Certot

Elyna

Hasil nukilan Aisyah Sara about 2 years agoFiksyen 2048

  TAJUK: ELYANA

Aku melihat seorang pelajar dibawa oleh Cikgu Puspa ke dalam kelasku. Cikgu Puspa memperkenalkan murid tersebut kepada kami. Elyna namanya. Melihatkan pakaiannya yang lusuh, kasut yang ternganga menampakkan kaki, membuatkan aku tertanya-tanya layakkah budak sepertinya untuk sekelas denganku? Aku melemparkan senyuman sinis kepadanya. Mataku tertuntas pada beberapa orang murid yang berkerumun untuk mengenali Elyna.

‘Huh tak sangka, budak macam ni pun orang nak berkenalan,’ getus hati kecilku. Meluat!

********************

  Ketika waktu rehat, aku dan rakan-rakanku melihat Asiah dan Alia sedang makan bersama Elyna di tepi longkang. Aku memandang mereka dengan perasaan jengkel. Lantas aku mengajak Farah dan Irwani untuk pergi dari situ. Sakit mataku melihat kemesraan mereka.

KRING!

  Loceng menandakan tamat waktu rehat. Aku segera naik ke kelas kerana selepas ini mata pelajaran kegemaranku. Hari ini Cikgu Suhairi akan mengadakan kuiz. Sekarang bolehlah aku menunjukkan kepandaianku kerana setiap kali kuiz diadakan, pasti aku akan mendapat markah penuh. Cikgu Suhairi memulakan kuiz, tetapi kali ini Elyna pula yang berjaya. Sungguh, aku tak sangka!

********************

Keesokan harinya, aku melihat Cikgu Puspa memesan nasi lemak dari Elyna. Begitulah dengan hari-hari seterusnya. Ramai juga guru yang memesan nasi lemak serta kuih-muih. Aku teringin juga hendak merasai nasi lemak Elyna, tetapi disebabkan keegoaanku, perasaan itu kupendam.

“Farah, Alia…  korang tau tak kenapa cikgu suka beli nasi lemak dari Elyna?” soalku kepada dua orang rakan baikku.

“Entah, aku malas nak ambil tau hal budak tu. Menyampah pulak,” balas Farah sambil membuat memek muka.

“Tulah kau ni. Dah insaf ke tiba-tiba nak ambil tau pasal budak tu atau kau demam?” kata Alia.

“Apa masalah korang ni, nak perli perli pulak?” kataku dengan geram. Aku angkat kaki. Bengang. 

“Dengar sini. Mulai hari ini, korang bukan kawan aku,” putusku sebelum melangkah dengan perasaan marah yang masih menguasai jiwa.

Ketika waktu rehat….

  “Mana pulak duit aku ni?” kataku sambil menyeluk poket seluar. Kemudian aku menyelongkar beg kerana kebiasaannya ibuku meletakkan duit dalam poket kecil. “Mesti tercicir ni,” omelku sendirian.

“Awak okey?” satu suara menyapaku dari belakang suara yang amat ku kenali. 

 “Boleh jangan menyibuk tak!” marahku sambil menjeling Elyna.

“Tadi saya dengar duit awak hilang. Awak gunalah dulu ni. Duit jualan nasi lemak yang cikgu kirim,” kata Elyna sambil menghulurkan wang kertas sebanyak empat ringgit. “Minta maaflah kalau tak cukup, tapi ni jelah yang saya ada,” kata Elyna.  Tulus.

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Aku terus memeluknya. Siapa sangka orang yang kubenci selama ini kini berada dalam dakapanku. Aku sungguh terharu atas pertolongannya. Terpancar sinar keikhlasan pada wajahnya.

********************

  Aku menunggu kedatangan Elyna yang kini sudah menjadi kawan baikku. Aku melihat jam tanganku yang menunjukkan 7.00 pagi. Kelibat Elyna masih tidak kelihatan. Masuk hari ini sudah empat hari Elyna tidak hadir ke sekolah. Aku berasa risau dengan keadaannya. Aku ke bilik guru untuk mencari Cikgu Puspa. 

“Alamak! Cikgu Puspa berkursus. Macam mana ni?” kataku lalu menuju ke pejabat untuk menanyakan alamat rumah Elyna.

  Pulang dari sekolah, aku menceritakan kisah antara aku dan Elyna. Aku mengajak ayah ke rumah Elyna. Ayah bersetuju. Kami berhenti di hadapan sebuah rumah yang using berdasarkan alamat yang kubawa. Aku terus memberi salam. Setelah beberapa ketika pintu rumah itu terbuka.

“Balqis, apa awak buat kat sini?” tanya Elyna dengan nada sedikit terkejut.

“Yana, siapa tu? Ajaklah masuk. Takkan nak biarkan tetamu duduk kat luar. Jemput naik, nak. Maaflah rumah nenek ni tak besar mana pun,” kata Nek Timah diikuti dengan batuk yang kuat. 

Hatiku luluh lantas aku meminta bantuan ayah untuk membawa Nek Timah ke hospital. Ayah bersetuju dengan cadanganku. Apatah lagi bila melihat Nek Timah yang lemah.

  Kini aku dah Elyna bagaikan isi dengan kuku memang tidak boleh dipisahkan. Ayah dan ibuku telah mengambil Elyna sebagai anak angkat. Kami bagaikan belangkas. Kemana sahaja pasti berdua. Persahabatan kami terbina atas dasar ketulusan hati dan saling menghormati. Aku bersyukur kepada yang Esa kerana menganugerahi sahabat seperti Elyna.


Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: