Certot

Ibu or Mama?

Hasil nukilan Aisya Safura7 months agoSuperhero

 Namaku Khalifah Al-Khaliq, berumur 16 tahun. Aku hidup dalam keadaan yang serba mewah. Namun begitu, aku amat dahagakan kasih sayang seorang bapa kerana papaku selalu sibuk dengan urusan kerjanya. Nasib baik mama bukan begitu kerana walaupun sibuk,dia tetap meluangkan masa bersamaku.

“Khal?”

Lamunanku terhenti. Idea yang hendak aku tuliskan berkenaan kisah hidupku terus terbang.

“Ya,” aku menyahut.

“Minggu depan hari jadi kamu, bukan? Hadiah apa yang kamu mahukan? Auntie boleh belikan,” kata Auntie Anna, orang gaji di rumahku sambil tersenyum.

“Tidak mengapa.K hal hanya mahu hadiah daripada mama dan papa. Jadi, auntie tidak perlu susahkan diri,” kataku jujur.

Selepas mendengar kata-kataku, air muka Auntie Anna terus berubah. Kasar sangatkah bahasaku tadi?

“Erm… auntie masuk bilik dahulu, ya?”

Aku terpinga-pinga.

“Khaliq, minggu depan hari jadi kamu, bukan? Mama mahu buat birthday party yang meletup untuk kamu.”

Aku tergelak kecil melihat aksi mama yang seakan-akan kanak-kanak berumur lima tahun.

“Up to you. Mom always know the best, right?” Aku tersenyum lalu memeluk mama.

Mama memelukku erat.

Dear diary,

Today is my birthday! I’m very excited. Aku berharap dapat pengalaman yang menarik pada hari ini.

Bye!

Itu sahaja yang aku sempat coretkan dalam diariku. Aku melihat ke arah jam dinding. Baru pukul 1.00 petang. Majlis akan bermula pada pukul 3.00 petang.

Aku mencari mama bagi mengucapkan terima kasih kerana mengadakan majlis hari jadi untukku. Walaupun papa tiada, aku tetap gembira kerana mama dapat menghadiri majlis tersebut.

Aku terdengar suara mama dari bilik Auntie Anna. Aku menolak perlahan pintu bilik.

Mataku terbeliak apabila melihat mama menangis sambil melutut ke arah Auntie Anna. Aku terus memeluk mama erat.

“Apa yang telah auntie lakukan?” tanyaku sambil menggeletar.

“Auntie tidak buat apa-apa kepada mama kamu. Sumpah!” Auntie Anna kelihatan takut sambil menangis. Aku langsung tidak percaya dengan kata-katanya. Mama pula hanya menangis sambil memegang bajuku.

Hatiku amat sakit apabila melihat mama menangis. Aku tidak dapat mengawal rasa marahku.

Pang!

Tanganku automatik menampar pipi gebu Auntie Anna. Auntie Anna memegang pipinya yang kemerahan. Puas hatiku.

“Khaliq!Apa yang telah kamu buat? Dia ibu kandung kamu!” mama menjerit kea rahku sambil menangis teresak-esak.

Aku terkejut. Auntie Anna adalah ibu kandungku? Sungguhku tidak boleh terima. Sesiapa tolong jelaskan!

“Apa yang mama mengarutkan ini? Mama tidak salah cakap, bukan?” Aku tidak dapat menahan air mataku daripada gugur. Aku pandang Auntie Anna untuk minta penjelasan.

“Maafkan ibu, sayang. Ibu gagal menjadi ibu yang terbaik untuk kamu.” Auntie Anna tiba-tiba memelukku. Entah mengapa, aku biarkan sahaja dia memelukku.

*****

16 tahun yang lalu….

“Sabar ya, sayang. Ibu akan carikan kamu tempat perlindungan.”

Aku melihat anakku yang baru berusia tiga bulan menangis teresak-esak. Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya menangis?

Hujan tiba-tiba turun, menambahkan lagi duka di hatiku. Ya Allah, beratnya ujian yang kau berikan kepada kami.

Tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti di tepi jalan yang berdekatan denganku. Aku ternampak susuk tubuh wanita yang keluar dari kereta itu. Dia mendekatiku.

“Puan tidak apa-apa? Biar saya bawa puan ke rumah saya,” ujar wanita itu.

Aku kurang pasti mahu mengikut wanita itu ataupun tidak. Namun, apabila melihat anakku menangis kerana lapar dan sejuk, aku terus setuju.

Sampai sahaja di rumah wanita itu, wanita itu terus memberikan aku selimut dan baju untuk ditukar kerana pakaianku basah terkena hujan.

Selepas menukar pakaian, dia bertanya kepadaku dimana suamiku? Aku tertunduk.

“Dia sudah tiada. Selepas pemergian dia, saya dan Khaliq hilang punca pendapatan dan hidup sebatang kara. Rumah kami disita dan kami tiada hala tuju,” kataku. Walaupun pahit, aku perlu menghadapinya dengan tabah.

“Apa kata saya mengambil Khaliq sebagai anak angkat saya kerana saya tidak boleh mengandung. Saya mahu menyerikan rumah tangga saya dengan kehadiran anak kecil ini. Awak pula boleh tinggal dirumah kami.”

Aku hanya diam membisu.

“Saya boleh tanggung semuanya. Sekolah, tuisyen, bahan bacaan, semua saya sanggup. Tolonglah….” Wanita itu merayu kepadaku.

“Baiklah, tetapi ada dua syarat. Tolong rahsiakan hal ini daripada Khaliq dan yang kedua, saya mahu dia kembali ke pangkuan saya apabila umurnya genap 16 tahun.”

Kini, wanita itu pula yang diam membisu.

“Baik.”

*****

Aku amat terkejut mendengar cerita tersebut. Air mata tidak berhenti mengalir. Aku berlari keluar dari bilik. Auntie Anna atau layakku gelar ibu sempat memegang tanganku.

“Khal, maafkan ibu. Ibu hanya mahukan yang terbaik untuk kamu.”

Aku menepis tangannya.

“Cakap senangla, tetapi siapa yang faham perasaan aku ini? Aku rasa dikhianati. 16 tahun! Masa yang cukup lama dan tiba-tiba sahaja kau mengaku yang kau adalah ibuku!” Aku tidak dapat menahan rasa marahku.

“Mengucap, Khaliq! Dia ibu kamu. Besar mana pun dosa dia, dia tetap ibu kamu!” Mama memegang bahuku.

Aku terduduk. Lidahku kelu. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan.

Ibu memelukku erat.

“Maafkan Khal, ibu.K hal berdosa.” Air mataku turun laju. Aku mula berfikiran waras.

“Tidak! Kamu tidak salah, sayang. Ibu maafkan kamu.” Ibu menangis semahu-mahunya sambil memelukku. Mama pula hanya diam membisu.

Aku tidak layak menghukum ibuku sendiri kerana dialah yang mengandungkanku selama sembilan bulan dan melahirkanku.

“Mama gembira sangat melihat kamu bersatu semula dengan ibu kandung kamu. Maafkan mama, Khaliq. Mama pisahkan kamu dengan seseorang yang amat penting dalam hidup kamu.” Mama menangis semahu-mahunya. Aku memeluk mama erat.

“Mama tidak salah. Tanpa mama, mungkin Khal tiada di muka bumi ini lagi kerana mama yang menjaga Khal selama 16 tahun. Terima kasih mama.” Aku mengesat air mata. Sungguh aku terharu kerana mempunyai wanita yang sanggup menjagaku.

Terima kasih ibu dan mama!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: