Certot

Hasrat Terakhir Atok

Hasil nukilan siti umairah about 3 years agoSukan 25

   Hujan renyai-renyai turun di Kampung Embun. Suasana di kampung tersebut muram. Tiada lagi kedengaran suara kanak-kanak bermain sebelum senja. Hanya kedengaran bacaan Yassin di rumah Tok Samad. 

“Atok, kenapa tinggalkan Mirul? Atok tak  sayangkan Mirul?Atok sudah berjanji mahu tengok Mirul menang dalam acara lumba lari!” kata Amirul sambil menggoncang tubuh Tok Samad yang terkulai di tengah-tengah ruang tamu. Hatinya rapuh  meratapi pemergian atoknya. 

Nek Limah duduk di sisi Amirul dan menenangkannya. “Mirul, atok sayangkan kamu. Cuma Allah lebih sayangkan atok kamu,” ucapnya sambil mengusap rambut cucunya.

    Selepas jenazah Tok Samad dikebumikan, Amirul dan neneknya pulang ke rumah. Amirul duduk di pangkin sambil mengusap burung merpati kesayangan atoknya. 

“Hitam, atok tiada. Atok  tidak sayangkan kita,” kata Amirul sambil mengeluh lemah.

“Mirul!” laung Nek Limah dari dalam rumah. 

Dengan kadar segera, Amirul meletakkan Hitam ke dalam sangkar dan berlari ke dalam rumah mencari neneknya. Setibanya dia di dalam bilik nenek dan atok, kelihatan Nek Limah duduk di birai katil sambil membelek sebuah kotak yang cantik. 

“Ada apa nenek panggil saya?” katanya sambil melangkah masuk ke dalam bilik neneknya. 

“Ini hadiah dari atok untuk kamu sempena harijadi kamu tahun ini,” kata Nek Limah sambil menghulurkan kotaknya itu kepada Amirul.

    Amirul berasa berdebar-debar sewaktu membuka hadiah tersebut. Di dalam kotak tersebut, terdapat sepasang kasut sukan yang cantik dan sebuku album yang sudah lama. 

“Wah!” kata Amirul kagum. Dia mengambil kasut sukan itu lalu membeleknya. “Hmm… masih  baru ini. Mesti atok beli di pekan,” katanya lagi. Kemudian, dia membelek album tersebut dan menyelaknya. Di dalam album itu, kelihatan seorang lelaki yang tinggi dan kurus sedang menyarung pingat. Terdapat juga beberapa keratan akhbar yang menampilkan wajah beliau. 

“Nenek, ini siapa?” tanya Amirul sambil menunjukkan wajah lelaki tersebut. 

“Ooh… inilah atok kamu semasa dia muda. Dia merupakan salah seorang pelumba lari yang terkenal di Malaysia pada waktu itu,” kata Nek Limah tersenyum bangga. 

“Kenapa atok  tidak beritahu saya?” kata Amirul pelik sambil menyelak satu per satu gambar dan keratan akhbar di dalam album.

    “Atok segan. Waktu itu dia ramai peminat, tetapi atok pilih nenek. Lagipun, kamu mewarisi bakatnya itu. Atok bangga melihat kamu mendapat pingat ketika Hari Sukan. Atok mahu membuat kejutan kepada kamu,” kata Nek Limah.

“Ooh!” jawab Amirul. Tiba-tiba dia terlihat sepucuk surat di tengah-tengah muka surat album tersebut. Dia membacanya. Dia menitiskan air mata selepas membaca surat tersebut. 

“Atok… Amirul berjanji akan ikut apa sahaja yang atok tulis. Amirul akan jadi anak yang soleh dan sentiasa jaga solat,” katanya sendirian duduk di katil.

*****

     Tahun berganti tahun, kini Amirul sudah berumur 25 tahun. Dia berjaya menunaikan hasrat terakhir atok iaitu menjadi pelumba lari yang terkenal di seluruh Malaysia. Setiap kali  ada acara, dia pasti membawa kasut sukan dan album pemberian atok sebagai semangat yang tidak pernah putus di hatinya.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: