan bionik ini ialah di bahagian tapak tangannya yang dapat mengeluarkan cahaya.

*****

Dua bulan kemudian, ciptaan Encik Zahni telah terkenal. Ini membuatkan pihak hospital ingin membelinya untuk membantu orang-orang yang senasib dengan Toni. Lama-kelamaan ayahnya mempunyai sebuah syarikat besar dan perniagaannya sangat maju malah setanding pasaran dunia. Hidup Toni kembali bahagia dan senang tetapi ayahnya sering mengingatkannya bahawa hidup senang bukanlah segalanya tanpa doa dan tawakal.

“Ayahlah Iron Man yang paling hebat! Daebak!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: