Certot

Haris

Hasil nukilan Nurul Ellyn 3 years agoSukan 32

“Haris. Cepatlah. Kita ke sekolah, ya,” pujukku apabila Haris masih berada di dalam kereta. 

Dia menggeleng laju. Aku hanya mengeluh. 

“Kereta… api…,” kata Haris satu per satu. 

Ibuku, Puan Hariaty juga begitu. Sudah 10 minit kami di sini memujuk Haris untuk pergi ke stadium. 

“Haris mahu aiskrim?” Aku menyebut makanan yang paling disukai Haris. 

Jika sedari tadi dia menggeleng, sekarang dia mengangguk laju. 

“Ikut kakak ke stadium, ya. Kakak hantar Haris, ya?” Aku meminta izin ibuku untuk menghantar Haris ke tempat duduk yang menempatkan ahli-ahli rumah sukan kuning. 

“Haris jaga diri elok-elok, ya. Ibu sayang Haris. Berseronok, ya.” Ibuku mengucup dahi Haris. 

Setelah itu, aku menarik tangan Haris. 

“Aiskrim?” tanyanya memandangku dengan wajah sayu. Serta-merta air mataku mengalir perlahan. 

“Selepas kita pulang nanti, ya.” Aku mengusap kepalanya. Dia tersenyum sehingga menampakkan lesung pipit di pipinya.  

Aku mengelap air tangisanku apabila kami sudah menghampiri tempat duduk itu. Tiga orang murid lelaki berpakaian serba merah menghampiri kami. Aku cukup mengenali mereka kerana mereka merupakan rakan sekelas Haris. 

“Budak yang tidak berguna sudah datang,” kata salah seorang daripada mereka. 

“Apa masalahnya kamu bertiga? Dia sakit, bukan tidak berguna.” Aku membidas kata-kata mereka. 

Haris memandang ke bawah. Tangannya menarik-narik tanganku supaya beredar dari situ. 

“Dia asyik jatuh sahaja kerjanya,” kata rakannya. 

“Sekurang-kurangnya, dia berusaha.” Aku dan Haris meninggalkan mereka. 

Hatiku pedih dan silu. Baru aku tahu mengapa Haris tidak mahu ke sekolah. Walaupun Haris tidak mampu untuk bercakap lancar, dia cukup memahami setiap perkataan yang disebut semua orang. Ini semua hasil titik peluh ibu bapaku juga. 

Aku melihat dari jauh adikku. Dia dipakaikan kain yang berwarna kuning di kepalanya. Aku cuba untuk melupakan adegan sebentar tadi. Perlukah aku memberitahu ibu? Aku rasa tidak. 

Akhirnya, selepas penat menunggu, tibalah giliran adikku untuk beraksi. 

“Seterusnya merupakan acara 400 meter bagi murid-murid tahun empat lelaki. Para peserta diminta bersedia,” kata pengacara yang bertugas. 

Aku melihat Haris bersama peserta-peserta lain. Salah seorang murid yang mengejek Haris juga berada di situ. Aku harap Haris mampu menang bagi membuktikan orang sepertinya juga boleh berjaya. 

Wisel dibunyikan. Setakat ini, Haris mendapat nombor dua. Aku dan ibu bersorak untuk Haris. 100 meter berlalu dan Haris masih mengekalkan kedudukannya. 

BUK! 

Haris terjatuh. Ramai peserta meninggalkannya. Ibu kelihatan risau. 

“Bangun Haris! Menang bukannya penting! Haris sudah berusaha!” Aku melaung dengan kuat sehingga kedengaran di telinga Haris. Maklumlah, Haris jatuh di trek larian di hadapan kami sahaja. 

Mendengar itu, Haris serta-merta berdiri. Aku tidak tahu dia terasa sakit atau tidak. Berbekalkan semangat kental, dia berlari laju sehingga mengalahkan para peserta lain yang sudah kepenatan. 

Alhamdulillah. Haris dinobatkan juara. Ramai yang kagum. Tiga murid tadi juga sudah meminta maaf. Haris mempunyai hati yang luhur kerana telah memaafkan mereka. Aku pula telah membelanja Haris aiskrim di pusat membeli-belah berdekatan. Biarlah mahal sekalipun. Asalkan aku dapat melihat Haris gembira sehingga nampak lesung pipitnya. Haris pula tidak jenuh berterima kasih kepadaku. 

Aku sungguh bertuah kerana mendapat adik yang autisma. Dia lahir ke dunia ini dengan sebab. Haris banyak mengajarku melalui perbuatannya. Aku telah berubah menjadi lebih baik. Haris, sembuhlah!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: