Certot

Duka Duka Tapi Suka

Hasil nukilan Siti Nur Aqilah 2 years agoSuperhero 25

             

“Ila benci kerja ayah! Kerja ayah buat Ila sunyi! Ila benci! Ila benci!” Teriakan seorang gadis bergema di dalam rumah itu. 

“Ila, buka pintu ini. Ila, ayah terpaksa.” Encik Imran mengetuk pintu bilik anaknya berulang kali.

      “Sebab kerja ayahlah ibu meninggal! Ayah jahat!” Jeritan Ila semakin kuat diiringi bunyi menangis. 

“Ila jangan cakap macam itu. Ila, ayah pergi dahulu, ya.” Encik Imran pun berlalu pergi. “Ila, pergi sekolah, ya. Ayah sudah daftar sekolah.” Encik Imran sempat berpesan kepada anaknya.

      Selepas sudah pasti ayahnya sudah pergi, Ila terus keluar dari biliknya. Seketika, Ila mengesat matanya. Ila terus mengambil tuala yang terletak di dalam almarinya.

      Walaupun rasa bersalah wujud dalam hati, tetapi pemergian ibunya membuatkan Ila berasa geram.

      Sebulan lalu, ketika ayahnya sedang berhadapan krisis dengan penjenayah, sebagai polis Encik Imran terpasksa melawan dan bertindak menangkap penjenayah. Seorang penjenayah lain yang bersembunyi di belakang kereta mempunyai pistol di tangannya menembak Encik Imran. Namun, Puan Suzila, ibu Ila mengorbankan dirinya untuk suami tersayang dan akhirnya mati di tangan penjenayah.

      Walaupun Ila sakit hati dengan ayahnya, tetapi ayahnya telah bersusah payah mendaftarkan dirinya di sekolah. Jadi, Ila terpaksa ke sekolah walaupun berat hati.

 

*****

      Ila memasuki perkarangan sekolah. Ila telah diberitahu bahawa dia akan belajar di kelas 5 Aman di tingkat tiga. Ila mengeluh. Jika dia mahu sampai di kelas itu, dia perlu menaiki beratus-ratus anak tangga.

      Ila tidak akan berseorangan ke kelas, dia ditemani seorang guru perempuan. Ila mengerling tag nama guru itu. ‘Nursyazana’.

      “Maaf ya jika sekolah kami menyusahkan awak.” Suara Cikgu Syazana memecahkan suasana. Bimbang melihat anak muridnya termengah-mengah menaiki anak tangga.

      “Tidaklah. Saya tidak apa-apa.” Ila rasa bersalah melihat gurunya itu terlalu mengambil berat tentangnya. 

“Kita sudah sampai,” Cikgu Syazana memberitahu.

      “Okey murid-murid. Kita ada murid baru. Ila, awak boleh masuk,” Cikgu Syazana memanggil Ila yang berdiri di luar kelas. 

“Masuk. Jangan malu-malu. Kami tidak makan gadis cantik!” usik seorang pelajar lelaki.

      “Nama saya Nur Izila Aina Nadhirah binti Mohd Imran. Selamat berkenalan dan sila tunjuk ajar,” Ila memperkenalkan dirinya.

      “Ila, awak boleh duduk di sebelah Farid,” arah Cikgu Syazana. 

“Cikgu, saya bantah!” jerit seorang pelajar perempuan. 

“Fazira, awak nak bantah apa? Cuba beritahu saya,” marah Cikgu Syazana apabila keputusannya dibantah. 

“Saya mahu tukar tempat duduk dengan Ila,” Fazira mengutarakan permintaannya.

      “Apa sahajalah yang kamu merepek ini Fazira. Sudah! Fazira, kamu duduk. Ila, awak boleh pergi ke tempat awak sekarang,” sekali lagi Cikgu Syazana mengarah.

      “Hai. Saya Muhd Farid Hilmi. Selamat berkenalan.” Farid tersenyum gembira kerana Ila duduk di sebelahnya. 

“Selamat berkenalan.” Ila menyambut perkenalan Farid.

 

*****

      Tiba waktu rehat, Ila mengeluarkan bekalnya dari dalam beg untuk keluar rehat bersama Farid. Tiba-tiba, Fazira dan rakan-rakannya mendekati Ila. 

“Ila, can I have a conversation with you?” tanya Fazira. 

“Sure.” Pendek sahaja Ila menjawab. “Farid, awak jaga tempat saya ya,” pesan Ila kepada Farid. Farid hanya menunjuk ibu jarinya tanda setuju.

      “Come with us.” Salah seorang daripada Fazira menarik tangan Ila dengan kasar. Ila hanya menurut kerana dia budak baru. Akhirnya, mereka sampai di belakang sekolah. Fazira terus menolak badan Ila ke dinding.

      “Eh, apa ini? Kotorlah!” teriak Ila sambil membersihkan baju sekolahnya. 

 “Kotor? Yes! You know how dirty are you?!” tengking Fazira. 

“Apa maksud awak?” Ila sudah tidak boleh bertahan lagi. Terus dibalasnya kata-kata Fazira yang mencalarkan maruahnya.

      “Girls! Dia buat-buat tidak tahu pula. Awak curi Farid daripada saya! Awak tidak tahu betapa sakitnya hati saya?” Kali ini tengkingan Fazira lebih kuat. 

“Curi Farid? Tolonglah. Saya kenal dia tidak sampai sebulan pun! Buat apa saya hendak curi dia!” Ila mempertahankan hujahnya.

      “Selama ini, Farid tidak pernah cakap formal dengan saya. Tetapi dengan awak dia mesra. Awak rampas dia,” Fazira menuduh Ila bertubi-tubi. 

“Fazira, itu masalah awak. Kemesraan Farid kepada saya bukan sebab saya nak. Itu hak dia! Kenapa awak marah saya?” Ila cuba berlembut.

      “Hey! Saya tidak perlukan publisiti murahan awaklah! Girls, jom pergi!” Fazira terus pergi meninggalkan Ila terkontang-kanting keseorangan.

 

*****

      Ila membaca buku sambil menunggu bas persiaran sampai. Ila betul-betul bersumpah kepada dirinya tidak akan datang keesokan hari. Peristiwa hari tiu benar-benar memberi impak kepadanya.

      Tiba-tiba Ila ternampak Fazira cuba melepaskan dirinya daripada dua orang lelaki yang menangkapnya. Ila yang ternampak kejadian itu menelefon ayahnya.

 

Ila: Ayah, kawan Ila kena tangkap!

Encik Imran: Ila, kamu jangan main-main.

Ila: Betullah ayah! Ada dua orang lelaki cuba menangkapnya.

Encik Imran: Ila, kamu jangan bertindak sebarangan. Pihak polis akan datang. Kamu cuba jejak mereka kalau mereka pergi.

Ila: Baik, ayah. Assalamualaikum.

Encik Imran: Waalaikumussalam.

 

      Ila terus mematikan talian telefonnya dan bersembunyi di sebalik semak untuk memerhatikan tindakan dua orang suspek itu. Ila menyedarri Fazira telah pun pengsan dan dibawa masuk ke dalam van. Daripada pemikiran Ila, Fazira ditangkap untuk dijadikan tebusan kerana keluarga Ila berasal daripada keluarga berada.

      Ila pun mengekori van itu tetapi bertindak di dalam semak kerana tidak mahu suspek menyedari kehadiran Ila. Akhirnya, selepas lebih kurang 700 meter Ila berlari, van itu telah sampai di dalam sebuah bangunan lama. Kelihatan Fazira diangkat masuk ke dalam bangunan itu.

      Beberapa minit kemudian, beberapa buah kereta polis muncul. Suspek yang menyedari kedatangan polis terus meletakkan pisau di leher Fazira untuk mengugut. Fazira yang menjadi tebusan menggeletar ketakutan.

      Suasana menjadi tegang apabila penjenayah bertindak mengugut polis. Encik Imran yang tiba lewat terus menyorok di belakang bangunan dan menembak tangan penjenayah dan Fazira terlepas. Fazira terus memeluk Ila erat kerana masih trauma dengan apa yang berlaku.

*****

      Encik Imran telah diberikan pingat keberanian atas usaha dan keberanian beliau sepanjang berkhidmat sebagai polis. Selepas kejadian itu, Ila dan ayahnya berbaik-baik.

*****

 

Tujuh bulan kemudian….

 

      “Ila, kenapa awak kena pindah?” Fazira merengek seperti budak kecil meminta lolipop. 

“Alah, comelnya dia. Ayah saya berpindah tempat kerja. Saya kena ikut.” Ila cuba pujuk Fazira yang merajuk.

      “Ila, Farid ada beri pesanan. Dia kata awak teman tapi mesra dia. So sweet.” Fazira terus beritahu pesanan yang diberi Farid kepada Ila. 

“Kenapa dia tidak datang sendiri?” Ila musykil kerana Farid tidak hadir untuk mengucapkan selamat tinggal.

      “Awak ingat dia nak tidak mahu datang. Menangis dia di rumah sebab demam campak dan tidak dapat berjumpa awak,” beritahu Fazira kepada Ila. Ila hanya mengangguk faham.

      “Ila, jom pergi.” Encik Imran pun menghidupkan enjin keretanya. Ila dan Fazira pun berpeluk. 

“Ila, awak jaga ayah awak baik-baik ya. He is really Superhero. Saya masih terhutang budi pada ayah awak. Terima kasih banyak-banyak menolong saya hari itu.” Fazira mengenggam tangan Ila erat-erat. Air matanya tidak dapat ditahan lagi.

      Ila sekadar mengangguk sahaja. Dalam hatinya, hendak sahaja dia terus menetap di situ. Ila berkata dalam hati, ‘Ya, Fazira. Dia betul-betul seorang superhero dan saya sayang sangat.’

Juga daripada penulis ini:

Cerita lain: