Certot

Gadis Sampah Alam

Hasil nukilan Engku Afiq about 2 years agoFiksyen 1843

Namaku Nurathirah binti Johan. Berasal dari Pahang dan kini menetap di Bandar Raya Kuala Lumpur bagi mencari nafkah untuk menampung kehidupanku.

Aku tidaklah kaya atau hebat. Kerja bukanlah tetap. Sering diberhentikan atas dasar kekejaman bosku yang memang sering mencari kesilapanku. Kadangkala, aku sendiri yang menarik diri kerana tidak dapat menerima leteran daripada bosku yang pelbagai karenah.

Sepanjang hidup, aku tidak pernah rasa disayangi. Ibu bapaku sudah meninggal sejak aku berusia tiga tahun. Lalu aku dihantar ke rumah anak-anak yatim kerana saudara maraku tidak sudi menjagaku kerana aku seorang insan yang dilahirkan cacat. Mata sebelahku buta. Itu jugalah penyebab aku tidak pernah dilayan seperti kanak-kanak lain.

Oleh sebab itu, aku tidak pernah rasa disayangi dan kerana tiada teman. Aku membina sebuah blog untuk aku meluahkan perasaanku. Setiap hari aku akan mengemas kini entri terbaharu kerana setiap hari hidupku dipenuhi kedukaan.

Dan setelah lima tahun, tanpa disangka-sangka, aku terpilih ke program Anugerah Blogger Terbaik (ABT) di Singapura. Aku sangka mungkin dengan ini, kehidupanku boleh berubah menjadi lebih baik. Lalu aku berusaha untuk membeli tiket ke Singapura agar aku dapat menghadiri anugerah itu dengan harapan dapat memenanginya.

Namun, aku dinobatkan kalah. Hatiku mulai hancur dan tidak tenteram. Lebih teruk, duit pembelian tiket ke sana hanyalah pembaziran kerana aku tidak memperoleh apa-apa pun kejayaan di sana.

Pedih.

Itulah yang dirasaiku. Setelah lama memikirkannya, aku rasa Tuhan tidak adil untuk manusia sepertiku. Sudahlah cacat, miskin lagi. Diriku ini lebih bagus dibuang ke dalam tong sampah. Maklumlah, Tuhan tidak sudi membantuku kerana Dia pasti melabelku sebagai sampah alam.

Suatu hari, aku bertemu dengan seorang gadis yang amat dicam mukanya. Bukankah itu pemenang ABT tempoh hari? Tetapi aku mendiamkan sahaja andaianku.

Tidak disangka, dia sudi menegurku, “Assalamualaikum… awak Athirah, bukan?”

Aku menjawab tidak endah, “Ya,”

Pada mulanya, aku ingin beredar dari situ kerana malas melayan gadis itu kerana ditahannya sambil berkata, “Athirah, janganlah pergi. Saya tahu… awak tidak suka saya,”

Hah?” balasku.

“Jangan pura-pura. Saya tahu melalui blog awak. Pelbagai awak ceritakan. Tentang tidak puas hati awak terhadap saya pun ada,” kata gadis itu.

“Jadi, awak mahu buat apa? Saman saya?” tanyaku lalu meninggalkannya.

Sejak hari itu, aku tidak pernah lagi berjumpa dengannya. Tetapi pada suatu hari, sepucuk surat telah diposkan ke rumahku. Aku membukanya lalu membaca isinya.

Tidak dijangka, surat itu dikirimkan oleh gadis tersebut. Katanya, dia telah memberikan alamat blog aku kepada pihak kebajikan masyarakat. Dan mereka terharu membaca kisahku itu. Lalu mereka bekerjasama untuk menghantarkan bantuan kepadaku.

Seperti yang diberitahu, beberapa hari kemudian, datang seorang lelaki dan gadis itu ke teratak burukku. Pelbagai perkara yang dibincangkan antara mereka bagi menolongku. Lebih mengharukan, mereka sudi membiayai kos pembedahan mataku yang mencecah beratus-ratus ribu ringgit agar mataku kembali normal. Lalu aku menitiskan air mata keikhlasan.

Kini, aku sedar bahawa Tuhan itu maha adil. Tuhan hanya mahu mengujiku agar aku tabah menghadapi setiap dugaan. Dan ini juga kali pertama aku rasa disayangi, dihargai, serta diambil berat oleh orang lain, dan juga Tuhan. Rupa-rupanya perasaan tersebut amat tersirat dan kita haruslah berusaha untuk mencarinya tanpa mengalah.

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: