Certot

INGIN JADI JUARA

Hasil nukilan Dayana 3 years agoSukan 17

Farhana membetulkan tali kasut yang terbuka. Diikat kemas dan dia kembali berdiri. Bersemangat ke sekolah untuk latihan olahraga. Dirinya dan beberapa temannya terpilih untuk pertandingan saringan. Jika dia menang, dirinya akan mewakili sekolah.

Kasutnya yang lusuh dan terkoyak itu tidak menjadi masalah untuk Farhana terlibat bersama. Apa yang penting, dirinya mahu terpilih sebagai wakil. Tidak kisah dirinya diejek kerana memakai kasut buruk yang terkoyak itu.

Farhana berdiri di tepi padang. Masih belum ada sesiapa yang datang. Dia duduk di bawah pokok. Di situ teduh dan tidaklah dia perlu berpanas. Bersemangat Farhana datang awal.

Pandangannya jatuh pada kasut sekolah bertali yang dipakainya. Sedih melihat keadaan kasut yang sudah lusuh. Dia sedar dirinya daripada keluarga yang susah. Ayahnya sudah meninggal dunia tahun lalu. Hanya ibunya yang ada untuk menyaranya dan adik-adik.

Farhana berdiri apabila melihat teman-temannya lain sudah masuk ke padang bersama dengan Cikgu Amin. Dia menghampiri mereka dan beratur seperti yang diarahkan oleh Cikgu Amin.

Cikgu Amin memulakan dengan senaman untuk panaskan badan sebelum memulakan acara. Farhana ambil bahagian paling belakang sekali kerana tidak mahu berhimpit dengan kawan-kawannya lain.

Farhana!” Cikgu Amin panggil Farhana.

Farhana bergerak ke arah Cikgu Amin. Cikgu Amin menyuruhnya berdiri di sebelah Sakinah. Mereka kembali menyambung senaman panaskan badan. Selepas habis senaman, Cikgu Amin memberikan beberapa pesanan kepada pelajar-pelajarnya.

Kesemua enam peserta saringan sudah siap sedia mengambil tempat. Farhana berdiri di lorong ketiga. Kasutnya yang terkoyak rabak itu dibukanya. Kasut itu seakan mengganggu lariannya nanti. Diletakkannya ke tepi dan dia kembali masuk ke barisan.

Wisel dibunyikan. Laju Farhana pecut berlari dengan kaki ayam. Tidak fikir kakinya bakal luka jika terpijak sesuatu yang tajam. Apa yang Farhana fikirkan di otaknya, dia mahu jadi juara. Mahu jadi wakil sekolah untuk pertandingan olahraga.

Berkaki ayam bukan penghalang untuknya berputus asa. Daripada barisan ke empat, Farhana sudah pecut berlari memintas temannya yang berada di depan. Segigih daya Farhana berusaha untuk mendapatkan tempat yang terawal.

Pecutannya makin laju. Cita-citanya ingin menjadi olahragawati perlu dimulakan di sekolah. Pesanan arwah ayahnya selalu terngiang-ngiang di telinga. Dia ingin berada di sekolah sukan seperti yang diharapkan oleh arwah ayahnya.

Langkah Farhana makin laju menyamai Sakinah yang berada di garisan pertama. Beberapa jarak daripada garisan penamat, Farhana berjaya juga memintas Sakinah. Usaha Farhana untuk memenangi acara saringan kali ini berjaya.

Farhana berjaya mendapatkan tempat pertama, Sakinah tempat kedua, dan Intan pula tempat ketiga. Gembira Farhana apabila dirinya berjaya memenangi acara kali ini. Dia bakal mewakili sekolah dalam acara olahraga wanita bersama Zahid yang akan mewakili olaharaga lelaki.

Ini adalah langkah pertama untuk Farhana. Tekadnya kali ini, dia mahu menang lagi selepas ini, dan mahu menjadi ahli sukan seperti yang dicita-citakan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: