Certot

Heroku Polis

Hasil nukilan Aisyah Sofiyyah 2 years agoSuperhero 15

             

~So it’s gonna be forever

Or it’s gonna go down the flames

You can tell me when it’s over

If the high was worth the pain ~

 

    Bibirnya terkumat – kamit menyanyikan rangkap -  rangkap lagu Blank Space nyanyian Taylor Swift. Lagu kegemarannya itu dipasang kuat-kuat di dalam biliknya menggunakan IPod miliknya.  Kepala terangguk-angguk kerana terlalu asyik mendengar suara merdu penyanyi yang dipuja-puja itu. Sehingga dia tidak dengar bunyi ketukan bertalu-talu datang dari arah pintu.

 

  Gerangan yang mengetuk pintu mula naik angin. Jari-jemarinya sudah sakit-sakit mengetuk pintu tetapi orang di dalam bilik tetap tidak keluar. 

“Danial Haiqal bin Aziz! Keluar sekarang!”  Mendengarkan suara kuat bagai halilintar itu, Haiqal terus memperlahankan volume IPod miliknya lalu membuka pintu bilikya. 

“Ya, ada apa abang terjerit-jerit begini? Ada apa?” Geram dengan abangnya yang seorang itu. Orang mahu dengar lagu pun susah.

 

    “Maaflah, janganlah marah. Abang ketuk pintu dekat dua minit, Haiqal tak buka pun sampai merah tangan. Sebab itu abang marah.” 

 Haiqal mencebik. “Yalah yalah, Haiqal maafkan. Hmm… ada apanya abang nak beritahu, penting sangatkah?” 

Harris tersenyum melihat adiknya seperti marahkan dirinya. “ Papa dan mama mahu ajak pergi tonton Polis Evo. Haiqal ikut sekali ya? Mahu duduk di rumah seorang diri nanti bosan pula kan?”

 

  Haiqal berfikir sejenak. Benar juga kata abangnya. Tetapi, ada satu perkara. Dia memang tidak minat dengan cerita begitu! “Tidak mahulah, abang. Jika mama dan papa ajak tonton cerita kartun, bolehlah. Tetapi yang ingin ditonton cerita berkisarkan polis, bukan? Haiqal tidak minatlah, abang. Lebih baik Haiqal layan cerita American Next Top Model saja di rumah.”

 

  “Ewah-ewah, American Next Top Model  bagai. Mama dan papa bukan selalu mahu bawa kita pergi menonton wayang begini. Papa bekerja sebagai polis tahu! Kamu pun perlulah minat tentang polis juga dan seterusnya mengikut jejak langkah papa. Kamu sedar atau tidak, kamu itu lelaki. Perlulah tonton cerita macam Polis Evo. Bukannya American Next Top Model!” 

Belum sempat Harris berkata, Hamidun mencelah dan memperlekehkan adiknya. Dia memang pantang kalau adiknya bercakap tentang perkara bersifat keperempuanan.

 

  “Tidak mengapalah adik tidak mahu tonton. Biar abang, angah, mama, dan papa sahaja pergi tonton. Adik duduk berehat di rumah saja ya?” 

Haiqal mengangguk sekali. Geram pula dengan abang keduanya, Hamidun. 

‘Saya tahulah papa bekerja sebagai polis ! Entah apalah yang hebat sangat jadi polis! Saya mahu jadi pereka fesyen! Muktamad!’ Tetapi sesi menyumpah seranah abangya itu hanya dalam hati sahaja. Malas hendak cari gaduh.

 

  Dia sudah lupa yang ayahnya juga bekerja sebagai polis dan senang-senang sahaja memperlekehkan kerjaya itu. Walhal kerjaya itu sangat berisiko dan dia sepatutnya bangga ayahnya bekerja sebagai polis.

 

                                  *****

  Haiqal mencapai alat kawalan jauh yang terletak di atas sebuah meja di ruang tamu rumah itu untuk menonton televisyen. Dia melihat televisyen itu tidak ditutup. ‘Mungkin abang buka selepas itu dia biarkan sahaja supaya saya dapat tonton terus,’ hati kecilnya berkata. 

Ibu, ayah, dan dua orang abangnya baru sahaja keluar dari rumah beberapa minit sebelum itu.  Jarinya menekan-nekan alat kawalan untuk menukar siaran. Bosan pula mahu tonton berita saja. Namun tidak juga berjaya menukar siaran. Haiqal mengerutkan dahi. 

“Alah… ini mesti bateri habis. Bateri lain memang tidak ada. Terpaksalah saya tonton berita yang membosankan ini,” Haiqal membebel sendirian di ruang tamu rumah dua tingkat itu.

 

  Tatkala dia menonton berita itu sambil lewa  badannya kembali tegak apabila satu berita berjaya menarik perhatiannya.  Dia menangkap butiran yang dikemukakan oleh pemberita yang bertugas pada hari itu. 

“Encik Aziz dan Encik Anuar berjaya menewaskan dua orang perompak bersenjata api yang cuba merompak sebuah restoran yang terletak berdekatan Bandar Sri Damansara.” 

Kemudian dia melihat kelibat Pegawai Siasatan Jenayah Petaling Jaya sedang bercakap di kaca televisyen. “ Sekarang kami sudah berjaya menyelesaikan kes ini.” 

Haiqal bagaikan tidak percaya pada apa yang dikatakan oleh pegawai itu. “Mengapa papa tidak beritahu soal ini kepada saya, abang, dan angah? Hmm… mungkin papa mahu beritahu sewaktu mahu tonton wayang kali ini. Tapi saya tidak ikut pula. Nasib baiklah saya terlihat berita ini. Jika tidak, entah bilalah saya akan tahu,” Haiqal mengomel sendirian.

 

  Kemudian  pelbagai soalan mula menerjah mindanya.

Bagaimana jika ayah dan Encik Anuar tewas?

Apa akan terjadi jika ayah dan Encik Anuar tiada di situ?

Apa pula akan jadi jika ayah dan Encik Anuar belum sempat bertindak, perompak itu terus….

    ‘Nauzubillah, minta-minta dijauhkan.  Alhamdulillah ayah dan Encik Anuar sudah berjaya lakukannya,’ bisik hati kecil Haiqal. Lamunannya tersentak apabila terdengar bunyi azan menandakan sudah masuk waktu Isyak. 

Selepas habis azan itu , Haiqal membaca doa selepas azan lalu menutup televisyen. Kemudian dia terus mengambil wuduk dan dia menunaikan solat Isyak dengan penuh khusyuk supaya amalannya diterima.

 

      Seterusnya dia berdoa, “Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengasihani lagi Maha Penyayang, ampunilah dosa-dosa ahli keluargaku dan selamatkanlah keluargaku daripada perkara-perkara jahat di luar sana.” Haiqal terasa mukanya panas kerana ada air mata yang jatuh berlinangan. Dia sedaya upaya cuba menepis dan menghalang bayangan-bayangan perkara yang tidak diingini berlaku kepada ibu,  ayah, dan seluruh keluarganya yang tercinta.

 

                        *****

 

        Kring! Kring! Kring!

 Bunyi yang membingitkan datang daripada jam loceng boleh membuatkan sesiapa sahaja marah termasuklah Haiqal. 

“Hisy ! Membingitkan telinga sahaja orang mahu tidur! Siapa yang kunci jam loceng ini? Hari ini cuti sekolah!” Walaupun baru sahaja bangun, Haiqal sudah berupaya marah-marah tidak tentu hala. Garangnya mengalahkan singa. Tangannya pantas menutup bunyi itu lalu menyambung tidur.

 

                          *****

 

      “Apa? Haiqal belum bangun lagi? Bangun! Bangun!  Sudah pukul berapa sekarang ini? Kita sudah hendak pergilah!  Bangun!” 

Alangkah terkejutnya Hamidun apabila melihat adiknya belum bangun lagi . 

“Apa terpekik-pekik ini, angah! Hari ini cuti bukan?  Apa yang kelam-kabut sangat? Sakit telinga Haiqal.” Haiqal membalas pekikan abangnya dengan mata tertutup.

 

    “Apa kamu kata? Cuti? Hari ini hari pertama sekolah, Haiqal! Itulah…. ” Belum sempat abangnya berkata-kata, Haiqal terus bangun dari katilnya, mencapai tuala, dan masuk ke dalam bilik air dengan pantas dan tanpa banyak soal. Kelajuannya menyamai The Flash! Ketika itu juga, barulah Harris sampai ke bilik Haiqal. 

“Hah , mana Haiqal, angah ?”

      Hamidun memandang ke arah Harris. “Haiqal baru mahu mahu mandi. Dia ingatkan hari ini masih cuti.” 

Harris menarik nafas panjang lalu berkata, “Haiqal… Haiqal… lambatlah kita ke sekolah hari ini. Mahu pergi dahulu nanti dia perlu pergi sekolah seorang diri pula. Nampaknya kita kena tunggu dialah.” 

Hamidun terangguk-angguk setuju.

 

*****

        “Aduhai, mengantuknya.” Haiqal menutup mulutnya tatkala dia menguap. Haiqal terasa sungguh mengantuk sewaktu Cikgu Mawar mengajar subjek Matematik yang sungguh boring baginya. Haiqal memang tidak suka akan subjek yang perlukan kemahiran kira-kira itu.

 

        Kring! 

Terkejut Haiqal dibuatnya. Sedikit lagi mahu terlompat daripada kerusinya itu. 

“Baiklah, murid-murid semua. Kita akan sambung pelajaran ini esok. Buat hari ini, kamu semua boleh pulang.” 

Saat inilah yang dinanti-nantikan oleh murid-murid. 

“Siapa boleh tolong cikgu bawakan buku-buku ini ke bilik guru?“

        Haiqal dengan pantas mengangkat tangan. “Saya boleh tolong.” 

Cikgu Mawar tersenyum ke arah Haiqal. Haiqal sempat memberikan pesanan kepada Ariff, rakan sekelasnya yang kenal dengan Hamidun dan Harris untuk menyuruh mereka pergi pulang ke rumah dahulu. Dia mungkin lambat sedikit.

 

                                            *****

        “Aziz, kita makan tengah hari di tempat biasa ya? Untuk hari ini, aku belanja.” Encik Anuar mempelawa Encik Aziz. 

 “Tidak mengapalah, Anuar. Hari ini aku mahu makan di rumah sahaja. Lagipun, dekat sangat rumah aku dengan balai ini. 

Encik Anuar mengangguk, “Okeylah, Aziz.”

          Encik Aziz memandu keretenya menuju ke rumahnya untuk menikmati makan tengah hari bersama keluarga tercinta. Tiba-tiba dia ternampak seorang budak lelaki memegang sebatang aiskrim lebih kurang 500 meter di hadapan. Tetapi, dia ternampak juga dua orang lelaki di belakangnya sedang mengekori budak lelaki itu. ‘ Mahu kata abang dia tidak juga. Kelihatan curiga….’

          Dua orang lelaki itu juga berjalan terjengket-jengket dan lembut, pijak semut pun tidak mati. Encik Aziz berhenti meletakkan kereta dan siap sedia mendail nombor rakan-rakan setugasnya. Anggota polis lain sampai ke tempat itu lebih kurang lima minit kemudian.

 

*****

          Haiqal menikmati aiskrim berperisa vanilla itu dengan senang hati. Aiskrim itu baru dibelinya di depan sekolah sebentar tadi. Perutnya sudah menyanyikan lagu keroncong ketika itu. Sekaligus dapat melegakan kesunyian dan ketakutan berjalan seorang diri. 

“Walaupun siang hari, apa sahaja boleh berlaku. Jadi, awak perlulah temankan saya ya, Encik Aiskrim!” kata Haiqal perlahan.

 

        Tiba-tiba dia terasa ada orang memegang bahunya. Haiqal menoleh ke arah belakang. Kelihatan seorang lelaki memakai T-shirt tersenyum ke arahnya.  

“Adik, aiskrim adik itu sudah nak habis. Nah, abang berikan adik aiskrim baru.” 

Haiqal menjongketkan keningnya. “Abang ini siapa?” 

 “Oh, abang kebetulan dalam perjalanan balik ke rumah. Ini kawan abang.” Kelihatan seorang lagi lelaki berdiri di sebelah itu.

 

        “Kemudian, abang ternampak adik memakan aiskrim ini tadi. Abang belilah lagi satu untuk adik kerana abang lihat adik suka sangat sewaktu dapat beli aiskrim itu. Nah, ambillah.” 

Haiqal berfikir sebentar. Mahu terima atau tidak? Abang ini nampak baik saja. Kemudian dia teringat satu pepatah yang pernah dipelajarinya, ‘jangan disangka air yang tenang tiada buaya’ . Mahu kata penculik, tidak juga kerana cerita abang itu munasabah juga. Aiskrim itu juga bagai memanggil-manggil Haiqal untuk dimakan. Akhirnya, dia terima juga aiskrim daripada orang yang tidak dikenali itu.

 

          Namun, curiga mula menguasai dirinya apabila menyedari dua orang lelaki itu masih mengikutinya. Dia menggagahkan diri untuk bertanya, “Rumah abang di mana?” 

“Di depan sana itu.” Lelaki itu menunjuk ke arah sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari situ.

Haiqal mengangguk . ‘Eh , aiskrim saya sudah habis! Mahu makan yang lagi satu inilah. Nanti cair pula.’ Tangannya membuka plastik yang membaluti aiskrim itu. “ Orang memberi , kita merasa. Orang berbudi, kita berbahasa. Lalu dia merasa aiskrim itu. Hisy, tidak sedaplah aiskrim ini! Abang makan sahajalah aiskrim ini!” Namun, dia perasan riak muka abang yang tidak dikenalinya itu tidak lagi semesra tadi. Riak mukanya kelihatan bengis!

 

        “Oh, tidak sedap ya? Banyak songeh pula budak ini. Mamat, kita buat ikut pelan kita itu sekarang!” kata lelaki itu kasar.

Terbeliak mata Haiqal dibuatnya. Sekarang dia mula mengigil-gigil pula. 

“Aduhai , sepatutnya aku ikut sahaja apa yang pepatah itu katakan! Jangan disangka air yang tenang,  tiada….” Kata- kata Haiqal terputus di situ .  Mulutnya ditekup dengan sehelai kain yang sudah diletakkan ubat pelali.

 

*****

          Dua orang lelaki itu berpandangan sesama sendiri . Mahmod , mastermind rancangan itu berkata sebelum tergelak besar, “ Apalah budak ini ! Orang lain kalau nampak penculik menjerit minta tolong , dia pula bukan main berperibahasa pula! Hahahaha ! ” Mamat terangguk –angguk setuju . “Betul , Mahmod . Sekarang , kita hanya perlu bawa dia pergi ...”

      “ JANGAN BERGERAK ! ANDA TELAH DIKEPUNG . ” Encik Aziz yang mengetuai kepungan itu berkata . Tidak sampai beberapa saat , wajah Mahmod dan Mamat bertukar pucat lesi . Tidak banyak soal , mereka mengangkat kedua – dua belah tangan tanda berserah . 2 orang anggota polis bertindak menggari tangan Mahmod dan Mamat lalu membawa mereka masuk ke dalam kereta . Kereta itu dipandu oleh seorang lagi anggota polis menuju ke balai polis untuk tindakan seterusnya .

 

                        ***

          Encik Aziz dan Encik Anuar pula menuju ke arah budak lelaki yang kelihatan terbaring lemah. Encik Aziz menarik tubuh budak lelaki itu lembut untuk melihat keadaannya dan jika ada kecederaan. Namun, beliau terperanjat dan terkejut apabila menyedari budak lelaki itu… ialah anaknya. 

“Anuar…,” ujarnya perlahan. 

Encik Anuar menoleh ke arah rakannya itu.

“Ya, ada apa Aziz?” Dia hairan melihatkan wajah Encik Aziz yang berubah sugul dan kelihatan terperanjat. 

 “Budak ini anak lelaki aku. Tolong panggilkan pasukan keselamatan ambulans yang sudah dihubungi tadi.”

 

        Encik Anuar juga terperanjat namun cepat-cepat mengangguk. Dia berjalan menuju ke arah ambulans yang sudah dipanggil awal-awal tadi. Memang Encik Aziz sudah panggil ambulans awal-awal lagi kerana kes ini melibatkan seorang budak lelaki. 

 

*****

        Encik Aziz, Puan Melissa, Harris, dan Hamidun setia menunggu Haiqal di dalam bilik pesakit itu. Dalam masa yang sama, masing-masing cuba menahan kerisauan pada Haiqal. Risau yang teramat, namun tidak diluahkan supaya tidak mengeruhkan keadaan. Semua mengambil keputusan untuk berdiam diri dan berdoa kepada Tuhan yang Maha Esa.

 

                        *****

        Kelihatan kelopak mata Haiqal terkelip-kelip melawan sinar cahaya lampu di dalam bilik itu selepas dia baru sahaja menyedarkan diri. 

“Alhamdulillah, Haiqal sudah sedar,” ujar Puan Melissa. 

“Mama, papa, Haiqal di mana sekarang?” 

Hamidun terus menjawab sebelum sempat kedua ibu dan ayahnya menjawab, “ Kamu diletakkan di dalam bilik pesakit ini kerana kamu pengsan tadi. Kita sekarang di Hospital Sungai Buloh. 

 Haiqal mengerutkan dahinya. “Saya bukan tanya abanglah. Saya tanya mama dan papa.”

 

        “Haiqal, tidak perlulah cakap begitu. Abang kamu itu risau keadaan kamu,” Encik Aziz menegur percakapan anaknya. Mana tidaknya, baru sahaja sedar daripada pengsan sudah marah-marah. 

Puan Melissa hanya tersenyum lalu tergelak kecil. “Garang betul anak mama yang seorang ini. Mengalahkan singa.” 

Haiqal tidak jadi marah dan tergelak kecil juga. Kemudian, dia memandang ke arah ayahnya, Encik Aziz. “Ayah, Haiqal minta maaf sangat-sangat kerana selama ini Haiqal suka sangat dengan kerjaya pereka fesyen itu sehingga Haiqal sanggup memperlekehkan kerjaya ayah. Sekarang ini, Haiqal sudah tukar fikiran. Setelah melihatkan bertapa mulianya kerja sebagai seorang polis ini, Haiqal mahu kerja polis jugalah!”

 

        Encik Aziz tersenyum kemudian berkata, “ Haiqal, kerja sebagai pereka fesyen juga mulia tahu. Orang ada upacara, kita tolong desainkan pakaiannya. Orang mahu berkhawin, kita tolong buatkan pakaiannya juga. Memang tidak salah menjadi pereka fesyen. Tetapi janganlah sampai memperlekehkan kerjaya lain. Jangan terlalu mengagungkan kerjaya itu sehingga kerjaya lain dipandang rendah. Setiap kerjaya pasti memberikan manfaat sama ada diri kita ataupun orang lain. Asalkan kerja itu halal di sisi agama. Jangan pula masukkan kerjaya seperti penculik itu memberi manfaat pula ya!”

 

        “Tidak mengapalah. Saya mahu jadi polis. Saya mahu ikut jejak langkah ayah!” seloroh Haiqal dengan bersahaja.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: