Certot

Hadiah Buat Liya

Hasil nukilan Krystal Zafirah 2 years agoSuperhero 19

Prang!

Bunyi seperti kaca pecah membuatkan Liya tersentak. Dia mengurut dadanya berkali-kali bagi meredakan degupan jantungnya yang sudah berdegup pada tahap maksima itu. Pantas dia bergegas ke dapur dan kelihatan ayahnya sedang meraba-raba mengutip kaca yang sudah pecah itu. Liya mula berang.

“Apa ayah buat ni?” tengkingnya kuat sekali gus membuatkan orang tua itu terkejut.

“Ta… tadi ayah nak makan nasi. Tidak mengapa. Biar ayah kutip,” ujar ayahnya sambil tangannya masih meraba-raba mengutip serpihan kaca yang bertaburan.

Liya mengetap bibirnya. “Menyusahkan!”

Langkahnya terus diatur laju menuju ke biliknya. Meninggalkan ayahnya yang buta itu sendirian. Seolah-olah tiada langsung rasa belas mahupun kasih pada seorang insan bergelar bapa. Malah tegar menengking dan memarahi seolah-olah ayahnya tiada perasaan.

‘Maafkan ayah….’

Dia tidak habis-habis menyalahkan dirinya kerana menyusahkan anaknya. Walaupun dia buta, namun dia tidak mahu anaknya berasa susah walaupun sedikit. 

*****

“Betulkah, doktor?” Liya hampir menjerit di situ juga. Namun mengenangkan bahawa sekarang ini dia sedang berada di hospital, dia cepat-cepat membatalkan niatnya. 

Doktor Balqis tersenyum nipis seraya mengangguk kecil. “Ya, Liya. Pembedahan mungkin akan dilakukan bulan hadapan.” 

“Siapa pendermanya doktor? Dan kenapa dia sanggup korbankan nyawanya untuk saya?” tanya Liya bagai tidak percaya. Aneh dan hairan. Masih adakah manusia yang sudi mendermakan jantung buat orang yang langsung tidak dikenalinya?

“Maaflah, tapi dia pesan pada saya supaya merahsiakan identitinya.” 

Liya mengeluh. 

“Tapi saya hairan. Kenapa dia sanggup dermakan jantungnya untuk saya sedangkan saya langsung tidak ada kena-mengena dengannya?” tanya Liya lagi.

Doktor Balqis tersenyum. “Katanya, sebelum dia meninggal dunia, dia mahu mendermakan sesuatu yang berharga. Katanya, dia mahu orang lain bahagia dengan apa yang dia sudah lakukan.” 

“Errr… doktor. Pembedahan ini tidak berisikokah?” dia bertanya lagi. Sedikit risau. Yalah. Pembedahan melibatkan pemindahan jantung ini bukannya boleh dibuat main atau dipandang remeh.

“Selepas pembedahan, awak mungkin masih boleh hidup. Tetapi jangka hayat awak mungkin pendek. Lima atau tujuh tahun. Tetapi, ia bergantung pada kuasa Allah,” terang Doktor Balqis.

Liya mengangguk. 

‘Wahai si penderma, walau siapa pun awak, terima kasih banyak-banyak. Saya akan sentiasa mengingati jasa baik awak sampai saya berhenti bernafas.’

****

Satu bulan kemudian….

“Doktor?” 

Liya yang baru sahaja sedar selama seminggu itu memandang Doktor Balqis yang sedang memeriksa keadaannya.

“Sepanjang saya sakit, doktor ada nampak seorang lelaki tua melawat saya?” tanya Liya.

Doktor Balqis mengerutkan dahinya. “Tidak ada. Kenapa? Siapa lelaki tua itu?” dia bertanya kembali.

Liya mengeluh. “Ayah saya.”

Serta-merta riak wajah Doktor Balqis berubah.

“Kenapa, doktor? Muka doktor pucat. Kenapa?”

Doktor Balqis cepat-cepat menggeleng. “Tidak ada apa-apa. Saya cuma penat sedikit.”

“Kenapalah orang tua itu tak melawat saya langsung? Huh! Anak sendiri pun diabaikan. Dasar buta!” Cemuh Liya. 

“Liya… tak baik awak kata begitu,” Doktor Balqis menegur.

“Memang patut pun! Saya sedang bertarung dengan nyawa pun, dia tak kisah langsung!” Liya semakin geram.

Doktor Balqis mengeluh. Tekaknya sudah terasa pahit. “Awak berehatlah. Awak tak boleh stres sangat. Boleh jejaskan kesihatan.”

‘Liya… kalaulah awak tahu apa yang berlaku sebenarnya, awak tak akan hina ayah awak,’ detik hati Doktor Balqis penuh sayu.

*****

Tiga bulan kemudian….

“Liya… awak mahu tahu kenapa sejak awak pulang dari hospital hari itu, awak langsung tak nampak ayah awak?” tanya Doktor Balqis ketika dia sedang memandu untuk menghantar Liya pulang ke rumahnya.

Kening Liya terangkat. “Kenapa? Liya sebenarnya malas nak fikir fasal orang tua tu. Dia nak pergi mana pun, lantak dialah! Dia yang sibuk-sibuk nak lari dari rumah!” cemuhnya. Bibirnya diketap geram.

Doktor Balqis sekadar diam membisu.

Kereta Myvi itu berhenti di kawasan perkuburan.

“Ke… kenapa doktor bawa saya ke sini?” tanya Liya kaget. 

Doktor Balqis keluar dari kereta. Begitu juga dengan Liya. 

“Awak mahu tahu siapa penderma jantung awak?” tanya Doktor Balqis sambil memandang wajah Liya sedalam-dalamnya.

Liya membuntangkan matanya. “Nak!” Hatinya melonjak keriangan. Sudah lama dia ingin tahu siapa pendermanya. Dia juga mahu menyedekahkan surah Al-Fatihah dan Yassin kepada insan berhati mulia itu.

Doktor Balqis membawa Liya hingga tiba ke sebuah kubur.

Mata Liya terbuntang luas. Pandangannya gelap seketika apabila melihat nama yang terdapat di batu nisan. Dia hampir rebah di situ. Namun sempat dipapah oleh Doktor Balqis.

“A… ayah!” 

“Ayah, maafkan Liya, ayah! Liya banyak berdosa pada ayah!” Teresak-esak Liya menangis sambil memeluk erat batu nisan milik ayahnya. 

Doktor Balqis memeluk Liya bagi memberikan kekuatan buat gadis itu. “Ya… ayah awaklah pendermanya. Inilah sebabnya kenapa dia tak pernah melawat awak.”

“Sebenarnya….” Doktor Balqis tertunduk. “Ayah awak buta kerana mendermakan matanya pada awak semasa awak baru lahir. Ya, awak dilahirkan buta dan ayah awak telah mendermakan matanya kepada awak.”

Mendengar kata-kata itu, Liya meraung dengan lebih kuat lagi.

“Sabar ya, Liya….” Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Doktor Balqis.

*****

Liya memandang langit yang terbentang luas itu dengan senyuman di bibirnya. 

‘Ayah… terima kasih. Terima kasih untuk segalanya. Ayah akan sentiasa berada dalam hati dan ingatan Liya. Kerana nafas yang Liya hembuskan ketika ini adalah nafas yang pernah ayah hembuskan suatu ketika dahulu. Dan apa yang Liya lihat sekarang ini adalah apa yang ayah pernah lihat suatu ketika dahulu. Ayah… ayahlah hero hidup Liya!’ Hatinya berbisik penuh syahdu.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: