Certot

Salahkah Aku Bersukan?

Hasil nukilan Aisya Safura2 years agoSukan 13

Syariz, remaja yang meminati sukan memanah. Dia berasal daripada keluarga yang miskin. Ramai yang mengejek minatnya hanya kerana dia anak kepada seorang buruh dan penjual nasi lemak. Namun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk meminati sukan memanah.

“Lihat orang miskin itu. Berangan ingin membeli peralatan memanah sedangkan sebuku roti pun belum tentu dia mampu beli,” sindir Lisa. Lisa amat benci terhadap Syariz kerana Syariz adalah anak emas guru-guru dan pelajar harapan di sekolah.

Syariz tertunduk malu mendengar sindiran itu.

“Cukup! Salahkah untuk dia bersukan? Tiada apa yang boleh menghalang seseorang daripada bersukan,” Najwa cuba membela sahabat karibnya.

Lisa tersenyum sinis mendengar kata-kata Najwa.

“Dia ingin bersukan? Huh! Mahu beli sebiji bola pun tidak  mampu. Apatah lagi membeli peralatan memanah.” Sindiran Lisa cukup pedas.

Syariz hanya mendiamkan diri.

*****

“Ibu, adakah orang miskin seperti kita tidak dibenarkan bersukan?” tanya Syariz.

“Mengarut! Tiada apa yang boleh menghalang seseorang daripada bersukan.” Puan Iza pelik mendengar soalan yang diajukan oleh anaknya.

Syariz tersenyum gembira mendengar jawapan ibunya. Selama ini, kata-kata Lisa asyik terngiang-ngiang di fikirannya.

*****

“Lihat! Akan ada pertandingan memanah yang akan dianjurkan di sekolah kita. Saya yakin awak mampu lakukannya.” Najwa memberikan poster pertandingan memanah kepada Syariz.

Lagipun Najwa yakin Syariz mampu memenangi pertandingan itu kerana Syariz adalah pemanah terbaik di sekolah.

“Saya ingin menyertai pertandingan ini tetapi saya tiada peralatan memanah. Selama ini, saya hanya menggunakan peralatan memanah milik sekolah,” ucap Syariz, kecewa.

“Pasti ada jalan penyelesaiannya. Lagi pula, hadiah bagi tempat pertama ialah biasiswa untuk ke sekolah sukan yang terkenal di Malaysia, set peralatan memanah yang diimport dari Amerika Syarikat dan wang yang bernilai RM100,000!” Najwa membaca senarai hadiah-hadiah yang akan diperoleh oleh johan pertandingan itu.

Terbeliak mata Syariz apabila mendengar senarai hadiah-hadiah itu. Jika dia mendapat johan dalam pertandingan itu, pasti ia akan mengubah nasib keluarganya.

Namun demikian, dia tidak mempunyai peralatan memanah. Syariz hanya mengeluh apabila memikirkan perkara itu. Najwa memandang sayu sahabat karibnya itu.

“Saya yakin awak mampu mencari jalan penyelesaian. Pertandingan itu akan diadakan pada minggu hadapan. Baiklah, saya balik dahulu, ya?” Najwa menggalas beg galasnya dan berjalan menuju ke arah kereta milik ayahnya.

Syariz pula hanya memikirkan berkenaan pertandingan itu.

“Mengapa hanya termenung sahaja di sini? Ibu bapa awak mungkin risau kerana awak lambat balik.” Seseorang menegur Syariz.

“Saya sedang memikirkan berkenaan pertandingan memanah yang akan diadakan pada minggu hadapan,” jelas Syariz.

“Awak ingin menyertai pertandingan itu?” tanya Riz.

“Saya ingin menyertai tetapi saya tidak mempunyai peralatan memanah kerana tidak mampu untuk membelinya,“ucap Syariz,sayu.

“Awak boleh guna peralatan memanah saya. Saya hadiahkan untuk awak,” ucap Riz. Dia ikhlas untuk menghadiahkan peralatan memanah miliknya kepada Syariz.

“Awak serius?Awak tidak mahu menyertai pertandingan itu?” tanya Syariz.

Riz hanya tersenyum mendengar soalan Syariz.

“Saya mahu menyertainya tetapi saya tercedera ketika berlatih. Mungkin mengambil masa berminggu-minggu untuk pulih. Jadi, saya ingin awak menggunakan peralatan memanah ini ketika pertandingan itu, boleh?” Riz hanya tersenyum memandang Syariz.

“Baik!”

Sejak itu, Riz membantu Syariz berlatih untuk pertandingan itu. Syariz ingin membuktikan kepada Riz, sahabatnya, keluarga, malah orang yang pernah memandang rendah terhadap dirinya bahawa dia mampu memenangi pertandingan itu.

*****

Pada hari pertandingan.

Ramai murid yang mendaftar masuk pertandingan itu dan ia membuatkan Syariz sedikit gelisah.

“Kamu mampu lakukannya.” Ibu bapa Syariz mendoakan agar dia dapat memenangi pertandingan itu.

Ketika giliran Syariz untuk memanah, dia dapat dengar sokongan daripada keluarga dan sahabatnya. Itu menambahkan lagi semangat Syariz untuk memenangi pertandingan.

Akhirnya, Syariz dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Memanah 2015. Keluarga Syariz menitiskan air mata gembira. Begitu juga sahabat karibnya, Najwa Sofea.

*****

Kini, Syariz tidak lagi dipandang rendah dan dengan wang yang dimenanginya itu telah dapat mengubah nasib keluarganya. Dia amat bersyukur dengan kejayaan yang diperolehinya.

Syariz juga tidak akan lupa jasa orang yang telah menghadiahkan peralatan memanah kepadanya, Riz. Tanpa bantuan Riz dan doa daripada keluarga dan sahabatnya, pasti dia tidak akan dapat kejayaan itu.

Syariz membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa orang yang hidup dalam kesusahan juga mampu bersukan. Tiada apa yang boleh menghalang seseorang daripada bersukan.

Majulah sukan untuk negara!


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: