Certot

Ibu Superheroku

Hasil nukilan Kuna 1 year agoSuperhero

Ibu ialah orang yang melahirkan kita ke alam dunia ini. Beliau mengandungkan kita selama 9 bulan sebelum melahirkan kita. Beliau juga menjaga kita sehingga akhirat. Jadi kita sebagai seorang anak yang terhutang kepada ibu, kita haruslah menjaga beliau sebagaimana beliau telah menjaga kita kerana ibu umpama lilin yang membakar dirinya sendiri untuk mencerahkan hidup anaknya.

“Cepatlah umi, sudah lambat untuk sekolah, nanti kena marah dengan guru besar!’’ jerit Melisa sambil melihat jam tangannya.

“Kakak tidak nampak jalan raya ini sesak?” pujuk ibunya.

Nampaknya mereka sedang mengalami kesesakan jalan raya dalam perjalanan ke sekolah. Ada 23 minit sahaja lagi untuk perhimpunan rasmi berlangsung. Lagi-lagi pula Melisa ketua pengawas sekolah. Mujurlah lampu isyarat yang berwarna merah bertukar kepada warna hijau. Ibunya pun memandu sepantas kilat supaya dapat sampai ke sekolah Melisa dengan cepat.

‘Uh, leganya. Akhirnya, aku sampai juga ke sekolah. Nasib baik perhimpunan belum mula lagi,’ bisik hati Melisa.

Apabila ibunya ingin bersalam dengan Melisa, dia tidak melayan ibunya. Dia menggalas begnya lalu bergegas ke bilik darjah. Mukanya menjadi pucat apabila ternampak rakan- rakan sekelasnya hanya membawa alat tulis dan buku rujukan yang diberi oleh guru kelasnya.

“Eh, Kama, mengapa awak hanya membawa alat tulis dan buku rujukan?’’ tanya Melisa dengan penuh rasa curiga.

‘‘Awak tanya mengapa kami hanya bawa alat tulis dan buku rujukan? Awak tidak tahu? Hari ini ada Ujian Percubaan UPSR,’’ jawab Kama.

‘‘Apa? Betulkah? Alamak, saya hanya bawa alat tulis. Pensel yang saya bawa pun pensil mekanik. Buku rujukan pun tinggal,’’ kata Melisa.

“Emm… mesti awak sudah lupa, bukan?’’ tanya Kama.

‘‘Yalah, saya lupa,’’ kata Melisa.

Tiba-tiba ibu Melisa muncul di depan pintu kelasnya lalu memanggilnya.

“Melisa, datang sini sekejap,’‘

‘Umi pula baru datang mahu kacau. Aku sudahlah naik angin,’ bisik hati Melisa lalu dia mendekati ibunya.

‘‘Kakak, umi baru nampak kertas maklumat tentang kakak akan menduduki Ujian Percubaan UPSR dari hari ini sehingga hari Khamis nanti. Nah, ambillah set alat tulis ini dengan buku rujukan sekali. Semoga kakak dapat menjawab dengan betul,’’ kata ibunya.

“Baiklah,” jawab Melisa. Ibu Melisa terluka hati lalu pergi ke tempat kerjanya. Melisa pula menyambung perbualannya dengan Kama.

“Cuba lihat ibu awak itu, sentiasa bersusah-payah untuk awak. Cuba awak menghormati ibu awak, Melisa,” pesan Kama.

‘‘Awak jangan masuk campur dalam hal keluarga kami!’’ jerit Melisa

‘‘Perangai awak memang tidak boleh diubah,’’ kata Kama.

********

KRING!

Loceng berbunyi, Melisa dan Kama mengalas beg mereka dan menuju ke perhentian bas.  Tidak lama kemudian, kereta ayah Kama muncul di depan mereka berdua lalu Kama menaiki kereta ayahnya dan pulang ke rumah. Melisa pula masih sedang menunggu ibunya di perhentian bas.

‘Geramnya, mana umi ini?’ bisik hati Melisa.

PON! PON!

Kereta ibunya muncul di depannya. Melisa dengan segera menaiki keretanya.

‘‘Umi! Mengapa lambat?’’ tanya Melisa dengan penuh rasa marah.

‘‘Kakak, umi minta maaf banyak -banyak. Tadi kat tempat kerja, ada benda yang umi kena buat, sebab itulah lambat,’’ pujuk ibunya dengan suara yang lembut sambil mengusap rambut anaknya itu.

Kereta mula bergerak dan ibunya bertanya lagi, ’‘Ujian Bahasa Melayu tadi bagaimana? Kakak boleh jawab?’‘

‘‘Umi tidak perlu tahu pun!’’ jerit Melisa.

BOM!

Kereta mereka terhempas di jalan raya. Melisa menoleh ke arah ibunya. Air matanya mula menitis satu per satu apabila ternampak badan ibunya berlumuran darah. Dia memeluk ibunya buat kali terakhir dan berkata.

‘‘Umi, engkaulah superheroku.’‘

Setelah mendengar kata-kata anaknya itu, dengupan jantungnya pun berhenti. Melisa rasa kesal atas kesalahannya, tetapi sudah terlambat. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: