Certot

Gadis Futsal itu aku

Hasil nukilan Widad Shahrir 2 years agoSukan 41

Gol!

Sekali lagi Sofia berjaya menjaringkan gol buat kali keempat di gelanggang futsal. Sememangnya gadis berumur 16 tahun itu berbakat dalam permainan itu. Namun, bakatnya masih belum diyakini oleh guru-guru di sekolah kerana mereka menganggap semua gadis itu lemah.

Tetapi tidak bagi Sofia. Setiap petang dia akan berlatih bermain futsal bersama abang dan adiknya. Semangatnya tidak pernah patah walaupun selalu diejek oleh rakan-rakan. Sahabatnya, Nadhira sentiasa memberikan kata semangat dan harapan buat Sofia.

“Sofia, aku ada berita gembira!” Nadhira berlari ke arah Sofia bersama sehelai kertas.

“Ya? Apa yang gembira sangat? Budak kelas sebelah balas suratkah?” Mulut Sofia tidak henti-henti melahap burger daging yang dibekalnya.

“Mana ada! Berita ini hanya untuk kau sahaja!” kata Nadhira sambil menghulurkan kertas itu kepada Sofia.

“Wah! Karnival Sukan 2015? Inilah peluang keemasaan! Tahun lepas, aku demam panas. Tahun ini mesti boleh punya!”

Laju kakinya melangkah ke arah papan kenyataan sukan dan permainan di padang. Awal-awal lagi tempat itu dikerumuni oleh pelajar sekolah. Matanya ligat mencari kertas yang belum diisi nama.

Harapannya punah tatkala melihat senarai pasukan yang dibina oleh pelajar yang padat dengan atlet sekolah. Walaupun tiada harapan, Sofia cuba mencipta peluang dengan mencari ahli pasukan yang masih kosong.

*****

Karnival sukan 2015 diadakan di padang sekolah dengan meriah sekali. Namun bagi Sofia tidak meriah. Ini kerana dia masih kecewa dengan apa yang terjadi. Nadhira tidak putus memberi harapan kepada Sofia.

Dia terasa bosan ketika menonton perlawanan futsal yang mendapat sambutan hangat di kalangan pelajar. Dirinya seolah-olah angin yang tidak boleh dilihat apabila dia diabaikan oleh orang lain. Baru sahaja kakinya mahu meninggalkan gelanggang futsal, tiba-tiba ada suara memanggilnya.

“Sofia! Tolong gantikan tempat Danish. Dia tercedera.” Kapten pasukan itu menyerahkan jersi kepada Sofia. Terkejut Sofia dibuatnya. Sesekali dia menepuk pipinya perlahan. Adakah ini semua mimpi? Atau realiti? Oh Tuhan, terima kasih!

Baju jersi berwarna merah itu disarungkan di badan kecil Sofia. Masuk sahaja di gelanggang, wisel dibunyikan tanda perlawanan bermula. Kehadiran gadis itu memberi kesan yang agak buruk kerana pihak lawan teragak-agak untuk menyerang. Sesaat itu, mereka alpa dengan kelincahan Sofia.

“Wah! Gol lagi! Hebatnya gadis itu! Aku tabik dia, seratus peratus!” Itu antara pujian yang diberikan oleh penonton sukan futsal. Kembang kempis hidung Sofia apabila dipuji sebegitu.

Tiba-tiba sebiji bola melencong ke arahnya. Belum sempat dia mengelak, sepasang tangan laju menangkap bola itu.

“Teruskan usaha, Sofia. Jangan berangan!” Sofia menoleh. Sejak perlawanan bermula, dia tidak perasan kehadiran abangnya yang menjadi penjaga gol. Kepalanya diangguk laju.

*****

“Juara bagi Pertandingan Futsal Karnival Sukan 2015, disandang oleh, Pasukan Lion Warrior!”

Sofia menjerit keriangan. Pasukannya kini digelar juara atas sumbangan tenaga dan masa mereka. Siapa kata gadis tidak hebat?

“Sofia! Sini sebentar,” panggil Cikgu Raja, guru penasihat kelab futsal sekolah. Kini, Sofia berdiri di hadapan Cikgu Raja sambil menantikan apa yang mahu disampaikan oleh gurunya. Dia berharap agar dirinya mendapat tuah.

“Sofia binti Azam.  Jika kamu tidak keberatan, kamu mahu tidak menjadi ahli kelab futsal sekolah?” Hati Sofia berbunga-bunga tatkala dipelawa menjadi ahli kelab futsal sekolah. Lantas, kepalanya diangguk laju. Tidak lama lagi, impiannya akan tercapai!

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: