Certot

Insiden memalukan

Hasil nukilan Halimatun Saadiah binti Rudy Arianto 3 years agoFiksyen 48

Suatu hari ketika murid-murid tahun satu hingga lima berpusu-pusu ingin pulang, murid-murid tahun enam diwajibkan menghadiri kelas tambahan bermula pada jam 1.30 petang dan berakhir pada jam 2.30 petang. Shana dan rakan-rakannya yang tiada halangan apa-apa akan bersolat dahulu.

“Awak dah solat, Fika?” tanya Shana pada rakan karibnya, Fika.

“Belum. Saya tunggu awak,” jawab Fika lancar.

“Oh… jom solat cepat,” ajak Shana sambil berlalu ke bilik air untuk mengambil wudhu.

“Fika, Shana, Mira cepat solat. Kelas dah nak mula,” Farah memanggil mereka dari muka pintu bilik air.

“Baiklah, kami akan ke kelas muzik selepas selesai menunaikan solat,” balas Shana.

Setelah Shana menunaikan solat, dia melihat jam di tangan. Mereka sudah terlewat beberapa minit.

“Kelas tambahan dah mulalah. Tengok jam dah 1.40,” tegur Shana.

“Alamak!” sepatah kata terluah di bibir Mira.

Mereka terburu-buru hendak ke kelas. Dari jauh sudah kedengaran suara Cikgu Areen memberi arahan.

“Habisla kita kena marah dengan Cikgu Azreen,” luah Mira.

“Ala… jangan banyak cakap. Cepatlah siap,” kata Ilya pula.

“Saya pergi dulu,” Fika meminta diri.

Terburu-buru Shana, Mira, dan dua orang rakan yang lain. Mereka berlari-lari anak keluar dari surau.

Shana sahaja ketinggalan di belakang. Segera dia memakai kasut dan mengejar rakan-rakannya yang sudah mendahuluinya. Namun, entah bagaimana Shana terjatuh di hadapan kelas. Alangkah malunya dia kerana ketika itu Cikgu Azreen sedang memandangnya sambil mencekak pinggang. Cikgu Azreen menggeleng-geleng kepalanya.

“Sudahla lambat, terjatuh pula. Kasihan…,” kata Cikgu Azreen. Shana hanya mampu tersengih sambil berlalu dari situ.

Kelas tambahan Matematik diadakan dalam bilik muzik. Sebelum tamat waktu belajar tadi sudah diberitahu oleh Cikgu Azreen.

Shana melangkah perlahan menuju ke arah bilik muzik. Sepanjang jalan menuju ke bilik muzik dia tidak dapat melupakan insiden yang memalukan tadi. Dia tersengih seorang diri.

“Awak ni kenapa, Shana? Dari tadi saya tengok tersengih,” tegur Fika kehairanan.

“Kalau saya beritahu awak, awak jangan ketawa tau,” jawab Shana.

“Okey, cepatlah cerita.” Fika sudah tidak sabar ingin tahu.

“Awak janji jangan beritahu sesiapa tau,” kata Shana lagi.

“Okey,” Fika menjawab sepatah.

“Tadi saya nak cepat. Tapi, saya terjatuh depan Cikgu Azreen. Cikgu Azreen ketawakan saya.” Fika sudah mahu ketawa sebaik Shana habis bercerita.

“Awak nak tau tak, mak saya kata kalau kita buat kerja terburu-buru kita akan menghadapi masalah. Macam awaklah buat kerja tergopoh-gopoh.” Panjang lebar Fika menasihati Shana.

“Okeylah. Lain kali saya berhati-hati,” Janji Shana pada rakan karibnya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: