Certot

HARI SUKAN DIANA

Hasil nukilan Aisyah Nabila 2 years agoSukan 15

             

“Diana, tunggu saya!” 

Suara lantang itu mengejutkan Diana. Segera dia menoleh untuk mencari tuan punya jeritan. Wajah yang berkerut menjadi berseri. Senyuman dilemparkan mengganti muncung lima sentimeter yang ditunjukkan tadi. Maklumlah, sudah dua hari tidak bertemu, pasti amat rindu pada sahabat yang dikasihi.

“Awak rupanya! Terkejut saya,” ucap Diana kepada Mia, rakan baiknya itu. 

Mia tersenyum. Tidak semena-mena, lengannya dicubit kuat oleh Diana. Peritnya tidak terperi.

“Baiklah, baiklah. Jangan cubit. Sebenarnya, saya ada berita hangat!” ujar Mia dengan teruja. 

“Berita hangat?” Diana hairan. 

Mia tersenyum senang kerana hari yang ditunggu-tunggu bakal tiba dua minggu lagi.

“Tadi, saya ternampak ramai pelajar berkumpul di papan kenyataan sekolah. Rupa-rupanya hari sukan akan menjelma! Tidak sabarnya.” Mia terlompat-lompat sambil bertepuk tangan seperti kanak-kanak tadika. 

“Hari sukan? Seronoknya! Saya tidak sabar mahu mewakili rumah sukan dalam acara lumba lari 100 m.” Diana menggenggam tangannya penuh semangat. Tahun lepas dia hanya berjaya mendapat tempat kedua sahaja.

“Awak mahu jadi wakil rumah kuning menjadi pelumba 100 meter? Boleh jalanlah. Ingat lagi tahun lepas, saya, Tengku Izzaty berjaya mendapat tempat pertama dan mengalahkan awak,” Izzaty mencelah perbualan Diana dan Mia dengan nada yang angkuh. 

Izzaty ialah musuh tradisi Diana sejak tadika lagi. Di belakangnya, Hanim dan Fiena berdiri sambil bercekak pinggang.

“Tunggulah, saya akan kalahkan awak,” ujar Diana. Mereka terus meninggalkan tiga sekawan itu di tengah dewan sekolah.

*****

Hari berganti hari, Kejohanan Sukantara Sekolah Kebangsaan Sri Permata pun tiba. Ramai pelajar dan ibu bapa yang datang. Di sudut padang, Izzaty, Hanim, dan Fiena merancang sesuatu.

“Hanim, kau sudah sediakan ramuan rahsia kita?” 

Hanim tersengih dan mengangguk menjawab pertanyaan Izzaty. 

“Bagus, dia tidak akan menang kali ini.” Mereka bertiga ketawa kegedikan.

*****

Acara demi acara dijalankan, akhirnya lumba lari 100 meter mendominasi padang. Diana, Izzaty, dan peserta lain bersedia di garisan awal. 

“Ke garisan… sedia… mula!” Wisel ditiup oleh Cikgu Aini.

Pada awalnya, Izzaty mendahului peserta lain. Namun, Diana berjaya memotongnya. Diana mula jauh ke hadapan. Tiba-tiba suatu objek kuning dibaling ke trek kepunyaan Diana. Akibat pecutan lajunya, Diana tidak sempat mengelak lalu terpijak objek itu. Diana pun jatuh tersungkur.

Izzaty dan peserta lain terus berlari ke garisan penamat. Apabila Diana cuba untuk bangun, dia tidak berjaya. Kakinya terseliuh. Cikgu Zahra menghampiri Diana. 

“Diana, kamu okey?” tanya Cikgu Zahra dengan prihatin. 

Diana menggelengkan kepalanya sambil air mata jatuh berderaian. Diana menangis teresak-esak. Dia gagal lagi sekali.

Setelah kakinya disapu ubat, Mia datang menghampiri Diana. “Tidak mengapa, Diana. Menang kalah tidak penting. Awak boleh usaha lagi tahun hadapan.”

“Terima kasih, Mia.” Mendengar kata-kata semangat Mia, Diana tekad. Dia akan menjadi juara untuk tahun hadapan.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: