Certot

HASRAT TERAKHIR DARI AYAH!

Hasil nukilan NOR ATIKAH 2 years agoSukan 27

Sebelum tiba hari sukan sekolah, Shazleen mengajak ayahnya pergi ke kedai kasut untuk membeli kasut sukan baru.

“Ayah! Jom kita pergi kedai kasut. Shazleen nak beli kasut sukan baru untuk guna masa sukan nanti!” Ajak Shazleen sambil menarik tangan ayahnya.

“Kejap ya. Ayah ada banyak kerja ni. Lain kali kita pergi, ya,” ujar ayahnya yang sibuk menyiapkan kertas laporannya yang bersepah di atas meja.                         

Shazleen berasa sedih lalu dia berlari menuju ke biliknya. Dia menangis teresak-esak kerana tidak dapat membeli kasut sukan baru.

20 minit berlalu, emaknya Puan Lili memanggil Shazleen turun makan malam. Tetapi Shazleen tidak menghiraukan panggilan emaknya. Shazleen menangis dan terus menangis sehingga tertidur.

“Abang, saya risaulah tengok Shazleen acik menangis sahaja. Risau saya dibuatnya. Apakata esok abang belikan dia kasut sukan baru? Mesti dia suka,” kata Puan Lili kepada suaminya Encik Anas. 

“Esok lepas balik kerja, abang belikan dia kasut sukan baru. Abang harap dia akan menang dalam sukan tu nanti dan bawa balik pingat emas untuk abang,” terang suaminya Encik Anas kepada isterinya yang sedang menghidang lauk.

*****

Pagi keesokannya, Encik Anas pulang dari tempat kerja seperti biasa tepat pukul 5.30 petang. Dia terus memandu kereta menuju ke kedai kasut sukan. Encik Anas membeli sepasang kasut sukan baru berwarna biru hitam untuk anaknya.

Tiba di rumah…. 

Tok! Tok! Tok!

“Ayah dah pulang. Shazleen, ayah ada belikan kasut sukan baru untuk kamu. Mesti kamu suka, warna kegemaran kamu,” teriak Encik Anas kepada anaknya.

“Wah, ayah belikan Shazleen kasut baru. Terima kasih, ayah. Shazleen sayang ayah. Nanti hari sukan Shazleen akan berusaha bawa pulang pingat emas untuk ayah,” kata Shazleen sambil memeluk ayahnya.

*****

Sebulan berlalu pergi, tibalah hari yang ditunggu-tunggu oleh Shazleen.

Shazleen telah terpilih memasuki acara lompat tinggi dan acara larian 200 Meter.

“Mak, ayah tak sampai lagi ke? Kejap lagi Shazleen dah nak mula. Ayah cakap dia akan datang,” tanya Shazleen kepada maknya.

“Mungkin kejap lagi ayah kamu sampai! Kamu buat betul-betul, ya. Ayah kamu berharap sangat kamu bawa pulang pingat emas untuk dia,” pesan ibunya sambil mengusap tangan Shazleen.

                                       

Akhirnya Acara lompat tinggi dan acara larian 200 meter telah tamat. Shazleen telah merangkul gelaran juara dalam kedua-dua acara tersebut.

Tibalah masanya nama-nama pemenang akan disebut untuk penyampaian hadiah.

Kini tibalah giliran Shazleen untuk mengambil hadiahnya. Pingat emas telah beliau dapatkan untuk ayahnya. Sewaktu pingat disarungkan kepada Shazleen. Tiba-tiba….

Shazleen terlihat emaknya sedang menerima satu panggilan dari seseorang. Muka emaknya turut berubah apabila mendapat penggilan tersebut. Lalu telefon maknya terjatuh ke lantai. Shazleen terkejut melihat emaknya.

“Shazleen! Jom kita ke hospital sekarang. Ada sesuatu berlaku kepada ayah kamu!” teriak emaknya sambil menarik tangannya.

“Kenapa dengan ayah, mak? Apa yang berlaku dekat ayah? Jawab mak! Jawab mak!” Jerit Shazleen kepada emaknya yang sedang memandu kereta menuju ke hospital.

**********

Tiba dihospital. Shazleen berlari menuju ke arah ayahnya. Maknya terus berjumpa dengan doktor.

“Maaf Puan, suami Puan saya tak dapat nak selamatkan. Kerana beliau kehilangan banyak darah. Harap Puan bersabar. Saya minta diri dulu,” ujar Doktor yang merawat suaminya.

Puan Lili menangis dan terus berlari menuju ke arah suaminya. Shazleen bersedih melihat emaknya menangis.

“Shazleen, ayah kamu dah tak ada lagi buat selama-lamanya. Ayah dah tinggalkan kita semua,” kata emaknya sambil memeluk Shazleen.

                           

Shazleen terlalu sedih apabila emaknya berkata begitu kepadanya. Dia terus berlari keluar dari hospital. Shazleen terhenti di sebuah kerusi kosong lalu terduduk disitu.

‘Ayah! Shazleen sudah tunaikan hasrat ayah. Shazleen sudah dapatkan pingat emas untuk ayah. Itu janji Shazleen pada ayah,’ bisik Shazleen dalam hatinya.

Shazleen memegang pingat emas yang dia dapat dengan erat sekali. Inilah hasrat terakhir ayah.

‘Terima kasih, ayah! Sebab belikan Shazleen kasut sukan baru. Shazleen sayang ayah. Pingat ini khas buat ayah. Selamat jalan ayah!’ jerit hati Shazleen.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: