Certot

Hero Aina

Hasil nukilan Amirah Aizan about 3 years agoSuperhero 70

             

Kring!

Loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan sudah tamat. Aina melangkah keluar dari sekolah. Dia menunggu ayahnya di pondok sekolah. 

‘Aku baru teringat ayah ambil aku lambat hari ini. Jadi, bolehlah aku membaca novel kesukaanku,’ kata Aina dalam hati. Aina pun mengambil novel dari dalam beg sekolahnya.

Tiba-tiba sebuah van berwarna putih berhenti di hadapan pondok sekolah Aina. Aina tidak perasan di hadapannya terdapat van tersebut. Dia leka membaca novelnya. Dua orang lelaki memakai topeng hitam keluar dari van tersebut dan menangkap Aina lalu membawanya masuk.

“Tolong!“ jerit Aina. Namun tiada siapa yang mendengar jeritannya itu. 

“Masuk cepat!” marah lelaki tersebut. 

“Kamu semua mahu bawa saya pergi mana?” tengking Aina.

“Hish, diamlah! Amran, tutup mulut dia sekarang!” arah seorang lelaki yang berambut panjang itu. 

“Baik, bos!” kata seorang lelaki yang bernama Amran itu.

Segala ayat-ayat suci yang pernah diajar oleh ayahnya sejak kecil dilafaz dalam hati. Hatinya berbisik sayu. Bunyi tayar berdencit menandakan van itu dipandu laju. Terhuyung-hayang tubuh Aina ke kiri dan ke kanan. Ada kalanya dia tidak dapat mengimbangkan diri.

Tidak sampai 15 minit, van itu berhenti. Satu tangan kasar menariknya keluar dan mengheretnya ke dalam suatu tempat. Tubuh tinggi lampai itu ditolak sehingga jatuh. Lutut Aina terasa pedih kerana terjatuh.

“Duduk di sini! Jangan cuba lari!” ugut lelaki yang berambut panjang itu. Tangannya membuka ikatan kain pada mata Aina. Mata Aina sedikit kabur. Lama-kelamaan dia dapat melihat dengan jelas.

Dia berada di gudang yang sudah lama ditinggalkan. Lelaki berambut panjang itu mengambil beg Aina. Dia menyelongkar beg Aina. Dia mendapat telefon bimbit Aina.

“Jimbo!”

“Ada apa, bos?” tanya seorang lagi lelaki yang terkocoh-kocoh menghampiri lelaki yang berambut panjang itu.

“Cuba kau tengok dalam telefon budak ini. Cari nombor telefon ibu ayahnya.” Lelaki yang berambut panjang itu memberikan telefon bimbit Aina kepada lelaki bernama Jimbo itu.

“Baik, bos.” Tangan Jimbo ligat membelek telefon.

“Ha, sudah dapat, bos. Aku rasa ini nombor telefon ayahnya. Tengok, ada tulis ‘My Lovely Papa’. Kalau tidak dapat cuba yang ini pula, ‘My Home’.” Tergesa-gesa tangan Jimbo menunjukkan nombor telefon itu kepada ketuanya.

“Baiklah, saya cuba telefon,” ujar lelaki berambut panjang itu

“Dengar sini, sebelum pukul 3.30 petang esok, kau perlu sediakan RM 800,000. Kalau tidak, kau tidak akan berjumpa dengan anak kau lagi.” Talian telefon dimatikan.

Encik Afnan tidak sempat berkata apa-apa. Dia segera mendail semula nombor telefon anaknya. Namun, panggilannya masuk ke dalam peti simpanan suara. Encik Afnan terduduk di sofa.

Peluh dingin memercik di dahinya. Tiada kata-kata untuk menggambarkan perasaannya. Anak perempuan tunggalnya kini dalam tawanan penculik. Dadanya semakin sebak memikirkan nasib Aina.

Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu menelefon polis atau tidak. Sekiranya dia menelefon polis, pasti anaknya akan dibunuh. Encik Afnan semakin tertekan. Sudahlah dia kehilangan isterinya lima bulan lepas, kali ini anak perempuannya pula diculik. Dia terbayangkan wajah manja anak perempuannya itu.

 

“Kamu berdua, jaga mereka! Jangan biarkan mereka terlepas!” sergah lelaki yang berambut panjang itu.

“Bos jangan risau. Hari pun sudah gelap. Ke mana mereka mahu lari?” balas salah seorang lelaki sambil tersengih memandang Aina. Perasaan benci memandang lelaki kejam itu menyebabkan Aina memalingkan mukanya ke dinding.

Aina hanya membisu. Otaknya ligat memikirkan bagaimana mahu melepaskan diri. Dia meneliti setiap pergerakan penculik itu. Lelaki berambut panjang itu menyandarkan tubuhnya di dinding. Tidak sampai 10 minit, kedengaran dengkuran yang kuat.

Suasana semakin gelap menandakan hari hampir malam. Perut Aina semakin pedih. Semenjak pagi, dia hanya menjamah nasi goreng dan sirap ais semasa rehat. Tekaknya pula berasa perit. Dia mula kehausan.

‘Mahu minta makanan daripada orang jahat ini?  Mahukah mereka melayan permintaan aku?’ Hati Aina semakin sebak. Dia tidak mahu menangis. Dia perlu kuatkan semangat. Akhirnya, Aina nekad. Dia memberanikan diri untuk meminta makanan. Dia tidak mahu menyeksa dirinya sendiri.

“Encik, saya lapar,” rayu Aina dengan nada sedih.

Lelaki itu menoleh memandang Aina dengan pandangan tajam. Berkerut dahinya seperti hendak menelan Aina.

“Saya lapar.” Terketar-ketar Aina mengulang kata-katanya. Dia perlu mendapatkan makanan untuk dirinya.

“Huh!”dengus lelaki itu sebelum beredar dari situ.Kedengaran kereta dihidupkan dan bergerak pergi dari situ.

Kelibat lelaki itu muncul semula dengan satu bungkus makanan.

“Nah, makan ini!” kata lelaki itu sambil melemparkan satu buku roti kepada Aina.

“Tetapi, bagaimana saya mahu makan kalau tangan saya terikat?” ujar Aina dengan pandangan meraih simpati daripada penculik itu.

“Banyak cakap pula!” Tempelak penculik itu. Kemudian dia menghampiri Aina dan membuka ikatan tangan Aina.

“Jangan cuba lari! Aku bunuh engkau nanti!” ugut lelaki itu sambil membuka ikatan tangan Aina. Aina memegang dan mengurut-urut tangannya.

Terkocoh-kocoh Aina menghabiskan roti itu. Tiba-tiba dia tersedak kerana makan dengan cepat.

“Air!” pinta Aina.

“Hish, banyak pula permintaan engkau ini! Nah.” Lelaki itu melemparkan sebotol air mineral kepada Aina .Cepat-cepat Aina meneguk air itu. Kemudian, cepat-cepat dihulurkan tangannya semula untuk diikat.

“Sudah pergi tidur! Hari sudah malam,” arah lelaki itu.

“Encik, saya mahu bersembahyang.” Dengan perasaan takut-takut, Aina memberanikan diri untuk meminta izin mahu bersolat daripada penculik itu.

Namun, lelaki itu terus memejamkan matanya dan berpura-pura tidak mendengar pertanyaan Aina. Lantas, Aina mengambil keputusan bersembahyang.

Usai solat, Aina membaca ayat Kursi berkali-kali. Mulutnya tidak henti-henti berdoa semoga Allah mempermudahkan keadaannya. Kemudian, dia memejamkan matanya dan terlelap.

*****

Keesokan harinya….

“Hoi, budak! Bangun!” Tiba-tiba satu suara kasar menerjah gegendang telinga Aina. Cepat-cepat dia membuka matanya.

“Nah, makan ini.” Penculik itu melemparkan satu bungkusan makanan. Kemudian, dia membuka ikatan pada tangan Aina. Dia mengawasi Aina yang sedang leka menikmati makanan.

“Encik, saya sudah selesai makan. Saya ingin membasuh tangan.”

“Kau bawa dia basuh tangan di luar!” arah lelaki berambut panjang itu kepada seorang lagi lelaki.

Terkial-kial Aina berjalan kerana tangannya ditarik kasar. Selesai membasuh tangan, dia teringat sesuatu, ‘Alat penjejak,’ bisik hati Aina. Pantas dia mengambil alat itu dan menekan berkali-kali.A lat itu direka khas oleh ayahnya. Dia yakin, alat itu akan memberi signal kepada ayahnya.

*****

Encik Afnan sedang duduk di sofanya. Tiba-tiba alat penjejaknya berbunyi. “Aina telah menghantar isyarat. Dia berada sebuah gudang yang lama terletak di Bukit Raja.” Dia berasa lega.

“Inspektor Afiq, saya sudah mendapat isyarat dari Aina. Dia berada di Bukit Raja,” Encik Afnan memaklumkan kepada Inspektor Afiq.

“Baiklah, pihak saya akan datang ke Bukit Raja,” balas Inspektor Afiq.Pihak polis segera menuju ke Bukit Raja.

Keadaan menjadi sepi. Tiba-tiba pihak polis menyerbu kawasan itu. Penculik-penculik itu terkejut dan mahu melarikan diri. Mereka tidak sangka pihak polis dapat mengesan tempat mereka. Namun, mereka tidak dapat melarikan diri. Pihak polis segera memberkas penculik-penculik itu.

Encik Afnan meluru ke arah Aina dan membuka ikatan kain pada tangan Aina. Aina terus memeluk tubuh Encik Afnan. “Ayah, saya sangat takut. Terima kasih, ayah. Aina sayang ayah!”

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: