Certot

Hadiah Untuk Ibu

Hasil nukilan Amelia 2 years agoFiksyen 7

Namaku Danish Aiman bin Azri. Aku berumur 13 tahun. Aku dilahirkan dalam keluarga yang hidup sehelai sepinggang. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Aku merupakan anak tunggal dalam keluarga. Bapaku hanya bekerja sebagai pemandu beca. Ibuku pula seorang suri rumah sepenuh masa.

Kami sekeluarga hanya tinggal di teratak yang buruk. Tidur hanya beralaskan tikar mengkuang. Atapnya berlubang-lubang. Kadang-kadang teratak kami dipenuhi air akibat hujan yang turun mencurah-curah. Kami hanya makan nasi berlaukkan ikan bilis sahaja. Apabila tiada lauk ,kami terpaksa makan nasi yang digaul dengan garam. Sesekali kami sekeluarga terpaksa berlapar akibat kekurangan makanan. Sekiranya ada rezeki, kami makan nasi dengan ikan goreng. Itu pun apabila wang yang diperoleh oleh ayah mencukupi.

Namun, aku tetap bersyukur kepada Ilahi. Aku tidak pernah mengeluh tentang nasibku. Semua ini ialah takdir. Oleh sebab pendapatan bapaku tidak mencukupi bagi membiayai yuran persekolahanku, aku terpaksa bekerja bagi mendapatkan wang. Aku tidak mahu menambah beban ibu bapaku.

Aku bekerja di pasar malam. Aku sekadar menolong jiranku yang kebetulan memerlukan pekerja. Mujur aku ada rezeki. Setiap malam Sabtu, aku menolong jiranku menjual sayur-sayuran di pasar malam yang terletak tidak jauh daripada teratakku. Ia sungguh laku sekali. Aku mendapat bayaran sebanyak RM 20 setiap kali bekerja. Bayaran itu memadai bagiku. Walaupun nilainya sangat kecil, tetapi bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Dengan wang tersebut, aku boleh membeli sekurang-kurangnya lima cupak beras dan ia boleh digunakan bagi membiayai yuran persekolahanku. Alhamdulillah! Aku memanjatkan syukur ke hadhrat Ilahi.

*****

Lima bulan kemudian….

Aku berjalan pulang ke teratak. Disebabkan aku daripada keluarga miskin, aku sering tersisih. Dipulaukan! Kawan-kawanku semuanya tidak mahu berkawan denganku hanya kerana perkara yang remeh-temeh.

Mereka hanya melihat daripada segi darjat. Mereka juga mata mementingkan penampilan yang kemas,bukan seperti diriku. Baju sudah lusuh. Lencana sekolah pula luntur warnanya. Kasut kotor seperti tidak dibasuh selama sebulan. Tapak kasutku juga hampir tertanggal. Setiap kali musim peperiksaan menjelang, aku sering mendapat kedudukan berbelas-belas. Kadang-kadang aku mendapat kedudukan yang paling corot. 

Tetapi aku tetap bersabar dan redha dengan ketentuan Allah Yang Maha Esa. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini.

*****

Aku berjalan longlai ke arah bilik tidurku yang terletak bersebelahan dapur. Bilik tidurku hanya sekangkang kera. Sekiranya aku mahu mengulang kaji pelajaran, aku perlu berbaring secara meniarap. Badanku seringkali berasa sakit akibat berbaring di atas lantai yang keras.

Aku mandi dan menyalin baju. Seperti biasa, setiap kali pulang dari sekolah, aku membuat kerja sekolah terlebih dahulu sebelum keluar bermain. Aku menulis hari dan tarikh di bahagian atas buku latihan.

7 Oktober 2015. Entah mengapa aku berasa aneh dengan tarikh tersebut. Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Aku memerah otakku bagi mengingati tarikh tersebut. Adakah tarikh tersebut merupakan hari yang penting? Hmm… apa ya?

Setelah satu minit berfikir, seakan sebiji mentol menyala di atas kepalaku. Aku sudah pun ingat! Hari ini merupakan hari lahir ibuku!I bu yang telah mengandungkan aku selama sembilan bulan. Bagaimanalah aku boleh terlupa hari yang penting ini?

Aku keluar daripada bilik tidurku. Aku mencari kelibat ibuku yang tercinta. Ibuku berada di ruang tamu. Aku mencium pipi ibuku. Ibuku berasa hairan dengan tingkah laku aku itu.

“Selamat hari lahir, ibu!” ucapku.

Ibuku tersenyum gembira.

“Ibu mahu hadiah apa sempena hari lahir ibu pada tahun ini?” tanyaku. Aku rasa wang yang disimpanku itu mencukupi bagi membeli hadiah.

Ibuku menjawab, “Cukuplah dengan kejayaan kamu, Danish. Itu pun sudah cukup menggembirakan hati ibu.”

“Baiklah, ibu. Danish akan dapatkan hadiah yang ibu minta.”

*****

Memandangkan peperiksaan akhir tahun akan menjelang tidak lama lagi, aku akan belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang. Aku mesti mendapat nombor satu! Ya, itulah hadiah yang diminta oleh ibuku dan aku mesti menunaikannya!

Aku berkira-kira dalam kepala. Lebih kurang lapan hari sahaja lagi sebelum musim peperiksaan menjelang. Aku mengeluarkan buku teks Sejarah dari dalam begku. Aku menghafal setiap isi-isi penting yang terkandung dalam bab yang mungkin akan ditanya dalam peperiksaan kelak.

Aku sanggup belajar sehingga lewat malam. Pada sepertiga malam, aku menunaikan solat tahajud. Selepas waktu isyak, aku akan menunaikan solat hajat. Aku berazam mahu mendapat keputusan cemerlang kelak. Ini semua dilakukan demi Allah dan ibuku.

*****

Dua minggu kemudian….

Hari ini merupakan hari temu murni. Semua ibu bapa atau penjaga pelajar diminta hadir bagi memperoleh buku rekod pelajar. Dalam buku tersebut, tertulis markah-markah peperiksaan dan kedudukan dalam kelas dan tingkatan.

Bapaku tidak bekerja hari ini. Ibu bapaku hadir ke sekolah. Mereka kelihatan teruja mahu mengetahui keputusanku. Aku menunjukkan arah pergi ke kelasku. Ibu bapaku masuk ke dalam kelas dan duduk di kerusi yang disediakan. Mereka sedang menunggu giliran. Semua pelajar diminta tunggu di luar kelas.

Beberapa minit kemudian, ibu bapaku keluar dari kelas. Senyuman gembira jelas terpancar pada wajah mereka. Adakah aku mendapat keputusan cemerlang? Aku tertanya-tanya. Ibu bapaku berjalan ke arahku. Mereka menunjukkan keputusanku. Aku mendapat 9A! Aku juga telah merebut kedudukan nombor satu dalam kelas dan tingkatan.

Aku tersenyum gembira lalu memeluk ibu bapaku. Ketika memeluk ibuku, aku berkata kepadanya, “Ini ialah hadiah untuk ibu.”

Ibuku menangis kegembiraan. “Terima kasih kerana memberi hadiah yang paling ibu minta. Ibu amat sayang kepada kamu, Danish.”

Alhamdulillah! Aku berjaya menunaikan permintaan ibuku. Terima kasih Ya Allah atas kejayaan yang amat berharga ini.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: