Certot

Ibuku Inspirasiku

Hasil nukilan Aleesya Damia about 3 years agoFiksyen 95

Nama saya Aleesya. Usia saya lapan tahun. Saya seorang yang pemalu dan juga pendiam. Seringkali ibu saya menasihati saya agar buang sifat malu dan rajin bertanya terutamanya di sekolah.

Pernah satu hari, di sekolah saya ada latihan pertandingan bercerita. Saya seronok tengok kawan-kawan yang membuat latihan pelbagai gaya semasa bercerita. Balik dari sekolah, saya menceritakan hal tersebut kepada ibu dan terikut-ikut juga membuat gaya kawan-kawan saya tadi.

Ibu menggalakkan saya cuba masuk pertandingan bercerita juga. Ibu turut memberi semangat bahawa kalau kawan-kawan saya boleh, mengapa saya tidak boleh buat lebih baik dari itu. 

Kata ibu, “Kalau kita tidak pernah cuba sekali, pasti kita akan takut berkali-kali.”

 Lalu saya pun memberitahu kepada guru kelas saya bahawa saya juga ingin menyertai  pertandingan bercerita tersebut. Guru saya sangat terkejut kerana sebelum ni saya agak pendiam orangnya. 

Setiap hari saya ada latihan pertandingan bercerita di sekolah. Di rumah juga ibu dan ayah saya sering mengajar saya untuk membuat gaya dan lebih berkeyakinan semasa bercerita.

 Tiba hari yang ditunggu-tunggu. Saya rasa tangan saya sungguh sejuk sebelum pertandingan itu. Makan minum pun langsung tidak berselera. 

Ibu saya sempat berbisik kepada saya, “Aleesya, masa di atas pentas nanti, Aleesya tutup mata dulu dan doa banyak-banyak dalam hati. Kemudian buka mata perlahan-lahan. Kalau Aleesya kalah pun, Aleesya kalah di mata juri. Tapi Aleesya tetap menang di hati ibu dan ayah kerana Aleesya  berani mencabar diri sendiri.”

Saya menggenggam tangan ibu dengan erat sambil tersenyum. Saya cakap dalam hati yang saya akan banggakan ibu dan ayah. Selepas nama saya dipanggil naik ke atas pentas, saya ikut tips ibu tadi. Saya tutup mata, berdoa, dan buka mata perlahan-lahan. Tanpa disangka, saya terus menerus sahaja bercerita sambil membuat gaya. Ibu dan ayah tersenyum di bawah.

Tiba keputusan pertandingan. Ibu, ayah, dan saya berdebar-debar menanti keputusan. Tanpa disangka-sangka, saya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bercerita itu. Saya berasa gembira kerana dapat banggakan ibu, ayah, serta guru kelas saya. Kawan-kawan juga bagi semangat kepada saya.

Kini saya tidak malu lagi. Bahkan setiap kali ada pertandingan bercerita mahupun sajak di sekolah, nama saya yang akan disebut-sebut sebagai calonnya. Terima kasih ibu kerana memberi inspirasi berharga untuk saya. 

Betullah kata ibu, “Kalau kita tidak pernah cuba sekali, pasti kita akan takut berkali-kali.”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: