Certot

Ikan untuk Comel

Hasil nukilan Nur Hidayah 3 years agoFiksyen 32

Penulis: Nur Hidayah binti Mohd Sobirin

Umur: 11 tahun


“Ibu, Maisarah nak pergi sekolah dulu,” kata Maisarah sebelum pergi ke sekolah sesi petang.

Namun tiada jawapan dari ibunya. Maisarah kemudian menjenguk-jenguk seperti sedang mencari sesuatu.

‘Ok, ibu tak ada,’ kata Maisarah di dalam hati.

Perlahan-lahan Maisarah ke dapur. Dia terhendap-hendap seperti seorang pencuri. Dia membuka tudung sajinya. Dia melihat masih ada empat ekor ikan kembung di atas meja. Dia kemudian mengambil sebuah bekas yang kedap udara dan memasukkan dua ekor ikan ke dalam bekas itu.

Dia kemudian membawa bekas itu dan memasukkannya ke dalam beg sekolahnya.

~~~~~~~

Kring! Kring!

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Semua murid berpusu-pusu ke kantin. Hanya Maisarah sahaja yang pergi ke tepi padang. Dia kemudian menuju ke arah seekor kucing dan memberikan kucing itu ikan yang dibawanya dari rumah. Ooo… inilah rupanya tujuan sebenar Maisarah membawa ikan itu ke sekolah. Kucing itu makan dengan berselera sekali.

“Comel, makan kenyang-kenyang ya,” kata Maisarah sambil menggosok-gosok bulunya yang lembut.

Miauuuu….

~~~~~~~~

“Assalamualaikum ibu. Maisarah dah balik,” kata Maisarah.

“Waalaikumussalam,” jawab Puan Raudah sambil bercekak pinggang.

Maisarah tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena.

“Maisarah, mana ikan kembung dekat dapur tu?” soal Puan Raudah dengan nada yang tegas.

“Err… sebenarnya Maisarah ambil ibu. Maisarah minta maaf. Maisarah sebenarnya bagi dekat seekor kucing liar di sekolah. Maisarah kasihan,” jawab Maisarah.

“Maisarah, ibu tak marah. Tapi lain kali, beritahu dahulu, ya,” pesab Puan Raudah.

Maisarah hanya mengangguk sahaja.Dia berasa lega kerana ibunya tidak marah kepadanya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: