Certot

Hero Kucing

Hasil nukilan Ain Najihah 2 years agoSuperhero 33

           

  Meow! Meow!

  “Ayah, jomlah pergi ke pekan. Makanan kucing sudah habis. Lagipun kucing-kucing itu sedang kebuluran!” beritahu Dhia Sofea.

  “Baiklah,” balas ayahnya, Encik Adam.

  Encik Adam terus mengunci rumah lalu mereka berdua terus ke sungai untuk meniti titi. Kampung mereka susah kerana tiada jambatan untuk ke pekan.

  “Bilakah agaknya titi ini hendak ditukar jadi jambatan? Mudah untuk orang kampung mahu pergi ke pekan,” gumam Encik Adam sendirian.

*****

  Dalam perjalanan hendak balik ke rumah, mereka ternampak kucing kurap di tengah jalan.

  “Ayah, terdapat tiga ekor kucing kuraplah! Mari kita kutip!” ujar Dhia.

  Mereka terus berlari-lari anak ke arah kucing kurap itu lalu mengutip kucing kurap itu dan dibawa pulang.

  Memang itu hobi mereka, membela kucing. Sehingga penuh satu rumah dengan kucing! Maklumlah, kucing itu haiwan kesayangan nabi kita, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

  Encik Adam dan Dhia selalu diejek, diumpat, dan dihina oleh orang kampung kerana selalu membela dan menyelamatkan kucing di tepi jalan. Tetapi, mereka tidak mengendahkan ejekan, umpatan, dan hinaan itu.

*****

  Encik Adam membuka pintu untuk masuk ke dalam rumah. Apabila dia membuka pintu, terdapat semua kucing yang mereka bela, menunggu mereka pulang di depan pintu. Ini disebabkan semua kucing itu sudah lapar!

  Dhia terus memberi makan kepada semua kucing yang mereka bela. Semua kucing itu berebut-rebut apabila makan. Dhia membiarkan kucing-kucing itu makan sehingga kenyang.

  “Sudahlah, saya hendak main catur online di Internet,” kata Dhia kepada semua kucing itu.

Dhia, Dhia, macamlah kucing itu faham apa yang dia cakap. Ish, Ish, Ish!

“Ayah, boleh tak esok kita joging di taman rekreasi? Lagipun, sudah lama tidak berjoging,” pinta Dhia kepada ayahnya.

“Bolehlah, lagipun ayah nak kuruskan badan. Berat badan ayah sudah mencecah 95 kilogram.

  “Yahoo, terima kasih, ayah!” ujar Dhia dengan penuh kegembiraan.

*****

Kring! Kring! Kedengaran bunyi jam loceng merah jambu berbentuk beruang comel kesayangan Dhia berbunyi, menandakan pukul 6.00 pagi.

  “Cahaya mentari di pagi hari, sinarnya kaburi pandanganku ini, hembusan angin menemani perjalanku yang hendak pergi berjoging,” nyanyi Dhia dengan kegirangan. Dia menukar sedikit lirik lagu yang dinyanyikan oleh Eleena Harris itu.

  “Yeah, hari ini aku pergi berjoging dengan ayahku!” kata Dhia sendirian.

  Dhia bangun dari birai katilnya, lalu bersiap-siap apa yang patut seperti mandi, solat subuh, dan lain-lain lagi. Selesai bersiap-siap, dia terus turun ke dapur untuk bersarapan.

  “Mesti sedap ayah masak. Dari bilik tadi sudah bau sampai menusuk ke dalam hidung,” kata Dhia.

  “Ayah goreng cucur ikan bilis dan membancuh kuah kacang sahaja, semua Dhia cakap sedap. Batu dan kayu pun sedap agaknya,” usik Encik Adam seraya tertawa.

  “Ish, ayah ni!” marah Dhia.

  “Ayah gurau sahaja, itu pun tidak boleh?” pujuk Encik Adam.

  Selesai sahaja bersarapan, mereka terus berjoging sehingga sampai di taman rekreasi.

  “Eh, ayah! Lihat, ada kucing di atas pokok dan seorang remaja perempuan cuba hendak menyelamatkan kucing itu! Mari kita tolong, ayah!” beritahu Dhia cemas.

  “Betullah, Dhia! Mari kita tolong!” jawab Encik Adam.

  Mereka terus berlari-lari anak. Sampai di tempat itu, Encik Adam melarang remaja perempuan itu daripada terus memanjat pokok.

  “Biar pak cik yang tolong selamatkan kucing itu,” kata Encik Adam.

  Remaja perempuan itu akur. Encik Adam terus memanjat pokok lalu mencapai kucing itu. Kemudian terus sahaja diberikan kepada remaja perempuan yang hendak menyelamatkan kucing itu tadi.

  “Adakah kucing ini kepunyaan adik?” tanya Encik Adam kepada remaja perempuan itu tadi.

  “Ya, kucing ini kepunyaan saya,” jawab remaja tersebut sambil mengesat air mata.

  “Tuan Puteri! Tuan Puteri!” jerit seorang perempuan dan seorang lelaki dari jauh yang sedang berlari-lari anak menuju ke tempat itu.

  “Apa, Tuan Puteri?” kata Dhia terkejut. Encik Adam turut terlopong.

  “Maafkan patik berdua kerana lambat sampai. Kami tercari-cari tuan puteri di sebelah tasik sana. Selalunya Tuan Puteri berjoging di sebelah sana. Maafkan kami,” ujar perempuan yang terjerit-jerit tadi termengah-mengah.

  “Tidak mengapa. Ini salah beta juga. Beta mahu selamatkan kucing beta yang memanjat pokok ini tadi. Tetapi encik yang baik hati ini telah tolong selamatkan.”

  “Benarkah, encik? Terima kasih atas pertolongan encik,” ucap perempuan itu sambil memandang Encik Adam. 

  Encik Adam angguk-angguk. Beliau tidak tahu apa yang hendak diucapkan kepada perempuan itu dan Tuan Puteri di hadapan matanya.

  “Disebabkan encik sudah menolong saya, maka mintalah apa-apa permintaan pun,” kata puteri raja itu. Pada masa itu jugalah orang-orang kampung yang turut berjoging di taman itu mengerumuni mereka.

  “Tidak mengapa, saya tolong dengan ikhlas. Lagipun itu memang hobi saya, menyelamatkan kucing,” kata Encik Adam dengan nada merendah diri.

  “Cakap sahaja apa permintaan encik,” ujar puteri raja itu lebih tegas.

  “Kalau begitu, untuk kemudahan orang-orang kampung, boleh tukar titi di seberang sungai menjadi jambatan? Nanti senanglah orang-orang kampung hendak pergi ke pekan. Mereka juga boleh melalui jambatan itu dengan menaiki kereta, motor, dan sebagainya.”

  “Boleh sahaja!” jawab puteri raja itu sambil tersenyum.

  Orang kampung yang mengerumuni mereka tersenyum-senyum dengan tawaran itu. Ada yang mengucapkan syukur kepada Allah. Ada yang berterima kasih kepada puteri raja itu. Semua orang kampung berasa terharu atas permintaan Encik Adam kerana selama ini mereka menghina, mengejek, dan mengumpat Encik Adam kerana selalu menyelamatkan kucing yang dalam kesusahan.

  Pada masa itulah, semua penduduk kampung berasa sangat menyesal dan meminta maaf kepada Encik Adam dan berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama lagi.

  “Ayah adalah super hero orang-orang kampung dan juga saya! Saya bangga mendapat ayah seperti ini! Ayah sabar apabila orang kampung menghina ayah. Sebaliknya, ayah tetap membantu mereka!” kata Dhia penuh bangga.

  Sejak peristiwa itu, penduduk kampung hidup aman dan makmur. Orang-orang kampung juga mudah untuk pergi ke mana-mana sahaja seperti pekan dan sebagainya melalui jambatan atas permintaan Encik Adam kepada puteri raja.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: