Certot

Harga Sebuah Kemaafan

Hasil nukilan Al-Kindi 1 year agoSuperhero 237

Tok! Tok! Tok! 

“Hanif, Hasif bangun nak. Bangun solat subuh. Hanif… Hasif.” Suara garau milik Pak Hashim memecah kesunyian waktu subuh pada pagi itu.

          Menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah tunggal bukanlah suatu perkara yang mudah. Walaupun sudah hampir tiga tahun hidup berstatus duda, namun Pak Hashim tidak pernah memikirkan untuk mencari pengganti kepada isterinya iaitu Puan Hanis. 

Puan Hanis meninggal akibat serangan jantung secara mengejut ketika Pak Hashim keluar bekerja di sawah. Berita mengejut itu diterima oleh Pak Hashim setelah dimaklumkan oleh orang kampung. Setibanya dia di situ, isterinya sudah disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang terlebih dahulu sampai untuk memberi bantuan kecemasan.

          Padanya biarlah dia setia pada yang satu. Biarlah dia menjadi ibu dan ayah kepada anaknya. Walaupun kehidupannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tetapi dia tetap bersyukur dengan limpahan rezeki yang diberikan oleh Sang Pencipta kepadanya. Meskipun tidak banyak, tetapi sudah memadai untuk diri dan anaknya bagi menampung kehidupan di dunia fana yang sementara ini. Baginya nikmat nyawa itu sudah besar nilai buat dirinya.

          Baginya tanggungjawab sebagai seorang ayah diibaratkan sebagai nakhoda kapal yang telah diberi mandat bagi mengemudi sebuah bahtera pelayaran untuk terus berlayar di tengah-tengah lautan tanpa sedikit pun membahayakan nyawa penumpangnya. Tetapi mengapa sebuah bahtera dan lautan yang menjadi ibaratnya? Adakah kerana bahtera itu merupakan sebuah kapal yang besar atau adakah kerana lautan itu sememangnya cantik sehingga mampu dijadikan bidalan?

            Jawapannya mudah sahaja. Ini kerana jasa ayah itu terlalu besar kepada kita. Bayangkan seorang nakhoda kapal sanggup menggantung nyawa meredah lautan dalam semata-mata untuk menghantar penumpang-penumpangnya ke destinasi yang dituju dengan selamat. Tanpa seorang nakhoda, tidak akan berlayar sesebuah bahtera begitu jugalah dalam sebuah keluarga kerana tanpa kehadiran seorang ayah yang hebat sudah tentu institusi keluarga itu akan dilihat cacat dan tergendala perjalanannya untuk terus sampai ke perhentian seterusnya yang kekal abadi yakni syurga firdausi.

            “Abang, adik… bangun nak. Solat subuh.” 

Tok! Tok! Tok! 

Pak Hashim masih tidak berputus asa dalam perjuangannya mengejutkan dua orang anak kembar lelakinya yang suatu hari nanti bakal menjadi seorang ayah sepertinya. Dia tidak mahu anak lelakinya itu leka sedikit pun dengan nikmat duniawi ini kerana baginya seorang lelaki merupakan pewaris kuat dalam sesebuah keluarga.

            “Ayah! Ayah!” Suara Hanif memecahkan lamunan panjang Pak Hashim. “Jauh termenung?” Soal Hanif sengaja menduga.

              “Eh, kamu dah bangun Hanif? Ha, cepat pergi mandi, siap kemudian solat jemaah dengan ayah. Takut lambat pulak ke sekolah nanti. Mana adik kamu? Tak bangun lagi?”

              “Belum ayah. Tak apa. Biar Hanif yang kejutkan. Hanif kan kembar dia.  Bukan apa, Hanif bimbang kalau-kalau nanti dia marah ayah. Macamlah ayah tak tahu perangai Hasif. Sekali dia mengamuk, habis semua kena.’’ Hanif bulatkan mata. Keningnya terjongket ke atas tanda meminta kebenaran daripada ayahnya.

              “Baiklah. Ayah harapkan kamu. Kejutkan dia tahu?’‘

              “Yes boss!’‘ ujar Hanif dengan penuh bersemangat.

*****

              Setibanya di sekolah, Hasif terus berlalu pergi tanpa mengucapkan sepatah ucapan kata pun terhadap ayahnya. Malah sedikit ciuman pun dia tidak berikan kepada ayahnya. Perasaannya sedikit terguris dengan tindakan yang dilakukan oleh anaknya. Pun begitu dia tidak pernah menunjukkan sikap kecil hatinya kepada kedua-dua orang anaknya. Biarlah dia sendiri yang menanggung perit di hati. Dia tahu anaknya itu tidak suka membonceng motor Honda yang sudah kelihatan usang ini, namun apakan daya hanya motor ini sahaja yang mampu untuk dimilikinya. ‘Motor cabuk’ itulah gelaran yang diberikan oleh Hasif, anak bongsunya.

              “Ayah maafkan Hasif ya. Dia memang begitu.’‘

              ‘‘Tidak mengapa, Hanif. Ayah tahu dia memang bencikan ayah. Ayah tahu dia memang tidak sayangkan ayah. Jika waktu mampu diputarkan kembali, sumpah Hanif ayah tidak akan turun ke sawah. Ayah pasti akan menemani ibumu di rumah. Biarlah ayah pergi dahulu. Jika ayah yang mati, pasti Hasif akan berasa gembira, bukan?’’ Nada suara Pak Hashim sudah mulai berubah rentak. Rentak yang tadinya mendatar sudah mula kedengaran bait-bait bunyi kesedihan. Hanif yang sudah mulai perasan dengan perubahan tersebut cepat-cepat membetulkan keadaan.

              ‘‘Ala ayah ni. Apa cakap macam tu. Tak baiklah. Dah, dah janganlah buat muka badut kena belacan. Nanti tak comel. Hasif tu memang begitu. Ayah jangan sedih, okey?  Tidak mengapa ayah, Hanif janji selaku abang, Hanif akan nasihatkan Hasif. Hanif akan cuba sedaya upaya untuk sedarkan Hasif daripada segala perbuatannya itu,’’ usik Hanif sambil membuat gaya ala-ala membaca ikrar.

              ‘‘Sekarang Hanif dah lambat, Hanif masuk sekolah dulu.’’ Sebelum masuk, Hanif akan melakukan rutin hariannya iaitu menyalam dan mencium pipi ayahnya sebagai tanda kasih dan cinta seorang anak terhadap ayahnya.

              ‘‘Don’t worry be happy,’‘ kata-kata semangat yang sering dituturkan oleh Hanif kepada ayahnya di kala ayahnya dirundung kesedihan.

                ‘‘Assalamualaikum. Doakan Hanif dan Hasif ya,’’ tutur Hanif sambil melambai ke arah ayahnya sebelum berlari-lari anak dek takut kelewatan untuk masuk ke kelas.

*****

                ‘‘Hasif! Hasif!’’  Tangan Hasif direntap dari arah belakang oleh abangnya.

                ‘‘Apa ni abang? Lepaslah. Sakit tangan orang,’’ rungut Hasif sambil memuncungkan bibir mulutnya minta dilepaskan sebagai tanda protes terhadap tindakan Hanif.

                ‘‘Oh, adik punya sakit adik ingat, ayah punya sakit ada adik ingat?’’ tempik Hanif kepada adiknya.

                  Hanif mengerutkan dahi meminta penjelasan. ‘‘Mengapa bersikap sebegitu terhadap ayah tadi? Apakah tiada langsung rasa hormat kamu kepada ayah? Berapa kali abang perlu ingatkan, ayah tak salah. Ayah langsung tiada kaitannya dengan kematian ibu. Memang sudah ditakdirkan yang ibu akan meninggal sewaktu ayah tiada di rumah. Kenapa susah sangat adik nak faham? Kenapa susah sangat adik nak maafkan ayah?’‘

                     

                  Jeda seketika.

                  Kejadian pada pagi itu betul-betul menikam sanubarinya. Sudah beberapa kali Hasif cuba memujuk ayahnya untuk tidak ke sawah kerana bimbang akan kesihatan ibunya. Berapa kali juga dia mendengarkan jawapan yang sama.

                  ‘‘Tak boleh, adik. Ayah mesti ke sawah juga. Jika tidak malam nanti kita sekeluarga pasti kelaparan.’‘

                  ‘‘Tapi ayah.’’ Belum sempat Hasif meneruskan kata-katanya, Pak Hashim terlebih dahulu memintas.

                  ‘‘Tak mengapa. Ayah pergi sekejap sahaja. Lagipun ibu kamu cuma batuk biasa sahaja. Tiada apa yang perlu dirisaukan,’’ Pak Hashim cuba meyakinkan anaknya sebelum berangkat ke sawah.

                  Walaupun kejadian tersebut berlaku ketika umurnya 10 tahun, tapi kejadian tragik dalam hidupnya itu tidak akan mampu untuk dilupakannya.

                  ‘‘Hasif! Hasif! Kenapa diam? Kenapa tak jawab soalan abang? Sudah kelukah untuk bertikam lidah ataupun sudah bisu untuk bertekak?’’

                    Hasif yang sedari tadi diam mengingati kisah lampau, tersentak dengan pertanyaan yang diajukan oleh Hanif. ‘‘Dahlah abang, adik malas nak bergaduh dengan abang. Adik tak nak spoillkan mood pagi adik dengan pergaduhan kita. Adik minta diri dulu.’‘

*****

                  Setelah selesai membersihkan kawasan kebun milik Haji Rashid, Pak Hashim berehat seketika di bawah sepohon pokok yang rendang dek kepenatan yang mulai menguasai diri. Beginilah rutin hariannya. Setiap hari, pasti ada saja kerja-kerja kecil yang dilakukannya. Kalau dia tak ke sawah, paling tidak pun mesti Pak Hashim akan mengambil upah membersihkan kawasan perumahan ataupun mengutip tin-tin minuman untuk dijual. Rumah yang selama ini mereka diami juga kini tinggal masa sahaja untuk roboh menyembah bumi. Allahhurabbi, sungguh daif hidup Pak Hashim sekeluarga. Tapi tidak pernah sekalipun Pak Hashim mengeluh akan nasib hidupnya.

                Saat syahdu begini, kejadian yang berlaku tiga tahun lalu mula bermain-main di mandala fikrah Pak Hashim. Ada tikaman berbisa masa lampau yang kian menajam dan sengaja Pak Hashim asah-asahkan. Potret duka mula terbayang-bayang di depan matanya sedikit demi sedikit.

*****

Tiga tahun lalu….

                Keriuhan bunyi melodi kicauan burung memecah kesunyian pada pagi Sabtu itu ditambah pula dengan tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa menjadikan pagi itu merupakan pagi yang begitu indah buat Pak Hashim untuk keluar mencari rezeki Allah yang Maha Luas demi sesuap nasi buat keluarga yang tercinta. 

Jam di dinding di kerling sepintas lalu. ‘‘Baru pukul 7.00 pagi. Memandangkan hari ini hari Sabtu, apa salahnya keluar lewat sedikit?’’ ngomel Pak Hashim sambil menyisirkan rambutnya ke tepi.

              ‘‘Abang! Abang! Mari turun makan. Saya dah siapkan sarapan untuk abang.’’ Suara lembut Puan Hanis menerpa di telinga Pak Hashim.

              ‘‘Yalah. Kejap lagi saya turun,’’ jerit Pak Hashim dari atas rumah.

                Puan Hanis Wahidah merupakan isteri kepada Pak Hashim dan merupakan tulang belakangnya yang sentiasa berada di sampingnya tika susah mahupun senang. Dia kagum dengan isterinya kerana sanggup menerima dirinya seadanya. Walaupun hidup mereka serba kekurangan, tetapi dia tidak pernah sekalipun merungut akan nasibnya.

                Hasil perkongsian hidup bersama, mereka telah dikurniakan sepasang cahaya mata kembar lelaki yang diberi nama Muhammad Hanif Wajdi dan Muhammad Hasif Wajdi yang berumur 10 tahun. Walaupun dilahirkan sebagai pasangan kembar, tetapi personaliti mereka jauh sekali bezanya. Masakan tidak si abang, Hanif merupakan seorang yang berdikari, menghormati orang tua, dan bersifat matang. Manakala Hasif pula, seorang yang keras kepala, pendiam, dan terlalu manja dengan ibunya iaitu Puan Hanis. Pun begitu Pak Hashim tetap menyayangi kedua-dua anak lelakinya itu.

              ‘‘Uhuk, uhuk, uhuk!’’ Puan Hanis mengurut-ngurut dadanya akibat kepenatan kerana batuk. Sejak beberapa hari ini, Puan Hanis kerap kali batuk dan sakit dada. Kadangkala dadanya terasa sesak dan membuatkannya seringkali tercungap-cungap. Tetapi apabila disapukan minyak angin, sakitnya akan beransur hilang. 

Pak Hashim yang perasan akan perubahan kesihatan Puan Hanis segera menegur, ‘‘Nis, sejak kebelakangan ini, saya selalu tengok awak batuk-batuk macam ni. Badan awak pun makin hari, makin kurus. Awak tak sihat?”

                ‘‘Oh terkejut, jut, jut. Ishh abang ni, buat terkejut saya je. Lain kali kalau nak tegur beri salam dulu ni tak, main belasah je.’‘

                ‘‘Lawaknya awak ni. Terkejut sampai melatah. Maaf ye, abang lupa.Nis tak jawab lagi pertanyaan abang.’‘

                  ‘Alamak, abang nampak ke perbezannya?’ Puan Hanis sudah mula menggelabah. ‘‘Abang mari makan. Nis ada masakkan nasi lemak istimewa untuk abang. Mari sini, kita makan bersama ya,’’ tutur Puan Hanis sengaja menukar topik perbualan mereka pada pagi itu.

                    ‘‘Niss, abang tanya ni,’’ desak Pak Hashim inginkan jawapan.

                    ‘‘Mana ada, Nis cuma batuk-batuk biasa dengan sakit dada saja. Alah jangan risau, lepas sapu minyak angin nanti sembuhlah,’’ terang Puan Hanis.

                    Sebelum berangkat ke sawah, anaknya Hasif ada melarangnya untuk pergi bekerja pada hari itu kerana bimbang akan kesihatan ibunya.’‘Ayah boleh tak kalau ayah tak turun ke sawah hari ni? Adik risau la tengok keadaan ibu. Asyik batuk aje.’‘

                  ‘‘Tak boleh adik. Ayah mesti ke sawah juga, jika tidak malam nanti kita sekeluarga pasti kelaparan.’‘

                  ‘‘Tapi ayah.’’ Belum sempat Hasif meneruskan kata-katanya, Pak Hashim terlebih dahulu memintas.

                  ‘‘Tak mengapa. Ayah pergi sekejap sahaja. Lagipun ibu kamu cuma batuk biasa sahaja. Tiada apa yang perlu dirisaukan.’’ Pak Hasim cuba meyakinkan anaknya sebelum berangkat ke sawah.

                    Pak Hashim tidak menyangka bahawa larangan anaknya untuk dia turun ke sawah merupakan satu petanda awal yang disampaikan kepadanya secara tidak sedar yang mana anaknya itu telah terlebih dahulu merasai perbezaan terhadap ibunya pada pagi itu. 

Selepas 30 minit keluar bekerja, tiba-tiba Pak Hashim dikhabarkan oleh Daud anak Haji Taib bahawa isterinya diserang penyakit jantung. Terkejut Pak Hashim bukan kepalang. Masakan tidak, selama dia hidup bersama dengan Puan Hanis, dia tidak pernah sekalipun melihat Puan Hanis merungut sakit dada cuma pada pagi itu sahaja. Pagi itu… dan sebaik tiba di perkarangan rumah, dia terlihat sebuah ambulans dan beberapa orang jiran sedang mengemuruni halaman rumahnya.

                    Tanpa membuang masa, Pak Hashim segera masuk ke dalam rumah, tetapi semuanya sudah terlambat. Puan Hanis disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

‘‘Maafkan kami Encik, kami sudah mencuba yang terdaya dan membuat sehabis yang mungkin untuk menolong isteri Encik tetapi ternyata Allah lebih sayangkan dia. Kami harap Encik dapat bersabar. Takziah kami ucapkan,’’ kata Encik Faisal pegawai paramedik yang ditugaskan untuk memberi bantuan kecemasan kepada Puan Hanis. 

Rupa-rupanya setelah disiasat, Puan Hanis sememangnya sudah lama menghidapi penyakit jantung, cuma dia tidak pernah memberitahu kepada Pak Hashim kerana bimbang akan membuatkan suaminya itu risau.

                    Sejak dari peristiwa itulah Hasif mula menjauhkan dirinya dari Pak Hashim dan menyalahkan Pak Hashim kerana semasa kejadian berlaku dia tiada di rumah untuk membantu. Di fikirannya, jika ayahnya ada pada waktu itu, pasti ibunya dapat diselamatkan. Pasti ibunya masih bernyawa. Dan sejak dari hari itu jugalah dia mula membenci Pak Hashim sedikit demi sedikit. Di manya, segala yang dilakukan oleh ayahnya pasti ada sahaja yang tidak kena dan akan membuatnya seringkali marah dan bertambah benci kepadanya. Pada hematnya Pak Hashim bukanlah seorang ayah tetapi merupakan ‘pembunuh ibunya’.

                  Allahhuakbar, allahuakbar. 

Suara azan berkumandang memecahkan lamunan duka Pak Hashim. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Lagi setengah jam, anaknya akan pulang, jadi dia perlu balik ke rumah dan bersiap-siap untuk mengambil kedua-dua orang anaknya itu pulang dari sekolah.

*****

Kring! Loceng sekolah sudah berbunyi menandakan waktu persekolahan pada hari itu sudah tamat. Seperti biasa Hanif dan Hasif bersiap-siap memasukkan buku ke dalam beg.

                  Disebabkan kawasan luar sekolah sudah dipenuhi dengan kenderaan dan ibu bapa yang menanti kepulangan anak mereka, Pak Hashim mengambil keputusan untuk meletakkan motosikalnya bertentangan dengan sekolah anaknya. Ini untuk mengelakkan dirinya dari bersesak-sesak dengan ibu bapa murid yang lain untuk pulang ke rumah sebaik mengambil kedua-dua orang anaknya itu. Setelah lima minit menunggu akhirnya kelibat Hanif dan Hasif muncul di hadapan pagar sekolah.

                  ‘‘Abang, di mana ayah? Selalunya bukan ayah selalu letakkan motosikalnya di sana ke?’’ tanya Hasif sambil menunjukkan tempat menunggu bas yang tidak jauh dari sekolah mereka.

                  ‘‘Itulah, abang pun hairan.’‘

                  ‘‘Hanif! Hasif!’’ laung Pak Hashim sambil melambaikan tangannya ke arah Hanif dan Hasif.

                  ‘‘Eh, itukan ayah.’‘

                  ‘‘Mana? Adik tak nampak pun?’‘

                  ‘‘Tu dekat seberang jalan sana tu,’’ ujar Hasif sambil menundingkan jari ke arah ayahnya.

                  ‘‘Yalah, tapi macam mana kita nak ke seberang?’‘

                  ‘‘Kita lintas ajelah. Apa susah.’‘

                  ‘‘Eh, mana boleh bahaya la adik. Kita guna lintasan zebra jelah,’’ ujar Hanif memberi cadangan.

                  ‘‘Tak nak, lambat. Kalau abang nak lintas abang pergilah. Adik tak nak. Adik nak balīk cepat,’’ tegas Hasif membantah.

                  ‘‘Hasif, jangan degil boleh tak? Dengar cakap abang.Tak takut ke nanti….’’ Belum sempat Hanif menghabiskan kata-katanya, Hasif terlebih dahulu melintas tanpa melihat kereta di kiri dan kanan. Dia tidak sedar bahawa sebuah kereta sedang memecut laju ke arahnya. Situasi menjadi panik.

                    ‘‘Hasif, bahaya! Kereta!’’ jerit Hanif. Akibat panik, Pak Hashim yang perasan akan situasi tersebut segera berlari untuk menyelamatkan anaknya.

                    ‘‘Hasif!’’ jerit Pak Hashim sambil menolak anaknya ke bahu jalan dan….

Sreeetttttttt, gedebuk! Tubuh Pak Hashim terpelanting sejauh satu meter akibat dari perlanggaran tersebut.

                    ‘‘Ayah!’’ jerit Hanif dan Hasif serentak sambil berlari-lari anak ke arah ayah mereka.

                    Darah mula memenuhi ruangan jalan raya. Badan Pak Hashim sudah lunyai, tidak bermaya dan dibasahi darah akibat daripada luka-luka di badan dan kepalanya. Pak Hashim sudah tidak sedarkan diri. Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menolong dan memberikan bantuan kecemasan kepada Pak Hashim.

                    ‘‘Ayah! Ayah! Bangun ayah, bangun! Adik minta maaf yah. Adik minta maaf. Selama ni adik banyak sangat buat salah dengan ayah. Adik selalu marah ayah. Adik selalu tengking ayah. Ayah, bangun ayah! Adik minta maaf,’’ ujar Hasif sambil menangis teresak-esak.

                  Mindanya sudah mula memainkan berapa memori tatkala bersama ayahnya. Mindanya mula menayangkan wajah ayahnya tatkala sedang menangis kerana sikapnya. Wajah ayahnya yang sedang menahan kesakitan akibat diterajang olehnya kerana tidak mendapat kasut sukan yang baru dan wajah ayahnya yang sedang sayu menahan kepetahan mulutnya mencerca kemiskinan hidup mereka. Dia seakan-akan tercari-cari di manakah wajah ayahnya yang sedang gembira. Dia cuba mengingatinya satu persatu namun gagal. Sekarang baru dia sedar, bahawa selama ini dia tidak pernah membuat ayahnya gembira, dia langsung tidak pernah membuat ayahnya ketawa, dan yang paling mengecewakan apabila semua peluang untuk dia menebus segala kesalahannya kini semakin kabur.

                ‘‘Abang tolong adik abang, adik nak minta maaf dengan ayah. Tapi kenapa ayah tak buka mata? Kenapa ayah diam abang. Abanggg… abang, tolonglah kejutkan ayah. Adik nak minta maaf. Ayah, ayah dengarkan apa yang adik cakap? Adik cakap adik minta maaf. Ayah bangunlah… adik nak dengar suara ayah. Adik janji lepas ni adik takkan marah ayah, adik takkan merajuk dengan ayah. Adik akan selalu sayang ayah, adik akan cium ayah sebelum adik pergi sekolah. Adik janji akan salam ayah sebelum adik masuk dalam sekolah. Abang…,’’ kata Hasif sambil menggoncangkan badan abangnya.

                  Orang ramai yang melihat kejadian itu turut bersimpati dengan situasi tersebut. Ada di antara mereka yang sudah menitiskan air mata. Dan ada juga di antara mereka yang cuba menenangkan Hasif pada ketika itu. Selepas 15 minit, sebuah ambulans dan peronda polis tiba di tempat kejadian. Pemandu kenderaan tersebut ditahan kerana membawa kereta melebihi had laju. Beberapa orang anggota paramedik memberikan bantuan kecemasan kepada Pak Hashim. Setelah beberapa minit memberikan bantuan kecemasan, Pak Hashim dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Di dalam ambulans, Hasif tidak berhenti, memohon doa kepada Allah S.W.T supaya memberikan peluang kedua buat ayahnya untuk hidup.

                  Allah berfirman yang mafhumnya, “Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemuimu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 8)

                  Namun takdir qadak dan qadar Allah menandingi segalanya. Sudah tertulis di loh mahfuz sebelum seseorang manusia itu dilahirkan ke dunia rezekinya, jodonya, dan ajalnya. Pak Hashim telah menghembuskan nafas terakhirnya di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kehilangan banyak darah.

                  Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

*****

                    Sejak dari hari itu, Hasif mulai sedar bahawa ayahnya itu telah banyak berkorban untuk membesarkan dirinya dan abangnya. Hasif seringkali menangis apabila mengingati segala kesalahan yang telah dilakukannya semasa ayahnya masih hidup. Kini, Hasif juga sudah mulai mengerti tentang apa yang dimaksudkan dengan kasih seorang ayah terhadap anaknya. 

Walaupun 15 tahun berlalu namun baginya lukisan duka yang pernah dilukis oleh dirinya sendiri akan tetap terpahat jauh di sudut hatinya. Saat ini, dia sudah berjaya menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Jordan. Abangnya pula kini telah berjaya menjadi seorang profesor terkemuka di negara Eropah. Walaupun terpisah oleh beribu-ribu kilometer, namun doa menjadi pengganti sebagai perantara meluahkan rindu yang terbuku di hati.

 Rentetan peristiwa hidupnyaitu,  banyak memberikan pengalaman kepadanya untuk berubah menjadi seorang anak yang soleh. Jika dahulu dia suka mencerca, sekarang dia lebih suka untuk berdiam diri jika tiada keperluan untuk berkata-kata. Jika dahulu dia cepat untuk marah, sekarang dia sudah mendidik dirinya untuk menjadi seorang yang penyabar dan jika dulu dia seorang yang pembenci tetapi sekarang, jiwanya sudah penuh dengan kasih sayang. Kasih sayang terhadap seluruh makhluk ciptaan Allah terutamanya orang yang berada berhampirannya. 

Baginya cukuplah dia kehilangan dua orang insan tersayang tanpa sempat berbakti kepada kedua-duanya walaupun hanya sekali. Sekarang misinya hanya satu iaitu menjadi anak soleh dan mendoakan kesejahteraan ibu dan ayahnya. Hanya dengan cara itu, dia dapat menebus semula kekecewaannya suatu ketika dahulu. Sungguh, jika dia diberikan peluang kedua pada waktu itu, dia pasti akan meminta maaf daripada ayahnya semahu-mahunya dan dia pasti akan berbakti kepada ayahnya. Tetapi dia sedar, bahawa peluang itu tidak akan diperolehinya lagi. Tidak sama sekali.

                      Malam itu, menjadikan malam Hasif sebagai malam yang paling sayu buat dirinya. Usai menunaikan solat malam, Hasif duduk berteleku di atas sejadah sambil beristighfar memohon ampun kepada Sang Pencipta. Setelah lima minit beristighfar, tiba-tiba dia mendapat satu idea untuk kuliahnya pada hari ini.Dia bercadang untuk mengupaskan topik Ayah Wira Tidak Didendang bersama-sama para pelajarnya yang lain untuk memberikan sedikit kesedaran terhadap pelajarnya. Tetapi sebelum dia mengupas tajuk itu dengan terperinci dia mahu semua anak muridnya membaca nota yang kini sudah siap dikarang olehnya sendiri yang diberi gelaran ‘nota sentap’. Nota tersebut berisi nasihat yang berbunyi…

          Pernah atau tidak anda bayangkan diri anda dilahirkan tanpa seorang bapa?  Seperti lahirnya Nabi Isa A.S tanpa seorang bapa. Pernah atau tidak anda terfikir berapa besar pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang ayah untuk membesarkan anaknya? Dan pernahkah anda semua terfikir bahawa tanpa seorang bapa mungkin kita tidak akan melihat dunia ini? Kerana apa? Kerana tanpa ayah di sisi entah apa makna perjuangan yang selama ini kita tempuhi. Tanpa ayah di sisi, tidak akan kita kenali dunia ini, tanpa ayah disisi, mana mungkin kita akan jadi seperti ini, pada hari ini. Ya, itu semua merupakan pengorbanan seorang ayah terhadap kita. 

Kita sepatutnya menyayangi ayah kita seperti mana kita menyayangi ibu kita. Jangan sesekali kita membezakan kasih sayang kita antara ayah dan ibu. Saya percaya, mungkin ramai di luar sana hanya menitikberatkan keperluan si ibu jika dibandingkan dengan keperluan si ayah. Mungkin ramai di luar sana yang hanya melayan ibu dengan layanan bak puteri, tetapi layanan yang diberikan kepada ayah disisih jauh ke tepi. Perasaan seorang ayah langsung tiada yang peduli. Jasa seorang ayah jauh sekali untuk dihargai. Adakah kita mahu menunggu saat maut datang menghampiri baru tersedar untuk berbakti? Adakah selepas perginya seorang ayah, baru kita sedar tentang kewujudannya di sisi? Adakah pengorbanannya membesarkan kita selama ini tiada langsung nilai di hati? Atau adakah bagi kita seorang ayah hanyalah insan yang tidak mempunyai hati nurani?

                        Allahhurabbi… ayah juga seorang manusia. Seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Seorang manusia yang bisa menitiskan air mata dikala kesedihan. Seorang manusia yang juga memerlukan kasih sayang, sokongan dan dorongan dari keluarga yang disayangi dan dicintai. Namun,  anak-anak pada zaman ini tidak lagi memikirkan perasaan seorang ayah. Walaupun dia tidak melahirkan kita, pun begitu dialah insan yang menjadi tonggak kepada berdirinya kita di dunia ini dengan sihat. Tanpa rezeki yang dicari dengan hasil titik peluhnya ketika membesarkan kita, mana mungkin kita akan menjadi seperti ini? Mana mungkin kita akan semewah ini?

                      Oleh itu, ingatlah ayah juga mempunyai hati sama seperti kita semua di dunia ini. Ayah juga wajib untuk ditaati bukan untuk dimaki jauh sekali untuk dicaci. Jika anda masih sayangkan ayah anda, saya nasihatkan segeralah berbakti kepada mereka. Buatlah mereka gembira selagi mana anda mampu untuk berbuat begitu. Tunaikanlah permintaa mereka jika mereka mendambakan sesuatu. Buatlah semua itu sebelum mereka menutup mata. Kerana apabila mereka sudah tiada, maka hilanglah ‘lubuk syurga’ yang mana merupakan jambatan kita untuk ke sana.  Sesungguhnya, kemaafan daripada seorang ayah itu amat berharga. Lebih berharga jika dibandingkan dengan harta dunia.

Tepuk dada tanyalah hati, tepuk dahi fikirlah sendiri.

Fikir-fikirkan…. 

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: