Certot

Happy Birthday, Yana!

Hasil nukilan Amni Umairah 2 years agoFiksyen

Kring! 

Bunyi jam loceng yang membingitkan telinga itu berjaya mengejutkan Yana yang masih diulit mimpi. Namun berbeza pada hari ini, Yana berjaya bangun seawal jam 6.00 pagi! Selalunya Yana terus menyambung tidurya biarpun jam locengnya berbuyi berkali-kali.

Yana bangun awal pastilah bersebab. Mustahil dia hendak bangun seawal itu untuk mandi dengan air yang sejuk dan pergi sekolah untuk membaca buku sebelum perhimpunan pagi dijalankan. Sebabnya ialah hari ini merupakan hari lahir Yana yang ke-12!

Secepat mungkin Yana bangun dan menuju ke bilik mandi yang teretak di dalam bilik tidurnya. Selepas lima minit, Yana keluar dari bilik mandi dan terus bersiap-siap untuk ke sekolah. Dia tidak suka berlama-lama di dalam bilik mandi. Dia sentiasa ingat akan pesan mamanya agar tidak berlama-lama semasa mandi kerana bilik mandi dan tandas merupakan tempat kesukaan syaitan.

Sambil bersiap, dia berangan-angan hadiah apakah yang akan diberikan oleh mama dan papanya? Tahun lepas mama menghadiahinya lima buah novel PTS. Dia memang gemar membaca. Tidak mustahillah dia sentiasa mendapat tempat pertama di dalam kelas. Manakala papanya pula memberikan telefon pintar berjenama Apple.

Yana melihat jam tangann yang dibeli oleh papanya semasa papanya pergi outstation di Australia bulan lalu. Jam digital itu menunjukkan pukul 6.30 pagi. 

‘Masih awal lagi,’ desis hati kecil Yana.

Tok! Tok! Tok! Kedengaran ketukan bertalu-talu di hadapan pintu biliknya.

“Yana, mari sarapan. Mak Iti sudah siapkan sarapan,” ajak  Mak Iti. Mak Iti merupakan pembantu rumah Yana. Dia bekerja di rumah itu sudah lama, semasa Yana masih kecil lagi.

“Sekejap lagi Yana turun,” ujar Yana. Sepantas kilat Yana mengambil beg sekolahnya dan turun ke tingkat bawah untuk bersarapan.

“Oh, Lyana! Jemput makan,” kata Mak Ina dengan senyuman manis di bibirnya. Mak Ina juga merupakan pembantu rumah Yana. Papanya mengupah dua orang pembantu rumah kerana rumahnya yang agak besar dan isterinya juga seorang yang bekerjaya. Isterinya memang sibuk di butik dan tidak sempat untuk membuat semua kerja-kerja rumah. 

“Baiklah. Lyana makan, ya! Mesti sedap Mak Ina masak,” ujarnya gembira.

Nama sebenar Yana ialah Tengku Nur Lyana Alana binti Tengku Ariffin. Dia tinggal di sebuah banglo mewah tiga tingkat. Dia merupakan anak tunggal mama dan papanya. Papanya adalah seorang usahawan berjaya yang terkemuka. Mamanya pula membuka butik yang besar dan mempunyai cawangan serata Malaysia. Walaupun Yana dilahirkan dalam keluarga berada, namun Yana tidak pernah meninggi diri. Dia sentiasa mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Yana sedar dia tidak pula ternampak kelibat mama dan papanya pagi ini.

“Mak Iti, mana papa dan mama? Yana taidk nampak pun mereka pagi ini.”

“Tuan dan puan sudah keluar pagi tadi kerana ada urusan yang penting,” jawab Mak Iti.

“Oh.” Hanya satu perkataan yang diucap Yana.

‘Adakah papa dan mama terlupa tentang hari lahir Yana?’ Yana bercakap sendiri dalam hati.

Seusai bersarapan, Yana mengambil basikalnya yang terletak di garaj luar rumahnya lalu menunggang ke sekolah. Yana lebih gemar menunggang basikal berbanding menaiki kereta ke sekolah. Sejak kecil Yana diajar oleh mamanya untuk berdikari dan tidak hanya mengharapkan bantuan orang lain sahaja. Yana langsung tidak bemegah dengan kekayaan papa dan mamanya kerana dia tahu yang harta itu milik papa dan mama, bukannya miliknya.

Sesampai sahaja di sekolah, Yana terus meletakkan basikalnya di bawah garaj yang disediakan untuk murid-murid meletakkan basikal. Setelah mengunci basikalnya, Yana terus menuju ke kelas 6 Pintar yang merupakan kelas pertama dalam aliran tahun enam. Setiap aliran mempunyai tujuh buah kelas.

Jam menunjukkan 7.10 pagi. Masih berbaki 20 minit lagi sebelum loceng yang menunjukkan perhimpunan pagi bermula berbunyi. Setibanya dia di kelas, dia terlihat dua orang rakan baiknya, Syareena atau nama panggilannya Ina dan Qaireen.

“Hi, girls. What are you doing just now?”

“Oh, Yana. Terkejut kami berdua tahu,” kata Reen dengan wajah masam mencuka.

“Sebenarnya saya sudah lama sampai, tetapi awak berdua yang rancak berbual sehingga tidak nampak saya datang. Apa yang awak berdua bualkan?” tanya Yana.

“Errr… se… sebenarya….”

Kring! 

Belum sempat Reen menghabiskan kata-katanya, loceng sudah pun berbunyi. Mereka bertiga beriringan ke tapak perhimpunan. Persoalan Yana sebentar tadi hanya tergantung tanpa jawapan.

*****

Waktu rehat.

Setelah mengambil tempat duduk di kantin, Yana, Reen, dan Ina pun terus menjamu selera dengan bekalan makanan yang di bawa dari rumah. Mereka bertiga lebih gemar membawa bekalan makanan dari rumah daripada membeli makanan di kantin.

“Reen, Ina. Awak berdua ingat tidak hari ini hari apa?” tanya Yana.

“Yana, soalan awak itu adik saya di rumah pun boleh jawab. Tentulah hari Isnin,” jawab Ina.

“Yalah, Yana. Lagipun bukankah pagi tadi ada perhimpunan pagi setiap Isnin? Awak lupakah?” tambah Reen.

“Oh, betul juga cakap awak berdua!” bohong Yana.

Sampai hati mereka lupakan hari lahirku. Sebelum ini, mereka tidak pernah melupakan hari lahirku. Lamunannya terhenti apabila kawannya mengajak Yana masuk ke kelas setelah loceng berbunyi.

*****

“Yana, mari kita balik sekali,” ajak Reen.

“Boleh juga,” ujar Yana perlahan.

Sesampai sahaja di rumah, Yana hairan mengapa rumahnya berkunci. Ke mana Mak Iti dan Mak Ina. Oh, mungkin mereka pergi ke pasar untuk membeli barang. Dia bernasib baik kerana dia ada menyimpan kunci pendua bersamanya. Dia masuk ke rumah dan berehat.

*******

“Assalamualaikum, Yana. Oh Yana,” panggil Ina di hadapan pintu rumah Yana.

“Ya…ya… mahu pecah pintu rumah saya, awak ketuk. Ada apa yang awak datang ke rumah saya?” tanya Yana.

“Saya bosanlah, jom pergi taman. Apalah salahnya kalau awak pergi beriadah petang-petang begini. Asyik terperap sahaja di dalam rumah,” katanya kepada Yana.

“Baiklah, tetapi mana, Reen? Tidak nampak pun batang hidung dia,” tanya dia kehairanan.

Sekiranya ada Ina, pasti ada Reen. Ini tidak ada pula. Yana kenal benar akan sikap rakannya yang bagai belangkas, sentiasa bersama walau ke mana sahaja.

“Dia sudah pergi ke taman dahulu,” jelas Ina. 

“Oh, marilah. Nanti lambat pula.” Yana bersetuju hendak ke taman memandangkan kerja rumah yang di berikan oleh gurunya di kelas tadi telah disiapkan. Yana tidak suka berlengah-lengah dalam membuat kerja.

Mereka berdua bersama-sama menunggang basikal ke taman.

*****

Happy birthday to you, happy birthday to you,

Happy birthday to Lyana

Happy birthday to you!

Terjeda dia seketika di koordinatnya sekarang, kerana tidak menyangka papa dan mamanya merancang majlis hari lahirnya bersama-sama rakan sekelasnya. Manakan tidak, sesampai sahaja dia di taman, semua orang menyanyikan lagu selamat hari lahir kepadanya.

Happy Birthday, Lyana. Papa dan mama sayang kamu,” ucap papa dan mamanya yang tercinta.

“Thank you. Mama, papa I love it,” ujar Yana lantas memeluk papa dan mamanya.

Inilah kenangan manis yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat Yana.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: