Certot

Insan Teristimewa

Hasil nukilan Ain Najihah 2 years agoSuperhero 49

 “Alhamdulillah, kamu telah berjaya melahirkan seorang anak perempuan,” kata seorang doktor perempuan ceria.

Ibuku, Puan Maimunah dan ayahku, Encik Fakhrul bersyukur. Mereka sangat gembira. Aku diberi nama Nurin Farhanah.

*****

Pada umurku tujuh tahun, aku hairan dan pelik kerana aku tidak pandai dalam pelajaran. Aku masih tidak pandai membaca, menulis, mengeja, apatah lagi kemahiran mengira.

Ayahku terus menghantar aku ke klinik. Akhirnya, aku disahkan mendapat penyakit disleksia. Rezeki Tuhan yang aku perlu syukuri.

  Alhamdulillah, penyakit ini tidaklah seteruk mana. Otakku lambat berfikir, bercakap, mengira, membaca, dan sebagainya. Aku bukanlah seperti kanak-kanak yang normal. Ramai kawan yang   mengejekku sebagai ‘otak lembab’ kerana pada umurku 11 tahun, aku tidak pandai membaca.

*****

  Sewaktu di dalam kelas….

Cikgu Shahrom menyuruh kawanku membaca sebuah petikan. “Mimie, baca petikan ini.”

Ternyata, Mimie membaca dengan lancar sekali.

Apabila tiba waktuku untuk membaca petikan tersebut, aku membaca dengan tergagap-gagap, “Paa… paaaa… da… daaa… suuu…. suuuu….”

Belum sempat aku menghabiskan ayat itu, cikgu memotong percakapanku.

Cikgu Shahrom memarahiku, “Apa susu-susu! Kamu ingat kamu ini budak kecil lagikah mahu susu?”

Aku terdiam. Tanganku mula menggeletar. Air mataku bak berlian ini menitis setitik demi setitik.

Sebenarnya, semua cikgu tidak tahu yang aku ini ada penyakit disleksia. Semua cikgu di sekolahku, Sekolah Kebangsaan Raja Alias,  menganggap aku ini lembap dan tidak pandai.

Di sekolah aku, tiada kelas atau bilik pemulihan khas. Jadi, logiklah mereka tidak tahu aku ini ada penyakit seperti ini. Jika ada kelas pemulihan khas, sudah tentulah aku ditempatkan di kelas tersebut!

*****

Setibanya di rumah, aku terus mengadu kepada ayahku sambil menangis tersedu-sedan. 

“Ayah! Tadi di sekolah, kawan-kawan mengejek Nurin otak lembap! Nurin tidak suka.

“Sabar ya, Nurin. Kamu mesti tabah dan kuat. Tuhan beri kita cabaran yang berliku sebab Tuhan sayangkan kita. Kita mesti cari jalan supaya Nurin tak digelar otak lembap lagi.”

Aku mendengar setiap perkataan yang keluar daripada mulut ayahku satu per satu. Aku akur dengan ayah. Aku tidak mahu menyalahkan ayah dalam hal ini. Aku tidak mahu jadi anak derhaka.

*****

Di sebelah rumahku, terdapat seorang kawanku yang sama sekolah dengan aku. Dia anak orang berada. Namanya Aqilah. Dialah yang selalu mengejekku otak lembap. Aqilah ini pandai orangnya. Dia selalu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Dia tidak pernah menegurku tetapi dalam bab mengejekku, dialah nombor satu.

Dia ada seekor kucing siam yang sangat cantik. Dia sangat sayangkan kucing itu yang dibelanya di dalam sangkar. Aku pula selalu mengutip kucing jalanan yang sudah berkurap. Yalah, aku sederhana sahaja, tidak mampu untuk membeli kucing yang mahal seperti Aqilah. Aku hanya ada kucing murah yang tiada nilainya bagi kebanyakan orang.

*****

Pada suatu hari, Aqilah perlu mengikut ayahnya pergi outstation’ di Korea Selatan selama dua minggu. Aqilah tidak boleh membawa kucing siamnya ke negara orang. Jadi, dia perlu tinggalkan kucing itu kepada seseorang untuk menjaganya. Akan tetapi dia tidak mahu aku yang menjaganya walaupun dia tahu bahawa akulah satu-satunya jiran paling dekat dengan rumahnya.

Ayahnya menasihatkan Aqilah, “Beri sahajalah Nurin jaga Buncit. Kita pergi dua minggu, bukannya satu hari. Lagi pula, kamu hendak beri Buncit kepada siapa? Ada kawan lainkah yang sanggup hendak menjaga Buncit?”

Akhirnya, Aqilah mengalah. Dia pun memberi Buncit kepadaku. Dia serahkan sekali sangkar dan juga makanannya.

Dengan wajah separuh rela, Aqilah berkata, “Beri Buncit makanan yang aku beri ini! Jangan beri makanan murahan yang kau ada! Sudahlah tidak pandai! Otak kau lembab! Ingat apa yang aku cakap, faham!”

Aku terdiam. Mataku memandang ke bawah sambil mengangguk perlahan. Aku tahan sabar sahaja.

Aku mengeluh dalam hati, “Tahulah aku ini lembab. Tetapi aku lembab dalam pelajaran sahaja.”

Ayah Aqilah yang memandang dari jauh melemparkan senyuman kepadaku. Beliau melambai-lambai ke arahku. Beliau tidak tahu yang anak kesayangannya telah mengguris hatiku!

*****

Tidak semena-mena, aku menjaga Buncit dan kucingku Nini sekali gus. Aku memberi Buncit makan makanan yang Aqilah beri. Aku menjaga Buncit dengan baik. Hari-hari aku memandikan Buncit dan Nini. Aku menghias dua ekor kucing itu dengan hiasan yang aku beli. Hiasan itu murah, tetapi cantik sekali.

*****

Seminggu sudah pun berlalu.

Aku keluar dari rumah dengan perasaan yang gembira untuk memberi makanan kepada Buncit dan Nini.

Alangkah terkejutnya aku apabila Buncit sudah hilang! “Alamak, Buncit sudah hilang! Sudah tentu Aqilah marah. Habislah aku!”

Aku memandang ke arah jalan raya yang berada di depan rumahku. Aku ternampak sebuah van yang sedang ditutup pintunya dengan kuat. Tergesa-gesa pula van itu dipandu pergi dengan laju. Sekilas aku terpandang Buncit sedang dipegang oleh seorang lelaki di dalam van tersebut.

Aku terus mencapai basikal, lalu terus mengejar van itu.

Sebaik sahaja aku pergi, ayahku memanggilku, “Nurin! Nurin! Mana kamu ini? Tadi hendak beri Buncit makan.”

Alangkah terkejutnya ayah apabila melihat aku dan Buncit tiada! Yang ada hanya ada Nini sahaja. Ayahku terus berlari ke jalan raya untuk melihat jikalau ternampak aku. Nasib menyebelahi ayahku. Beliau ternampak aku yang sedang mengejar van sambil menunggang basikal.

Ayahku menjerit namaku, “Nurin!”

Tetapi aku tidak mendengar panggilan itu kerana fokus untuk mengejar van itu.

Ayahku menghidupkan enjin kereta dan terus memecut laju. Setibanya di persimpangan jalan, ayahku memintas van itu. Beliau terus keluar dari kereta dan mendapatkan pencuri kucing tersebut. Terdapat tiga orang pemuda di dalam van itu.

Berlaku pergelutan antara ayah dan tiga orang lelaki itu. Entah dari mana datangnya kekuatan, ayahku melawan mereka dengan penuh keberanian. Bengis dan gagah sekali aku lihat ayah melawan mereka. Aku lihat ayah seperti seorang super hero yang biasa kutonton di kaca televisyen. Akhirnya, ayahku berjaya menumpaskan pencuri-pencuri kucing tersebut.

Aku lihat berpuluh-puluh ekor kucing berada di dalam sangkar besar di dalam van tersebut. Ayahku mengesyaki mereka adalah sindiket pencuri kucing siam. Ayahku terus menghubungi pihak polis dan menyerahkan ketiga-tiga mereka kepada polis.

Aku bersyukur kepada Tuhan kerana Buncit, aku, dan ayahku selamat. Aku pulang ke rumah dengan perasaan yang sangat gembira.

*****

Dua minggu berlalu…

Aqilah pulang dengan gembira dan selamat. Setibanya dia di rumahku, aku menceritakan kepadanya perkara yang sebenar. Pada mulanya dia tidak percaya. Namun, setelah ayahku mengiakan ceritaku, baharulah Aqilah rasa terharu. Malah dia benar-benar rasa terharu.

“Nurin, terima kasih kerana telah menyelamatkan kucing saya. Sebagai balasan, saya akan ajar Nurin sehingga pandai!” beritahu Aqilah dengan gembira.

Aku terpana seketika. Tiga detik berlalu, aku bersorak kegembiraan sambil berpelukan dengan Aqilah. “Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan kerana telah memberi rezeki kepadaku! Terima kasih juga Aqilah kerana sudi menolongku!”

*****

Sejak peristiwa itu, habis sahaja sesi persekolahan pada setiap petang, aku akan pergi ke rumah Aqilah untuk bertanyakan apa-apa sahaja pelajaran yang aku tidak faham.

Akhirnya, aku berjaya mendapat keputusan yang cemerlang walaupun tidak mendapat nombor 1, 2, atau 3. Akan tetapi sekarang aku top ten di dalam kelas. Aku yang dahulu, bukanlah yang sekarang. Dahulu, aku mendapat nombor akhir sekali di dalam kelas. Sekarang, disleksia tidak lagi menghantui diriku. Rakan sekelas pun hairan kerana aku mendapat keputusan yang mendadak naik dalam peperiksaan.

Aku berterima kasih kepada ayahku atas jasa baik budi beliau selama beliau menjagaku. “Terima kasih, ayah! Jika ayah tidak menyelamatkan saya dan Buncit, Aqilah mungkin tidak menolong saya dalam pelajaran! Terima kasih juga kerana telah menjaga saya dengan sabar! Ayahlah superheroku!”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: