Certot

Hero Hatiku

Hasil nukilan Aisyah Sara 2 years agoSuperhero 23

Aku memerhatikan ayah membantu jiran baru kami menurunkan barang dari sebuah lori. Dari jauh kelihatan seorang remaja lelaki keluar dari rumah menuju ke arah ayahku. Aku melihat dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ayahku lalu turut membantu menurunkan barang. Ibu pula sedang berbual dengan Mak Limah yang ikut membantu suaminya.

Seorang kanak-kanak menghampiriku. Dia menghulurkan tangan dan memperkenalkan dirinya. “Hai kak, nama saya Esyana Danisha. Saya pindah sini sebab ikut papa yang dapat kerja di daerah ini. Saya baru di sini, jadi saya harap akak boleh tunjukkan kawasan ni. Itu pun kalau ada kelapanganlah.” 

Petahnya dia bercakap. Pipinya yang tembam kucubit. Dia tersengih.

“Boleh je. Kalau akak ada masa, akak bawa Esyana jalan-jalan okey?” aku membalas katanya separuh berjanji.

“Kakak panggil saya Esya je, boleh?” Kata-katanya membuatkan tawaku terburai. Suka benar aku melihat keletahnya. Manja.

“Yalah Esya. Eh, itu ayah dengan abang Esya ke?” soalku.

“Ya, abang Esya nama Danish Esyan. Dia hensem… tapi akak jangan ‘try’ dia tau,” jawab Esyana selamba.

Aku berjalan menuju ke arah ayah dan ayah Esya.

“Assalammualaikum, pak cik,” ucapku sopan.

“Waalaikumussalam,” balasnya.

*****

Pada mulanya keluarga kami amat rapat. Bagai aur dengan tebing. Sentiasa membantu di kala kesusahan. Tapi suatu insiden yang berlaku menyebabkan hubungan kami mula menjadi renggang. Sebulan selepas keluarga Esyana berpindah ke taman perumahan ini, ayah terserempak dengan Esyan yang sedang melepak dan merokok di tepi jalan. Ayah menghampiri Esyan lalu menasihatinya dan menyuruh dia pulang. Nasihat ayah hanya bagai mencurah air ke daun keladi. Langsung tidak diperdulikan.

Atas rasa tanggung jawab, ayah terus ke rumah Esya untuk bertemu dengan ayahnya, iaitu Encik Sahar.

“Har… tadi aku nampak anak kau melepak tepi jalan sambil hisap rokok. Aku nasihatkan dia tapi dia buat tak tahu,” kata ayahku kepada Encik Sahar. Cerita ayah mengundang kemarahan dan dibalas kasar.

“Ehh, Man… kau sibuk sangat pasal anak aku buat apa? Biarlah dia. Dia dah besar. Ikut dialah nak buat apa. Dia ada otak nak fikir. Kau jaga je anak kau tu elok-elok. Anak aku biar aku jaga,” Herdik Encik Sahar. 

Ayah terdiam lalu pulang ke rumah dengan penuh kekesalan.

*****

Sejak hari itu, keluarga kami dengan keluarga Enci Sahar tidak lagi bertegur sapa. Pernah sekali ketika aku keluar untuk membuang sampah, aku terserempak dengan Esyan. Aku melemparkan senyuman. Namun senyumanku dibalas dengan jelingan tajam. Melihat jelingan itu, aku terus menundukkan muka lalu segera masuk ke rumah. Keadaan itu berlarutan hampir tiga bulan. Setiap kali bertemu pandang pasti jelingan akan menjadi hadiah untukku. Esya juga tidak seramah dulu. Sepatah kutanya, sepatah dijawabnya.

*****

Suatu hari, aku ke taman untuk berjoging bersama ibu. Memang menjadi kebiasaan aku berjoging. Jika satu hari tidak melakukanya pasti tubuhku lesu dan tak bertenaga. Dalam perjalanan pulang, hidungku terbau seperti benda sedang terbakar. Langkah kaki kuhayun laju.

 Alangkah terkejutnya apabila melihat rumah Encik Sahar dijilat api. Aku berlari ke rumah meninggalkan ibuku yang terpinga-pinga dan memaklumkan kejadian itu pada ayah. Ayah meminta aku membuat panggilan ke balai bomba. Itu sahaja.

*****

Aku semakin gelisah kerana bomba belum sampai. Telingaku menangkap jeritan seorang lelaki. Tentunya itu suara Esyan kerana Encik Sahar dan Esyana tiada di rumah. Pantas aku memberitahu ayah.

“Papa, kakak dengar suara minta tolong. Kakak rasa tu Esyan. Bomba pun mesti lambat lagi. Tolong selamatkan dia, papa,” kataku. Namun ayah masih membatu. 

“Walaupun keluarga mereka benci kita, tapi jangan papa jadikan tu alasan untuk membiarkan satu nyawa melayang macam tu je. Please, papa. Don’t be like this,” rayuku lagi.

“Betul kata kakak tu,” kata ibuku apabila melihat ayah diam membatu. 

Aku menggenggam tangan ayah. Ayah memandang wajahku dan ibu. Dia tersenyum. Ayah terus meluru ke dalam rumah Encik Sahar. Dia meredah api yang semakin marak. Jiran-jiran lain mulai berkerumun. Ada juga yang membantu menyimbah air menggunakan baldi.

Tidak lama kemudian, aku melihat ayah memapah seorang lelaki. Rupanya itu bukan Esyan, tetapi Encik Sahar. Aku berlari ke rumah semula mendapatkan peti kecemasan.

“Nah ayah… sapu sikit-sikit. Letak plaster semua… bagi rawatan awal. Lepas ni baru bawa ke hospital.

Api sudah berjaya dipadamkan setelah 45 minit pihak bomba bertungkus-lumus. Ayah dan ibu menghantar Encik Sahar ke hospital berdekatan dengan rumah kami apabila melihat keadaannya yang semakin membimbangkan. Aku tinggal di rumah menunggu kepulangan Esyana dan abangnya.

Hampir sejam menunggu, akhirnya Esya dan Esyan sampai. Aku melihat Esya turun dari kereta lalu menghampiriku.

“Kakak, mana ayah Esya? Mana? Cakaplah kak…”soal Esyana bertalu-talu. Esyan pula termenung di hadapan rumahnya yang hangus terbakar.

“Ayah Esyana ada di hospital. Esya nak pergi ke? Kalau nak, Esya ajak abang. Kita pergi sama-sama,” balasku sambil memegang bahunya. Kami bergegas ke hospital.

*****

Tiga bulan kemudian….

Hubungan kejiranan kami sudah pulih. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana dengan aturan-Nya kami berdamai. Tragedi yang berlaku telah membuat dua buah keluarga ini lebih rapat dan saling menghormati. Aku menghampiri ayah yang termenung di laman rumah.

“Apa yang papa menungkan tu? Kakak datang pun tak sedar. Papa teringat tragedi tu ya?” Aku mengejutkan ayah daripaa lamunan lalu memaut lengannya.

“Hurmm….” Hanya itu kedengaran daripada ayah.

“Terima kasih sebab papa dah jadi hero kepada kakak dan semua orang. Kakak bangga dengan papa. Mengetepikan rasa ego yang menguasai hati papa dulu. Papa hero kakak selamanya. Papa pun pernah cakap, mengalah bukan bererti kita kalah tetapi sebenarnya kita hebat kan!”

Ayah mengusap kepalaku dan kami tertawa. Ibu yang datang dengan setalam air untuk hidangan petang turut tersenyum. Ayah melaung memanggil Encik Sahar yang sedang menyiram pokok bunga untuk minum bersama. Senyumanku melebar dan semekar bunga Encik Sahar. Papa, kaulah hero hatiku!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: