Certot

Ikan Puyu untuk Ibu

Hasil nukilan Adi Amir Ikram 2 years agoFiksyen 28

“Ahmad, sekejap lagi kita balik kampung ,” beritahu ibunya.

“Ahmad tak mahu ikutlah, bu. Ahmad mahu duduk di rumah saja,” jawab Ahmad.

Namun begitu, Ahmad terpaksa menurut sahaja walaupun dia tidak menyukai rancangan ibunya itu.

Setelah lebih setengah jam perjalanan, akhirnya mereka tiba di rumah datuk Ahmad.

‘Ah… bosannya. Talian internet pun tidak ada, ‘ rungut Ahmad dalam hatinya.

Melalui jendela, dia dapat melihat ke arah sawah padi datuknya. Kelihatan datuknya terbongkok-bongkok mencangkul di bendang.

Datuknya itu seorang yang kuat bekerja. Dari pagi hingga petang ada-ada sahaja kerja yang dibuatnya.

“Ahmad, cuba pergi teman tokwan di sawah,” kata ibunya.

“Panaslah, bu. Ahmad tak mahulah,” balas Ahmad pula.

“Pergilah, nanti Ahmad akan jumpa sesuatu,” pujuk ibunya.

Ahmad pergi ke bendang dengan penuh berhati-hati. Mukanya berkerut menahan kepanasan.

“Eh, Ahmad rupanya. Mai dekat tokwan,” tegur datuknya sambil tersenyum.

“Tokwan buat apa ni? “ tanya Ahmad pula.

“Tokwan sedang membuang rumput-rumput liar di atas batas bendang ini. Ahmad nak cuba?” tanya datuknya.

Datuknya ketawa apabila melihat Ahmad terkial-kial cuba untuk mencangkul rumput. Semakin lama, Ahmad semakin pandai mencangkul untuk membuang rumput.

“Seronoklah, tokwan,” kata Ahmad separuh menjerit.

“Cukuplah dulu. Petang nanti kita pergi memancing ikan puyu di bendang,” ajak tokwan pula.

Ahmad tidak sabar untuk memancing ikan puyu nanti. Dia tidak pernah memancing.

Selepas makan tengah hari, mereka berdua berehat di bawah sebatang pohon kuini yang rendang.

“Ahmad, tokwan tengok Ahmad macam seronok saja hari ni,” kata datuknya.

“Tokwan, Ahmad tak tahu rupa-rupanya banyak aktiviti yang boleh dibuat di kampung,” jawab Ahmad.

“Yang ini untuk Ahmad,” kata datuk sambil menghulurkan sebatang joran buluh kepada Ahmad.

Ahmad menyambut joran tersebut dengan perasaan penuh teruja.

“Apa tunggu lagi tokwan. Jomlah kita pergi. Ahmad sudah tak sabar ni.”

Sesampainya di petak sawah, Ahmad terus melontarkan jorannya.

“Ahmad, tokwan dah dapat seekor ni. Ahmad bila lagi?” usik datuknya.

“Tunggulah kejap lagi.” Ahmad semakin teruja apabila melihat pancing datuknya mula mengena.

Setengah jam berlalu dan pancing Ahmad masih tidak mengena. Ahmad kelihatan kecewa.

“Sabarlah, Ahmad. Memancing perlukan kesabaran,” pujuk datuknya.

Tiba-tiba tali pancing Ahmad bergerak-gerak menandakan ada ikan sedang memakan umpan.

“Tokwan… tokwan… pancing Ahmad dah kena,” jerit Ahmad.

“Apalagi… sentaplah,” arah datuknya.

Akhirnya, Ahmad berjaya mendapat seekor ikan puyu.

“Ibu… ibu… Ahmad bawa balik ikan puyu untuk ibu,” jerit Ahmad dari jauh. Datuknya hanya tersenyum gembira.

 

Ibunya juga gembira kerana Ahmad sudah mulai seronok berada di kampong.



Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: